home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM) Tarikh/Date : 31/12/2001 Tajuk/Title : PERUTUSAN PERDANA MENTERI SEMPENA TAHUN BARU 2002 Versi : Penyampai : PM Masa berlalu dengan amat pantas. Esok kita akan melangkah masuk ke tahun baru 2002. Kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana kita akan memasuki tahun 2002 dengan keadaan negara kita terus tenang, aman dan stabil; rakyatnya bersatu padu dan sejahtera dan ekonominya terus kukuh walaupun ditekan oleh ekonomi dunia yang merosot akibat kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan Jepun, lebih-lebih lagi selepas serangan ganas September 11. 2. Jika kita banding dengan apa yang berlaku di kebanyakan negara lain di dunia ini, rakyat Malaysia memang bernasib lebih baik kerana kita dapat menangkis banyak kesan buruk daripada kemerosotan ekonomi dunia. Semua ini adalah hasil daripada sikap majoriti rakyat Malaysia yang sederhana serta rasional dan dapat membantu Kerajaan dalam usaha menangkis percubaan- percubaan dan tekanan yang boleh merosakkan ekonomi, kewangan dan kestabilan negara. Kepakaran yang terdapat dalam Kerajaan Malaysia membolehkan kita mencipta dan melaksanakan berbagai-bagai pendekatan dan tindakan untuk menyelamatkan negara kita. 3. Walaupun ekonomi dunia merosot dan pelaburan asing berkurangan dengan teruk serta eksport kita menurun tetapi dengan perancangan dan galakan peruntukan khas, kita dapat mengganti sumbangan luar kepada pertumbuhan ekonomi kita dengan sumber dalaman. Ini dapat kita lakukan kerana kedudukan kewangan kita kukuh hasil daripada pengurusan kewangan yang berhemat. Tidak mungkin kita membayar bonus dan mengadakan pakej rangsangan berbilion Ringgit jika kita tidak mempunyai simpanan dan tabungan yang besar. Kita tidak perlu pinjam dari luar negeri kerana sumber dalaman lebih daripada mencukupi. Walaupun demikian kita berhati- hati dalam membelanjakan wang negara kerana kita tidak dapat tentukan bila ekonomi dunia akan pulih dan kita tidak dapat tentukan yang malapetaka lain tidak akan berlaku. 4. Sesungguhnya rakyat dan Kerajaan dapat memelihara ekonomi negara tanpa terlalu bergantung kepada faktor luaran. Sokongan rakyat terhadap kawalan pengaliran modal menjamin simpanan matawang asing tidak merosot dengan cepat. Oleh kerana kita lebih berbelanja dalam negeri maka pengaliran wang ke luar negara tidak mengurangkan kekuatan kewangan kita. Sebenarnya di Malaysia terdapat semua keperluan hidup, termasuk tempat-tempat melancong untuk semua tahap pendapatan. Tidak ada yang kurang di Malaysia dan kebanyakan dari keperluan makanan dan kelengkapan adalah hasil usaha kita sendiri. 5. Bukanlah niat kita untuk mengurangkan dagangan antarabangsa kita. Tetapi peratusan pergantungan kita kepada faktor luaran yang tidak dapat dikawal oleh kita hendaklah kita kurangkan supaya apabila ekonomi dunia tumbuh semula ianya dapat menguntungkan kita, sementara kemerosotannya tidak terlalu menekan kita. Kita juga harus tingkatkan eksport barangan lain daripada elektronik dan elektrikal supaya sektor ini tidak mempengaruhi prestasi ekonomi kita terlalu sangat. 6. Sebenarnya pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran kita bergantung kepada "agility" atau kemampuan tindakan pantas kita apabila berhadapan dengan masalah. Setakat ini kita masih dapat menyelamatkan diri kita dengan mengguna pendekatan kita sendiri. Alhamdulillah, penolakan nasihat IMF bukan sahaja telah menyelamatkan kita tetapi mengekalkan kebebasan kita dalam mentadbir negara kita sendiri. 