home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	DEWAN MERDEKA, PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date	:	29/12/2001
Tajuk/Title 	:	MAJLIS PERASMIAN PERHIMPUNAN 
			AGUNG PARTI PROGRESIF PENDUDUK 
			MALAYSIA (PPP) KE-48
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 
		    

   
   
   Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih atas undangan
   yang  dibuat  oleh  anggota  jawatankuasa  pusat  Parti
   Progresif Penduduk Malaysia (PPP) untuk saya merasmikan
   Perhimpunan Agung Parti PPP yang ke-48 pada  hari  ini.
   Kesudian  Parti PPP menjemput saya ke acara ini  setiap
   tahun  amatlah  saya hargai kerana  ia  merupakan  satu
   pengiktirafan  bahawa walaupun Barisan Nasional  adalah
   Parti  Campuran tetapi kita dapat bergerak  seolah-olah
   kita adalah satu parti.
   
   2.    Di  sini  saya  ingin mengambil kesempatan  untuk
   mengucapkan tahniah kepada Presiden Parti PPP, YB Datuk 
   M Kayveas, kerana kejayaannya terus menerajui parti PPP
   dengan baik.   Saya dapati Parti PPP  semakin  maju dan
   mendapat sokongan pelbagai  lapisan  rakyat.  Aktiviti-
   aktiviti  yang  dijalankannya  turut  mendapat sambutan 
   yang  menggalakkan  dan  ini  adalah  satu petanda baik 
   kepada Barisan Nasional.
   
   3.   Saya tidak lupa  juga  untuk  mengucapkan  tahniah 
   kepada semua para pemimpin  PPP  di  segenap  peringkat 
   serta semua anggota Parti PPP di seluruh negara  kerana
   berjaya menonjol  parti tuan-tuan dan puan-puan sebagai
   sebuah parti yang kuat perpaduannya dan berkesan.  Saya 
   percaya  tuan-tuan dan puan-puan akan terus  memberikan
   sokongan  padu  kepada  barisan  kepimpinan  parti  dan 
   rebutan jawatan tidak akan memecah belah dan melemahkan 
   parti.  Kekuatan parti tuan-tuan  dan  puan-puan  sudah
   tentu akan mengukuhkan lagi kedudukan Barisan Nasional.
   Sebagai salah sebuah anggota  parti komponen, sumbangan
   Parti PPP  tetap  besar  dan  bermakna  kepada  Barisan 
   Nasional.
   
   4.   Umat Islam  di negara kita  baru sahaja  menyambut 
   Hari  Raya  Aidilfitri dan penganut agama Kristian pula 
   baru menyambut Hari Krismas.  Kita masih lagi menyambut
   perayaan  masing-masing dalam keadaan gembira dan penuh
   keriangan.  Oleh itu,  masih  tidak lewat bagi saya dan 
   bagi pihak isteri saya dan keluarga  untuk  mengucapkan 
   Selamat Hari Raya dan Hari Krismas kepada para  anggota
   Parti PPP  yang menyambutnya.
   
   5.   BN adalah parti yang unik dalam dunia. Walaupun ia
   mempunyai 14 buah  parti,  kecil  dan  besar, tetapi BN 
   dapat bergerak seolah-olah ia  adalah  satu  parti  dan 
   bukan  sebagai  parti  campuran.  Ramai  pelawat  asing 
   hairan dan bertanya  bagaimana kita dapat elak daripada 
   perpecahan  seperti  yang  sering  berlaku dalam parti-
   parti campuran lain.
   
   6.   Sebenarnya  parti  campuran  yang mempunyai banyak 
   parti   komponen  adalah  lebih  teguh  daripada  parti 
   campuran  yang  dianggotai  oleh 2 atau 3  buah  parti. 
   Dalam  parti  campuran 2 atau 3 buah  parti,  penarikan
   diri  satu  buah  sudah  mencukupi untuk  menghilangkan 
   majoriti dan menjatuhkan Kerajaan.  Justeru  itu  parti
   komponen  yang  kecil  sering  mengugut  untuk mendapat
   kedudukan   istimewa   dalam   Kerajaan.    Jika  tidak
   dilayan  maka  parti  berkenaan  akan   menarik   diri, 
   menjatuhkan   Kerajaan  dan  mencuba  mendirikan  parti 
   campuran  dengan  parti  lawan untuk membentuk Kerajaan
   baru.
   
