Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL CROWN PRINCESS, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 29-01-2002 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN ISU DAN PROSES PEMBUKAAN MINDA UMAT MELAYU ISLAM Versi : Penyampai : PM Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka kerana menjemput saya untuk merasmikan persidangan "Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam" pada hari ini. 2. Apabila orang Melayu ditakluk oleh Portugis pada tahun 1511, mereka sudah pun beragama Islam. Sejak menganuti agama Islam budaya orang Melayu amat dikuasai oleh agama Islam. Mereka tidak dapat dipisahkan daripada agama Islam. 3. Mereka menerima agama Islam kerana orang Arab Yaman dan orang India Islam bukan sahaja berani melintasi laut yang luas dan bergelora tetapi mereka adalah pedagang yang amat berjaya. Sebagai pedagang yang kaya mereka dapat menjalin hubungan dengan raja-raja Melayu. Akhirnya mereka berjaya mengislamkan raja-raja Melayu dan seterusnya rakyat Melayu. 4. Yang harus kita ambil perhatian ialah jika orang Arab dan India Islam ini kecil miskin, daif, dan menjadi kuli orang lain, tidak mungkin mereka mendekati elit Melayu dan tidak mungkin mereka mengembangkan Islam di kalangan raja dan rakyat Melayu. Mustahil kalau mereka mendakwa walaupun mereka miskin tetapi di akhirat mereka akan ditempatkan di syurga, sebaliknya raja-raja Melayu akan ditempatkan di neraka, maka raja- raja Melayu akan mempercayai mereka. Kejayaan mereka di dunialah yang menarik perhatian dan mempengaruhi orang Melayu. 5. Hakikat ini perlu kita sedari jika kita ingin membuka minda sesiapa dan kita ingin mengembangkan kepercayaan kita, agama kita. Sekarang ini oleh kerana rata-rata orang Islam daif dan ketinggalan dalam hampir semua bidang mereka bukan sahaja tidak berpengaruh malah mereka dan agama Islam di hina. Kononnya kekayaan dan kemajuan di dunia tidak perlu untuk mendapat tempat di akhirat adalah pendapat orang yang kecewa. Orang yang kecewa seperti ini bukanlah jenis yang boleh mengembangkan agama Islam dan mendirikan empayar Islam. 6. Sebenarnya orang yang mendirikan empayar dan tamadun Islam adalah orang yang berilmu pengetahuan yang amat tinggi, ilmu hasil daripada kesanggupan menguasai ilmu lama yang diterokai oleh orang Yunani, Rom dan Parsi, yang berjaya meneroka, yang menambah tokok kepada ilmu-ilmu ini di samping mempunyai pengetahuan agama Islam yang belum dicemar dan iman yang amat kukuh. 7. Kita harus bersyukur kerana kita sudah Islam apabila Portugis menakluk Melaka. Jika tidak kita mungkin tidak akan menjadi penganut agama Islam. 8. Tetapi bersyukur tidak bermakna hanya menadah tangan untuk menyatakan kesyukuran kita kepada Allah s.w.t. dan meminta-minta lagi pertolongan untuk diri kita, meminta kita diselamat dan dipeliharakan oleh Allah s.w.t. kerana dalam Al Quran disebut bahawa kita dikehendaki menolong diri kita dahulu sebelum Tuhan menolong kita. Nabi pun semasa mengembangkan Islam terpaksa bertindak menyelamatkan Islam dengan mencari perlindungan di negara Kristian, berhijrah ke Madinah, menyatupadukan penganut agama Islam dan membentuk pasukan pertahanan Islam. Kemenangan di Badar tercapai apabila pasukan kecil Islam berani menentang musuh yang lebih ramai. Tuhan memberi pertolongan kepada pasukan ini. Tetapi di Jabal Uhud tentera Islam tidak berdisiplin dan mereka dikalahkan oleh musuh. Tuhan tidak menolong mereka. 9. Yang jelas ialah walaupun orang Islam menjadi khalifah di dunia, mereka perlu berusaha dan tertib sebelum Allah s.w.t. menolong menjayakan usaha mereka. Jika mereka hanya menadah tangan dan berdoa, Tuhan tidak akan makbulkan doa mereka. 10. Apabila kita dikalahkan oleh Portugis, walaupun kita terus menganut agama Islam, tetapi kita lemah semangat, tidak berusaha dan tidak cuba mempelajari ilmu-ilmu yang memberi kemenangan kepada musuh-musuh kita. Kerana kita tidak berusaha, maka selama 450 tahun kita dijajah dan dihina. Sudah tentu agama kita juga, agama Islam, turut terhina. 