7. Tahun 2001 juga menyaksikan pelancaran Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) 2001 - 2010 dan Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) 2001 - 2005). Tahun 2001 juga bertuah kerana Malaysia telah berjaya menggondol pingat emas terbanyak dalam Sukan SEA yang diadakan di negara kita. Yang membanggakan ialah kecemerlangan atlit dan ahli sukan negara ini ialah kerana sokongan kuat dan padu daripada rakyat berbilang kaum yang sentiasa membanjiri stadium untuk memberi semangat dan tepukan tanpa mengira kaum atlit berkenaan. 8. Inilah keunikan negara kita. Di waktu kita mencapai kemerdekaan dunia tidak yakin sama sekali kita akan dapat elak ketegangan hubungan antara kaum, jauh sekali membangunkan negara kita. Tetapi melalui pendekatan unik kita, perhubungan antara kaum dipelihara dengan baik, keamanan ditentukan dan pembangunan yang amat pesat dijayakan. Dasar Ekonomi Baru umpamanya telah berjaya menyelamatkan negara daripada rusuhan kaum seperti yang berlaku di negara- negara lain apabila kegawatan ekonomi berlaku. 9. Namun dalam kegembiraan kita mengimbas kejayaan sepanjang tahun, kita juga sedih dan duka di atas kemangkatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang kesebelas, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj baru-baru ini. Pemergian almarhum yang dikasihi dan yang sentiasa mengambil berat tentang hidup rakyat dan kemajuan negara sungguh dirasai oleh rakyat jelata. Pada kesempatan ini Kerajaan dan rakyat ingin mengucap tahniah kepada Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang kedua belas. Tahniah juga diucap kepada Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin Sultan Terengganu yang dilantik semula sebagai Timbalan Yang di Pertuan Agong. 10. Peristiwa serangan 11 September ke atas Amerika Syarikat telah memberi kesan mendalam kepada seluruh dunia, termasuk Malaysia. Keadaan dunia tidak akan sama seperti sebelumnya. Ia bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi bahkan psikologi manusia. Ramai yang takut untuk terbang dengan pesawat penumpang. Demikianlah berkurangnya bilangan penumpang sehingga banyak syarikat penerbangan dunia yang muflis atau bermasalah. Dengan ini industri perhotelan dan lain- lain yang terlibat dengan pelancongan dan "business travel" terjejas. Dagangan dan industri pembuatan juga turut terjejas dan dunia mengalami kemerosotan yang teruk dan sukar dipulih. 11. Malaysia menyertai negara-negara lain di dunia mengutuk keganasan yang dilakukan pada 11 September dan keganasan di mana-mana sahaja. Keganasan bukanlah cara untuk menyelesaikan masalah. Kita tidak menafikan bahawa terdapat banyak ketidakadilan di dunia, dan ketidakadilan ini perlu dibersihkan. Tetapi ia hendaklah diusaha melalui tindakan yang tidak menjadikan orang lain yang tidak bersalah sebagai mangsa. Dalam peperangan untuk membebaskan wilayah dari kuasa asing pun, keganasan tidak boleh diterima atau dihalalkan. 12. Memang benar ramai daripada kaum dan bangsa di dunia yang ditindas dan ditakluk oleh kuasa-kuasa lain. Mereka berhak berjuang untuk membebaskan diri mereka, walaupun melalui peperangan. Jika dunia tidak ingin melihat tindakan keganasan, dunia hendaklah memberi perhatian kepada ketidakadilan dan penindasan yang berlaku ini. Dengan hanya memburu pengganas dan membunuh mereka tidak bermakna keganasan akan terhenti. Selagi ada penindasan dan penaklukan satu-satu kaum oleh kaum dan bangsa lain, akan ada orang yang akan sanggup mengganas. 