   7.   Dalam parti BN jika mana-mana  parti menarik diri, 
   BN tidak semestinya kehilangan majoriti.  Ia akan terus
   menjadi  Kerajaan  dan  parti  yang  menarik  diri akan 
   menjadi  parti  pembangkang  dan  tidak berkuasa.  Jika
   UMNO cuba menarik diri, UMNO juga tidak mungkin mendiri
   Kerajaan  kerana  bilangan kerusi UMNO tidak mencukupi.
   Dengan  itu  parti komponen jarang mengugut untuk tarik
   diri kerana  majoriti BN cukup besar  dan  tidak  takut 
   kehilangan kuasa jika ada mana-mana parti menarik diri. 
   Namun  keanggotaan  berbagai-bagai  parti yang mewakili 
   pelbagai  kaum  dan  kepentingan  menjamin bahawa semua 
   kaum  mendapat  layanan  yang saksama dalam BN.  Inilah 
   rahsia BN, rahsia kekuatan BN  yang  menyebabkan  ramai
   ingin   menyertainya   dan   parti-parti   lawan  ingin
   menirunya.
   
   8.   Percubaan  untuk  mendiri  barisan   tiruan  sudah 
   dibuat dua  kali.  Yang  pertama  telah  gagal dan kita
   sedang  melihat   percubaan  yang   kedua  juga  sedang 
   berpecah. Kita lihat bagaimana PAS menipu DAP, Keadilan
   dan Parti Sosialis. Keadilan mempunyai isu yang menarik
   dan isu ini diguna  oleh  PAS untuk  menjayakan  calon-
   calonnya. DAP rugi besar kerana persahabatan dengan PAS
   menghakiskan    sokongan   pengundi   Cina   kepadanya. 
   Demikianlah kesan buruk kepada DAP sehingga jaguh-jaguh
   DAP  yang  tidak  pernah  kalah,    telah  kalah  dalam
   pilihanraya  1999.   Sekarang  DAP  bukan  lagi   ketua
   pembangkang.
   
   9.   Oleh kerana itu DAP cuba memisahkan diri  daripada 
   PAS  tetapi  agak   terlalu  lewat.    Percubaan  untuk 
   bekerjasama  dengan  Keadilan  sahaja  tidak akan dapat
   membersihkan DAP daripada cemaran PAS.
   
   10.  Parti-parti lawan  perlu  membuat  pendirian  yang
   jelas  supaya  rakyat  dapat  mengetahui siapa  mereka. 
   Saya ucap  tahniah  kepada  Keadilan  yang  mendakwa ia
   bukan parti  Melayu.  Ini tentu menguntungkan  Keadilan
   kerana  tidak  bertanggungjawab   mempertahan  beberapa
   peruntukan  dalam   Perlembagaan  yang  melindungi  hak
   orang  Melayu.    UMNO   tidak  perlu  kepada  sokongan
   oportunis untuk mempertahankan hak orang Melayu.
   
   11.   PAS masih mendakwa bahawa matlamatnya ialah untuk
   mendirikan  negara  Islam. Oleh kerana  Malaysia  sudah
   merupakan negara Islam apakah yang berlainan  di antara
   negara Islam  Pas dengan  negara  Islam  Malaysia  yang 
   sedia   ada?    PAS  perlu  terangkan.   Mendakwa  akan
   menjelaskan   bentuk   negara  Islam  PAS  selepas  PAS
   memenangi   pilihanraya   bermakna   PAS  ingin  menipu 
   pengundi,  memerangkap mereka  dengan bayangan kosong.
   