11. Kita boleh merancang dan menyalahkan kezaliman penjajah. Tetapi penjajah tidak akan membetulkan diri mereka untuk menyelamatkan kita. Harapan ini tidak munasabah. Yang akan mempertahankan kita dan menyelamatkan agama kita ialah kita sendiri. Jika kita tidak berusaha tetapi sebaliknya hanya berdoa meminta pertolongan dari Allah s.w.t., apakah kita akan dapat menyelamatkan diri kita? Minda kita selepas dijajah ditutup dengan kepercayaan bahawa orang kulit putih tetap superior daripada kita. Hingga ke hari ini pun ramai daripada kita mempunyai minda yang tertutup ini. 12. Kita bincang hari ini berkenaan dengan Melayu Islam. Sebenarnya Melayu tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Undang-undang menentukan seseorang itu bukan Melayu melainkan ianya beragama Islam. Samada ia komited atau tidak, orang Melayu adalah orang Islam. Ini membezakan Melayu dari orang Islam lain. Orang Arab pun ada yang beragama Nasrani tetapi masih juga orang Arab. Di zaman Nabi tidak ada perbezaan antara pakaian orang Arab yang bukan Islam, termasuk orang Jahiliah, dengan orang Arab yang telah menerima agama Islam, melainkan daripada segi menutup aurat. Sebenarnya tentera Salib telah membunuh ramai Arab Nasrani kerana mereka juga berjanggut dan berjubah. Yang jelas ialah pakaian tidak menentukan pegangan kepada agama Islam. Yang menentukan ialah iman dan takwa. Tetapi ramai orang Melayu/Islam sanggup bermusuh-musuhan dengan orang Islam saudara seagama mereka sambil memegang kuat kepada rupa-bentuk yang dianggap Islam oleh mereka. 13. Namun minda orang Melayu berkait rapat dengan minda Islam. Oleh itu untuk membincang minda Melayu kita perlu tahu ajaran agama Islam yang sebenar. 14. Di sini akan ada mereka yang menyoal apa dianya yang dikatakan agama Islam yang sebenar. 15. Sebenarnya agama Islam adalah agama yang mudah dianuti. Apabila seorang tawanan perang hendak dibunuh oleh seorang pejuang Islam, tawanan perang itu telah melafazkan dua khalimah syahadah, mengakui Tuhan yang satu, dan Kerasulan Nabi. Mendengar lafaz tawanan perang tersebut, Nabi melarang pengikutnya membunuh musuh yang baru ditawan itu. Pengikut Nabi membantah kerana katanya lafaz itu tidak ikhlas dan hanya bertujuan untuk menyelamatkan dirinya daripada dibunuh. Namun Baginda masih tidak membenarkan orang tawanan itu dibunuh kerana dengan melafazkan dua kalimah syahadah Nabi menerima orang itu sebagai orang Islam. 16. Fikirkanlah akan nasib Saidina Hamzah, hero dalam perang Jabal Uhud, Muawiyah dan panglima-panglima Islam lain jika mereka dibunuh kerana pernah bermusuh dengan orang Islam dan Nabi Muhammad. 17. Dari sini kita boleh faham bahawa Islam tidak menuntut banyak daripada orang Islam. Ibadat-ibadat yang lain tidak menjadi syarat untuk menjadi Islam. Memang benar pahala diperolehi daripada pengamalan ibadat yang wajib dan yang sunat. Tetapi yang menentukan seseorang itu Islam atau tidak ialah pengakuan akan Tuhan yang satu dan kerasulan Nabi Muhammad. 18. Yang menyebabkan orang Islam berpecah ialah kerana percubaan dibuat oleh pentafsir ajaran Islam untuk menokok tambah kepada definasi Islam. Maka terdapatlah banyak perbezaan yang membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam sehingga mereka berperang kerana tafsiran guru-guru mereka yang berbagai-bagai, sedangkan agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah setelah menerima wahyu dari Allah s.w.t. hanyalah satu. 19. Perpecahan yang terbesar sekali ialah antara Sunni dan Syiah. Kita tidak perlu penerangan akan asas-asas perbezaan pendapat dan tafsiran di antara mereka ini. Yang penting ialah perbezaan di antara orang Islam ini begitu jauh sehingga mereka berperang sesama mereka. 20. Kemudian di antara orang Sunni dan Syiah terdapat pula perbezaan tafsiran dan pendapat sehingga masing- masing berpecah kepada mazhab-mazhab dan tarikat- tarikat yang kerap bermusuh-musuhan antara satu dengan yang lain. Dan ada pula orang yang berkepentingan yang membuat tafsiran mereka sendiri dan mendakwa sesiapa yang tidak mengikuti ajaran mereka adalah tidak Islam. 