13. Malaysia telahpun menyuarakan pendapat dan pandangan kita. Kita mengecam keras terhadap tindakan pengganas pada 11 September. Dan kita menentang sebarang keganasan. Kita bersama dunia dalam sebarang usaha untuk memburu dan menangkap mana-mana pengganas tidak kira apa bangsa dan agama mereka. 14. Walaubagaimanapun kita menentang serangan ke atas Afghanistan kerana khuatir mereka yang tidak bersalah dan berdosa akan menjadi mangsa. Kita harap dunia akan faham pandangan kita. Kita juga berharap keamanan dan kestabilan akan kembali kepada Afghanistan secepat mungkin. Di masa yang sama kita menentang sebarang tindakan ala serangan Afghanistan ke atas negara-negara Islam yang lain. Janganlah kerana ternampak kejayaan di Afghanistan maka serangan yang serupa dilancar ke atas negara-negara lain. 15. Sebaliknya serangan ke atas rakyat Palestin oleh Israel perlu dihentikan. Dan ini hanya boleh dijayakan jika Bangsa-Bangsa Bersatu menghantar pasukan tentera untuk memisahkan tentera Israel dari rakyat Palestin. Kemudian sempadan Israel perlu ditentukan dan wilayah Palestin yang dirampas oleh Israel dikembalikan kepada Palestin. Jika ini dapat dijayakan maka keganasan akan dikurangkan lagi. 16. Kita tidak melihat peristiwa ini sebagai pertembungan tamadun atau "clash of civilisation." Orang Islam dan bukan Islam di Malaysia tidak melihat peristiwa yang berlaku sebagai pertelingkahan di antara agama Islam dan Kristian. Dengan itu kita dapat mengelak sebarang peristiwa yang tidak diingini berlaku di negara kita. Malah kita berbangga rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama sanggup menderma kepada Tabung membantu pelarian Afghanistan, dan mereka bersimpati dengan penderitaan rakyat Palestin. 17. Satu perkara baik yang timbul daripada peristiwa tersebut ialah Malaysia kini diakui oleh banyak negara dan pihak sebagai sebuah negara Islam yang berpegang teguh kepada kesederhanaan ajaran Islam yang sebenar. Imej Islam dapat dipulih sedikit dengan kestabilan, demokrasi, keharmonian antara kaum dan penganut agama yang berlainan serta kemajuan yang ketara di Malaysia. Kita dapat membuktikan bahawa negara Islam dapat ditadbir dengan baik, dibangun dan distabilkan, walaupun mengamal sistem demokrasi. Di sini "the rule of law" atau pentadbiran mengikut perundangan yang tidak kenal pangkat dan bulu dapat diamalkan. Walaupun majoriti penduduk terdiri daripada orang Islam dan mereka boleh merebut kuasa untuk diri mereka sahaja dan menidakkan hak kaum dan penganut agama lain, ini tidak berlaku. Ini adalah bukti yang negara Islam boleh diadakan di mana hak bukan Islam dipelihara dengan cukup baik, dan kehidupan antara penganut agama yang berlainan berada dalam keadaan harmoni. Kita boleh berbangga kerana bukan sahaja negara bukan Islam tetapi kebanyakan negara Islam juga menganggap Malaysia sebagai Negara Islam contoh yang mereka idamkan. Dengan itu pelawat dari negara Islam dan bukan Islam datang ke negara kita untuk melihat dan mempelajari akan dasar dan cara kita jayakan negara berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa ini. Rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama bukan sahaja boleh berbangga dengan keadaan yang terdapat di negara kita tetapi perlu menghargainya. Janganlah kita anggap kestabilan dan kemajuan negara kita adalah perkara biasa yang akan berterusan selama-lamanya tanpa apa-apa usaha oleh kita. Janganlah kita `take for granted' apa yang terdapat di negara kita. Sesungguhnya keadaan di Malaysia dicapai melalui dasar, perancangan dan usaha yang mengambilkira sensitiviti kaum-kaum yang berlainan di negara ini, keadaan sumber manusia dan sumber alam, dan punca-punca kekayaan yang sedikit yang kita warisi. 