   12.   Sesungguhnya jika tidak ada angkara ciptaan parti
   lawan,  Malaysia  akan  menjadi  aman  dan  bahagia dan 
   tumpuan  boleh  diberi  sepenuhnya  kepada  pembangunan
   negara  dan perimbangan  pembangunan antara kaum.  Kita
   bukan tidak mahu ada  pembangkang. Mereka penting untuk
   menegur  Kerajaan  apabila Kerajaan terlalu "confident"
   dan   membuat  perkara-perkara   yang   salah.   Tetapi
   pembangkang di Malaysia tidak menegur,  hanya  melempar
   fitnah  dan   menyemai  kebencian  yang  tidak  berasas
   terhadap pemimpin dan parti Kerajaan.
   
   13.  Malaysia adalah negara  demokratik.  Sejak merdeka
   kita  telah  ada pilihanraya 10 kali.  Tiap  kali ramai 
   calon parti lawan yang menang,   bahkan   mereka  dapat
   mendirikan    Kerajaan-Kerajaan   Negeri.   Keadaan  di
   Malaysia tidaklah  seperti negara lain,  di mana  calon 
   parti lawan yang menang tidak di benar mengambil tempat
   dalam Parlimen dan kerap  diheret  ke  mahkamah.
   
   14.  Sebenarnya sistem demokrasi tidak mudah diamal. Di
   negara  maju ada yang  mendirikan 50 Kerajaan  dalam 55 
   tahun dan  ada yang  menukar  Perdana Menteri dua tahun
   sekali.  Pentadbiran  dan pembangunan negara tertinggal 
   di tangan kakitangan awam.
   
   15.  Biasanya  negara  maju  mempunyai  hanya  dua tiga 
   parti sahaja dan tidak terdapat banyak perbezaan antara 
   mereka.  Bagi  rakyat siapa menang tidak mempunyai apa-
   apa   makna.    Di  negara  membangun  berpuluh   parti 
   ditubuhkan untuk  bertanding  dan  kerapkali  tidak ada
   parti  yang  mendapat  majoriti.   Dengan itu  Kerajaan 
   campuran yang di tubuh tidak berwibawa. Akibatnya dasar
   yang jelas tidak dapat  diadakan  dan pentadbiran serta
   pembangunan menjadi kucar-kacir.
   
   16.  Di Malaysia kita berjaya  memberi  peranan  kepada 
   semua parti kecil dan besar melalui parti Perikatan dan
   kemudian Barisan Nasional.  Rakyat pula  memilih  parti 
   campuran ini sejak  kita merdeka.  Dan ini  membolehkan
   dasar  dan  perancangan  di buat untuk jangka masa yang 
   panjang,  dari 5 tahun hingga 30 tahun.  Hasilnya ialah
   pembangunan  Malaysia  dapat  dibuat secara berterusan. 
   Kita dapat lihat sesuatu dasar atau rancangan dilaksana
   kan dan kita akan tahu sama ada dasar dan rancangan ini
   baik atau tidak. Jika Kerajaan ditukar tiap pilihanraya,
   Kerajaan  baru  tetap   akan   mengenepikan   rancangan
   Kerajaan sebelumnya dan cuba merancang dan melaksanakan
   rancangannya  sendiri.  Belum pun terlaksana sepenuhnya
   rancangan ini Kerajaan diganti dan  rancangan baru pula
   dibentuk.  Tidak  akan  ada  rancangan yang dapat di 
   laksana sehingga berhasil.
   
   17.  Di Malaysia berkat mandat yang panjang yang diberi
   kepada Perikatan dan BN hari ini kita dapat lihat hasil
   dasar   dan  perancangan  Kerajaan  BN.   Diwaktu  kita
   mencapai  kemerdekaan  pada  tahun  1957 pendapatan per
   kapita hanyalah 300 dolar Amerika.  Hari ini ia menjadi 
   hampir 4000 dolar Amerika.  Oleh  kerana kita kawal kos
   sara hidup 4000 dolar ini,  dari  segi  daya  beli atau 
   "purchasing power"  adalah  sama  dengan  10,000  dolar 
   Amerika di Amerika.  Strategi  kita ialah mengawal  kos 
   sara  hidup  supaya  upah  yang  rendah  tidak bermakna 
   kualiti hidup juga rendah.  Sebaliknya  upah kerja yang 
   rendah menjadikan  barangan kita kompetitif dan menarik
   bagi para pelabur asing.
   