18. Untuk meneruskan pembangunan dan ketahanan negara kita di zaman pengetahuan dan teknologi maklumat, usaha di buat untuk meningkatkan penguasaan ilmu oleh semua rakyat kita. Kita amat kecewa kerana usaha mengimbangi penguasaan ilmu antara kaum tidak tercapai seperti yang dirancang oleh Dasar Ekonomi Baru. 19. Dizaman penjajah memangpun penjajah tidak mengutamakan pemilikan ilmu pengetahuan oleh penduduk wilayah yang dijajah oleh mereka. Lebih bodoh rakyat jajahan takluk mereka lebih mudah penguasaan oleh mereka. 20. Apabila sahaja kita mencapai kemerdekaan kita telah tumpu kepada pembetulan keadaan ini. Sejak merdeka tidak kurang daripada 20 peratus Belanjawan Negara diperuntukkan kepada bidang pelajaran, penguasaan ilmu dan berbagai-bagai jenis latihan kemahiran. Sekolah, maktab dan universiti didirikan dan biasiswa disediakan. Dimana kemudahan dalam negara tidak ada, kita hantar penuntut kita ke luar negeri. Oleh kerana Bumiputera jauh ketinggalan di belakang dalam pelajaran dan kemahiran, keutamaan yang tinggi diberi kepada kanak-kanak dan belia Bumiputera untuk mempelajari apa juga ilmu yang diminati atau diperlukan oleh negara yang ingin membangun ini. 21. Sambutan kepada usaha mempertingkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran oleh Bumiputera, terutamanya Melayu, pada mulanya amat baik. Mereka belajar dengan tekun di sekolah untuk melengkapkan diri mereka supaya dapat ke universiti, dapat mengejar bukan Bumiputera dalam bidang-bidang yang mereka ketinggalan. 22. Malangnya setelah bantuan bagi Bumiputera di- tingkatkan ada pihak yang menghasut supaya Bumiputera tidak tekun belajar dan tidak berminat ke universiti. Penghasut ini lebih mengutamakan kepentingan politik mereka. Kononnya pelajaran yang bukan berkenaan agama tidak menjadi bekalan untuk akhirat. Pelajaran bukan berkenaan Islam adalah pelajaran sekular yang tidak dituntut oleh agama Islam. 23. Tujuan penghasut ini ialah supaya orang Islam akan dapat dikuasai oleh mereka. Mereka takut jika orang Islam menjadi pandai dan boleh berfikir maka mereka akan menyoal kepimpinan puak ini dan menolak mereka. Seperti juga dengan penjajah dahulu mereka tidak suka melihat orang Islam berpengetahuan dan berfikir. Mereka mendakwa bahawa orang Islam tidak perlu berfikir, memadai dengan menerima bulat-bulat Islam yang diajar oleh mereka, iaitu Islam yang sempit yang menolak ilmu- ilmu lain. 24. Sebenarnya Islam menyuruh kita mempelajari bukan sahaja agama kita tetapi bidang-bidang yang lain juga. Perkataan yang pertama yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ialah " Iqrak", iaitu "Baca". Kita tahu Nabi tidak boleh membaca. Jelas sekali yang disuruh ialah mempelajari membaca. Apakah yang hendak dibaca ketika itu, sebelumpun wahyu yang lain diturunkan? Tentulah ilmu-ilmu lain daripada Islam. 25. Kita juga tahu bahawa satu daripada hadis Nabi ialah untuk menuntut ilmu walaupun sampai ke negeri Cina. Apakah di zaman Nabi agama Islam boleh dipelajari di negeri Cina? Di zaman Nabi, China sudah cekap membuat kertas, bahan letupan, barang tembikar dan lain-lain. Tentu ilmu yang disuruh tuntut di China adalah berkenaan ilmu-ilmu yang lain daripada Islam. Tentulah Nabi berpandangan bahawa tuntutan ilmu selain daripada agama Islam adalah penting bagi umat Islam. 26. Jika semua orang Islam mempelajari agama sahaja supaya mereka kononnya akan mendapat tempat di syurga di akhirat, orang Islam tidak mungkin hidup. Mereka tidak akan ada ilmu berkenaan dengan pertanian, pemakanan, pengeluaran barangan kegunaan hidup, senjata untuk mempertahankan umah, ilmu pelayaran dan pengangkutan, ilmu pergerakan bintang di langit sebagai panduan perjalanan di padang pasir dan laut, penggunaan logam dan seribu satu ilmu lain yang penting untuk kehidupan dan kesejahteraan umat Islam. Sebenarnya umat Islam disuruh menyediakan semua keperluan masyarakat Islam sebagai sebahagian daripada fardu kifayah. Tetapi pihak tertentu sengaja tidak memperingati dan menekankan fardu kifayah kerana ingin melihat umat Islam menjadi bodoh dan bergantung kepada mereka semata-mata untuk panduan hidup, supaya mereka dapat terus mengongkong pemikiran umat Islam. 27. Bahawa kerana halangan untuk menguasai ilmu dan kemahiran yang penting maka umat Islam menjadi lemah dan mudah ditindas oleh musuh Islam tidak sedikit pun dipedulikan oleh pihak ini. 28. Di Malaysia keengganan penuntut Melayu mempelajari ilmu-ilmu selain daripada agama Islam adalah kerana mereka percaya penguasaan ilmu lain tidak akan menjadi mereka orang Islam yang baik. Mereka tidak faham akan maksud fardu kifayah. Mereka tidak faham bahawa oleh kerana mereka abaikan fardu kifayah mereka dan seluruh masyarakat Islam menanggung dosa. Mereka diajar hanya untuk menunaikan fardu ain untuk kepentingan diri mereka sahaja. 29. Oleh kerana sebab ini maka hari ini satu keganjilan berlaku. Walaupun peratusan lelaki dan wanita lebih kurang sama dalam masyarakat kita, jumlah penuntut lelaki di universiti-universiti hanya separuh sahaja daripada penuntut wanita. 30. Apakah ini disebabkan penuntut lelaki tidak cerdik daripada penuntut wanita? Ini sudah tentu tidak. Sebabnya kelulusan penuntut lelaki rendah ialah kerana mereka tidak tekun belajar. Dari bangku sekolah lagi mereka diajar supaya menolak penguasaan ilmu kerana mereka hanya dikehendaki mempelajari agama. Tetapi pelajaran agama juga tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar. Pelajaran mereka tertumpu kepada rupa bentuk Islam dan bukan isi kandungan Islam, kepada membenci orang Islam lain yang didakwa kononnya tidak Islam atau tidak cukup Islam. Mereka diajar yang sunat itu wajib dan yang wajib itu sunat. Pendek kata segala kebaikan daripada ajaran agama Islam diketepikan dan keburukan dicipta sebagai sebahagian daripada agama Islam yang suci itu. 31. Hari ini segala kemudahan yang diberi kepada Bumiputera Melayu khususnya menjadi sia-sia sahaja. Pendapat sebahagian daripada orang Melayu ialah sementara anak Melayu tidak belajar ilmu-ilmu yang penting ini, bukan Melayu disekat daripada mempelajari ilmu-ilmu ini. Tetapi ini tidak mungkin. Lagipun untuk memelihara kebebasan negara kita, rakyat yang berpengetahuan adalah mustahak. Jika orang Melayu tidak mahu mengejar ilmu, negara terpaksa bergantung kepada bukan Melayu. Janganlah orang Melayu marah atau kecewa jika tugas-tugas yang penting dalam negara ini dipegang oleh orang bukan Melayu, jika kekayaan dan kesejahteraan hidup dinikmati oleh orang bukan Melayu. Jika orang Melayu pilih untuk mengabaikan ajaran Islam berkenaan dengan penguasaan ilmu, berkenaan fardu kifayah, yang bersalah jika orang Melayu menjadi kaum yang mundur di negara ini ialah mereka sendiri. Yang amat menyedihkan lagi ialah 99 peratus daripada orang Islam di Malaysia adalah orang Melayu; bermakna kemunduran orang Melayu adalah kemunduran orang Islam. Sekali lagi orang Islam ketinggalan walaupun di negara di mana orang Islam menjadi majoriti dan berkuasa. 