   18.  Kos  pembangunan  kita  juga  rendah.   Sebab  itu 
   Malaysia  mampu  mengadakan kemudahan-kemudahan seperti
   lebuhraya  bertaraf  antarabangsa,   keretapi  eletrik,
   kemudahan  rel transit ringan,  bekalan  air  dan  api, 
   lapangan terbang yang canggih dan pelabuhan yang antara
   10 terbesar di dunia.
   
   19.  Malaysia  dahulu  tidak  dikenali  oleh   sesiapa. 
   Tetapi sekarang  dunia  kenal  Malaysia,  bahkan  kenal
   Langkawi  sebagai  pusat  pelancongan  di mana Langkawi 
   International   Maritime   dan  Airshow   diadakan  dan 
   Langkawi  International  Dialogue  dihadiri oleh ketua-
   ketua negara. Langkawi sekarang hampir sama dengan Bali
   atau  Phuket  walaupun 10 tahun dahulu  tidak ada siapa 
   yang biasa dengar berkenaan Langkawi.
   
   20.   Kuala  Lumpur  sekarang  adalah  setaraf  ibukota
   metropolitan negara maju dengan penduduk seramai hampir
   2 juta, lengkap  dengan  semua  kemudahan,   hotel lima
   bintang,  kompleks  membeli-belah  dengan butik  jenama 
   terkenal  di dunia.   Oleh  kerana  kesesakan  di Kuala
   Lumpur,  Kerajaan  telah membangunkan Putrajaya sebagai 
   ibu kota pentadbiran diiringi oleh Cyberjaya,  pusat IT
   yang membawa kita masuk ke era maklumat.
   
   21.   Selain daripada pinjaman mudah dari Jepun,  semua
   pembangunan  di Malaysia  dibiayai  dari punca dalaman. 
   Kita tidak  hutang  dari  luar  dan  kebijaksanaan  ini 
   menjadi  nyata  apabila  penyangak  matawang menurunkan 
   nilai ringgit kita.  Kita tidak perlu cari ringgit yang
   lebih  banyak  untuk  membayar  hutang  dalam  matawang 
   asing.  Dengan  itu  kita  dapat  pulihkan kewangan dan
   ekonomi negara  kita  dengan   cara  kita  sendiri  dan 
   mengguna punca wang dalam negara.
   
   22.  Hanya  orang  yang  buta  akal  sahaja  yang masih 
   berkata  kita membazir wang.  Sebenarnya kita mempunyai
   kewangan  yang  kemas,   sebab  itu di waktu  dunia dan
   jiran-jiran  kita menghadapi masalah kerana kemerosotan 
   ekonomi  Amerika  Syarikat  dan peristiwa 11 September,
   kita mampu menambah perbelanjaan pembangunan,  membayar 
   bonus dan menaikkan gaji.  Tidak  mungkin  kita berbuat
   demikian  jika kita boros dan  menghabiskan duit rakyat 
   dengan sia-sia.
   
   23.  Ringgit  kita  yang  ditetapkan  nilainya sebanyak 
   RM 3.80 pada 1 dollar Amerika,  kekal dengan nilai ini.
   Tidak ada pasaran  gelap  ringgit  dan  percubaan  oleh 
   orang  asing  untuk  menekan  turun nilai ringgit tidak 
   berjaya sedikitpun.
   
   24.   Namun usaha untuk merosakkan ekonomi Malaysia  di
   teruskan.  Berita  bahawa  rusuhan  kaum  akan berlaku, 
   Malaysia  sebagai  negara Islam adalah merbahaya kepada 
   pelancong dan  pelabur asing,  Kerajaan  akan jatuh dan
   bermacam lagi laporan yang  tidak  berasas  sama sekali 
   disebarkan.
   