32. Semua ini adalah hasil pengkhianatan oleh sebilangan orang Islam yang ingin mengguna pengaruh mereka sebagai orang yang berpelajaran agama untuk memperbodohkan orang Islam supaya mereka akan terus berpengaruh dan berkuasa. Di mana-mana sahaja terdapat orang jenis ini yang menyebabkan orang Islam menjadi lemah, negara Islam menjadi lemah dan umat Islam dihina, ditindas dan diseksa. Sesungguhnya keburukan yang menimpa orang Islam datangnya daripada mereka sendiri kerana mereka membelakangkan ajaran Islam yang sebenar. Janganlah sesiapa mendakwa semua malapetaka yang menimpa orang Islam telah ditakdirkan. 33. Sesungguhnya amatlah sukar untuk membangun dan mengimbangkan kemajuan kaum-kaum di negara berbilang kaum ini. Sudah banyak dasar, rancangan, peruntukan wang, dana dan agensi khusus diadakan untuk menolong Bumiputera dan orang Melayu menjayakan diri mereka. Pencapaian masih jauh dari matlamat yang ditentukan. Masih juga berbagai-bagai cadangan dan syor yang dibuat oleh Bumiputera, oleh seminar dan kongres mereka untuk memperbaiki kedudukan ekonomi mereka. Tetapi kita tahu pelaksanaan semua cadangan dan syor-syor ini tidak akan membawa kita ke mana-mana. Sebabnya ialah oleh kerana halangan yang utama tidak dihapuskan. 34. Kelemahan dan kurang jayanya bumiputera disebabkan nilai hidup mereka. Saya tidak berhajat untuk mengulas nilai hidup yang dimaksudkan. Tetapi orang Islam tentu tahu bahawa Tuhan tidak akan mengubah nasib mereka sehinggalah mereka mengubahnya sendiri. Yang perlu diubah ialah nilai hidup Bumiputera, nilai hidup orang Melayu yang tidak menepati ajaran Islam. Jika mereka mengubah nilai hidup mereka supaya menepati ajaran Islam yang sebenar, Insya-Allah mereka akan menjadi orang yang beruntung dan berjaya. 35. Kita hidup sekarang dalam dunia yang berlumba- lumba untuk mencapai kemajuan. Siapa yang kalah bukan sahaja akan ketinggalan di belakang tetapi akan dihina dan ditindas dengan kejam. Kita sedang lihat ini berlaku di hadapan mata kita. Tamadun moden ini didakwa sebagai tamadun yang canggih, yang penuh dengan nilai-nilai kemanusiaan. Tetapi sebenarnya tamadun zaman ini, tamadun abad ke-21 alaf ketiga ini, masih tamadun primitif zaman batu. Di zaman ini ukuran kebenaran ialah kemampuan membunuh yang teramai sekali. Sesiapa yang boleh membunuh dengan sewenang-wenangnya, bilangan yang terbesar dalam masa yang tersingkat, merekalah yang benar. Dan kebenaran mereka akan dipuja oleh media dan NGO yang dikuasai oleh mereka. Inilah dunia moden yang kita hadapi. 36. Kita tidak mungkin mengalahkan mereka tetapi jika kita bijak, jika kita dapat dirikan negara yang berkebolehan tertentu, jika kita tahu sejauh mana kita boleh pergi, kita mungkin dapat memelihara dan mengekalkan kebebasan kita, maruah kita. 37. Alhamdulillah, walaupun kita masih lemah, kita tidaklah dihina dan dipermainkan oleh sesiapa. Untuk mengekalkan keadaan kita sebagai negara yang bebas dan merdeka, hendaklah kita faham kelemahan dan kebolehan kita dan cabaran yang akan ditujukan kepada kita dalam dunia moden ini. 38. Marilah kita bersama-sama merenung akan nasib baik kita sehingga kini dan menentukan kita tidak menjadi mangsa tamadun primitif abad ke-21 alaf ketiga ini. 39. Bagi pihak Kerajaan dan diri saya, saya ucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat daripada semua kaum dan agama. Mudah-mudahan tahun 2002 akan membawa lebih nikmat dan kebahagiaan kepada kita semua. Sumber : Pejabat Perdana Menteri |