   25.  Berikutan peristiwa  11 September  berita  disebar 
   bahawa surat yang  diisi  dengan  kuman  anthrax  telah 
   dihantar ke Amerika oleh  Malaysia.  Walaupun  akhirnya
   disahkan  oleh pemerintah Amerika sendiri bahawa berita
   ini tidak benar,  tetapi  majalah-majalah  Barat  terus 
   menyebut tentang sebaran anthrax oleh Malaysia. Apabila 
   sahaja Malaysia disebut oleh media Barat,  disebut juga 
   tentang  kononnya  Kerajaan  Malaysia  menguasai  semua 
   akhbar  di Malaysia  yang  hanya  menyiar  berita  pro-
   Kerajaan. Bahawa International Herald Tribune dan Asian
   Wall Street Journal  dicetak  dan diedar dari  Malaysia
   dan dijual kepada rakyat  Malaysia dan di negara-negara 
   Timur dan  akhbar-akhbar  ini  sering memburuk-burukkan
   Malaysia,  menyebar fitnah terhadap Malaysia tidak juga
   menghentikan tuduhan bahawa Kerajaan Malaysia menguasai
   semua berita dan akhbar Malaysia.
   
   26.   Hari ini negara-negara Barat menapis berita  yang
   disiarkan oleh media  Barat.  Tidak  pula  ada  kecaman
   terhadap Kerajaan-Kerajaan  Barat  kerana  menapis  dan 
   menghalang kebebasan media Barat.
   
   27.  Sementara  itu  usaha  diteruskan   untuk  meroboh 
   sempadan negara-negara  untuk menjayakan  globalisasi - 
   dunia tanpa  sempadan.  Kebebasan  dunia tanpa sempadan
   ini hanyalah untuk modal. Sebaliknya jika pelarian dari 
   negara miskin cuba untuk  memasuki  negara-negara  yang 
   kononnya  percaya  sempadan  menyekat  kemajuan negara, 
   tindakan diambil dengan kejam untuk menentukan walaupun
   sempadan sudah  tidak  ada, melintasnya  masih tidak di 
   benar.  Dan  ramailah  yang  tenggelam di laut  apabila 
   bot-bot buruk mereka  ditolak  keluar.
   
   28.  Sesungguhnya   abad  ke-21  alaf  ketiga  ini mem-
   perlihatkan  lebih banyak ketidakadilan dan  kebengisan
   mereka yang kaya  dan kuat daripada  sebelumnya.  Tidak
   ada gunanya kita menjerit "foul" kerana tidak ada siapa
   yang akan dengar kita, yang akan menolong  kita.  Sejak
   zaman batu "might is right" dan hari ini pun "might is 
   still right".  Jika kita ingin menyelamatkan diri kita,
   kitalah yang perlu berusaha.
   
   29.  Kita   telah   bina    sistem   pemerintahan   dan 
   pentadbiran yang cukup  baik.   Kelebihan  Barat  ialah 
   sistem  atau  method   mereka.    Kita  sudah   belajar 
   pendekatan Barat ini dan kita  telah baiki lagi  sistem
   ini supaya sesuai dengan keperluan  kita.  Sistem tidak 
   akan  menghasilkan  kejayaan  jika kita  tidak memiliki 
   disiplin dalam pengamalannya.
   
   30.  Kita telah cipta kerjasama antara kaum yang  unik. 
   Apa juga cabaran yang kita hadapi pegangan kita  kepada
   sistem berkongsi kuasa antara kaum,  antara parti perlu 
   dikekalkan.  Tiap  seorang  daripada kita mesti sanggup 
   mengorbankan   kepentingan   tertentu    kita    supaya
   kepentingan  bersama dapat dicapai.
   
   31.   Tiap parti komponen mesti sedar akan hakikat ini.
   Janganlah  sesiapa mengutamakan diri sehingga perpaduan 
   parti menjadi retak. Jika kita kalah kita mesti sanggup
   undur  diri   "gracefully".    Kekecewaan   kita  tidak 
   sepenting kejayaan parti.
   
   32.  Walaupun  BN adalah  parti  campuran  tetapi  kita 
   berfungsi sebagai "unitary parti".  Kita tidak mencabar 
   sesama kita. Walaupun  tidak  mendapat  apa  yang  kita
   tuntut,   kita  tidak  boleh  kecewa  dengan  mengancam 
   kestabilan dan perpaduan dalam parti dan antara parti.
   
   33.  Yang keduanya,  sistem pentadbiran oleh  pentadbir
   yang profesional.   Pentabdir menjalankan sahaja  dasar 
   dan pendekatan parti yang mendapat  mandat  memerintah.
   Mungkin   pentadbir  kurang  senang  dengan  dasar  dan
   pendekatan  parti  pemerintah,  tetapi  pendirian  atau
   pegangan pentadbir tidak boleh mempengaruhi  urusannya. 
   Mungkin pentadbir memberi pandangan atau nasihat kepada
   pemimpin  parti pemerintah tetapi  samada diterima atau
   tidak  tugas  pentadbir  adalah  melaksanakan dasar dan 
   arahan parti pemerintah yang dipilih.
   
   34.   Antara eksekutif parti pemerintah dengan  pegawai
   tertinggi  pentadbiran hubungan yang unik dan  sensitif
   diperlukan.  Tanpa menyentuh bidang kuasa masing-masing
   pentadbiran yang mencerminkan falsafah parti pemerintah
   perlu diwujudkan.   Dengan  hubungan  ini  maka  sebuah
   Kerajaan yang berkesan dan berwibawa dapat diadakan.
   
   35.  "Mutual  respect"  mesti  wujud   diantara   parti 
   pemerintah dengan jentera pentadbiran.
   
   36.  Pemerintahan Malaysia belum cukup sempurna. Banyak
   lagi  yang perlu dibuat untuk menjamin pemerintahan ini 
   akan kekal  dan  berkesan  walau  siapa pun yang diberi  
   mandat memerintah.  Tetapi hakikatnya  ialah,  walaupun
   pemerintahan  belum  cukup  sempurna,   Malaysia  dapat 
   dibangun dengan sistem ini.  Dari  sebuah negara dengan 
   penduduk seramai 5 juta  dan  ekonomi  yang  bergantung 
   hanya kepada  getah dan bijih timah,  kita  telah dapat 
   mendirikan  jentera  pentadbiran  bagi  sebuah   negara 
   industri   yang  canggih  yang  dapat  berlumba  dengan
   negara-negara maju.
   
   37.  Oleh  itu  kita  daripada   parti-parti   komponen
   Kerajaan campuran hendaklah pelihara sistem pentadbiran
   yang telah  kita  bentuk  bersama.   Janganlah  sesiapa
   membuat  sesuatu  yang  boleh  merosakkan  jentera ini.
   Janganlah kita menjadi  angkuh kerana kejayaan kita dan
   kita "take things for granted".
   
   38.  PPP  sebagai   satu  daripada   parti  komponen BN 
   mempunyai  tangungjawab  yang  besar  bukan semata-mata
   kepada parti PPP, bukan sahaja kepada BN, tetapi kepada 
   pengekalan    kesejahteraan    negara    Malaysia   dan 
   penduduknya.
   
   39.  Malaysia adalah negara kita bersama.  Di sini kita
   dilahir, di sini kita  membesar, bekerja  dan  bermain, 
   dan di sini juga kita akan  menghembus  nafas  terakhir 
   kita.   Oleh itu  berjaga-jagalah dan berusahalah untuk 
   memajukan  lagi tanahair tercinta ini.
   
   40.   Sekarang dengan segala sukacitanya saya  rasmikan
   Perhimpunan Agung Parti   Progresif  Penduduk  Malaysia 
   yang ke-48 dan saya berharap  kekukuhan  parti PPP akan
   menyumbang kepada pembangunan negara tercinta ini.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google