21. Sepanjang masa polemik berkenaan dengan apa yang Islam dan apa yang tidak, apa yang benar apa yang tidak, siapa yang lebih Islam dan siapa yang kurang Islam dan siapa pula yang sudah tidak Islam dan sudah murtad, menggangu pemikiran orang Islam, mengelirukan mereka, menakutkan mereka akan kemungkinan mereka sudah tidak Islam dan akan diseksa di neraka di akhirat kelak. Dalam keadaan ini asas-asas ajaran Islam, penerimaan Tuhan yang satu dan Muhammad sebagai rasulnya yang terakhir, persaudaraan Islam, penghormatan kepada ibu dan bapa dan orang tua, kesetiaan kepada ulil-amri, amalan-amalan yang mudah bagi diri sendiri dan amalan untuk masyarakat Islam dilupa dan diketepikan. Pemikiran sudah tertutup bukan sahaja kepada ajaran atau pendapat kumpulan lain berkenaan dengan agama, tetapi juga kepada keadaan dan perkembangan di sekeliling, baik perkembangan dalam bidang ilmu atau ideologi atau peningkatan kebolehan manusia dalam bidang-bidang lain. 22. Orang Islam terlepas sama sekali daripada penyertaan dalam revolusi industri. Apabila ilmu matematik, sains dan perubatan dianggap tidak penting seperti ilmu agama, dan lebih buruk lagi apabila ilmu- ilmu ini dianggap haram bagi orang Islam, maka kemampuan orang Islam menyertai revolusi industri hampir tidak ada. 23. Ada orang yang berpengetahuan agama tetapi tidak mempunyai ilmu lain membuat dakwaan terhadap hasil industri sebagai bertentangan dengan ajaran Islam. Demikian mesin cetak dianggap haram dan tidak boleh diguna untuk mencetak Al-Quran, lampu elektrik tidak boleh diguna untuk masjid, bahkan tidak boleh diguna sama sekali di sebuah negara Islam. Gambar foto dan gambar bergerak tidak dibenar dan bermacam-macam lagi yang kita ketawa sekarang tetapi dipandang sebagai serius pengharamannya di masa tertentu. 24. Mungkin kita akan berkata pemikiran tertutup ini adalah perkara zaman kuno. Sekarang pemikiran kita lebih terbuka dan lebih berkeupayaan membeza di antara yang haram dan yang halal dalam Islam. Tetapi sebenarnya di hari ini pun pemikiran yang cetek ini masih berleluasa. Masih ada yang anggap pembelajaran bukan khusus berkenaan Islam sebagai sekular, pelajaran sains merosakkan akidah, bahkan haram bagi orang Islam mempelajari bahasa Inggeris dan banyak lagi. 25. Pemikiran yang tertutup ini masih ada kerana beberapa sebab. Mereka yang berpelajaran agama kerap khuatir kalau-kalau akidah orang Islam akan jadi lemah atau pengaruh mereka akan terhakis jika ilmu pengetahuan lain dipelajari. Demikian juga jika orang Islam terlalu bebas memikir dan menggunakan logik, maka keyakinan kepada kepercayaan agama akan lemah. 26. Pintu ijtihad kata mereka ini sudah ditutup. Mungkin ini disebabkan polemik dan pendapat yang berbeza-beza hasil daripada pemikiran terbuka dan perbahasan agama yang menyebabkan orang Islam keliru dengan tafsiran, pendapat dan dakwaan yang berbeza-beza hasil polemik yang bebas. Tetapi menutup secara langsung pintu ijtihad bermakna kesalahan yang dibuat dahulu tidak dapat dibetulkan sehingga kiamat walaupun jelas ianya salah memandangkan kepada keadaan semasa. 27. Demikian lukisan benda-benda hidup, haiwan dan manusia diharamkan dahulu. Tetapi hari ini pengharamannya tidak mungkin kerana teknologi membuat gambar, bahkan gambar yang bergerak dan bercakap sudah diguna secara meluas. Sudah tentu penggunaan elektrik, kereta bermotor dan lain-lain tidak dapat diharamkan dalam dunia moden ini. 28. Tetapi, sementara kita diberitahu bahawa pintu ijtihad sudah ditutup ramai daripada ulama-ulama yang membawa ajaran baru, kerap kali kerana mempunyai kepentingan tertentu. Dalam bidang politik ada yang dengan mudah mengharamkan sokongan kepada pihak tertentu, bahkan mendakwa bahawa sokongan kepada pihak berkenaan menjadikan penyokong itu kafir sehingga sembelihan mereka tidak boleh di makan, berimam dengan kumpulan ini tidak sah, perkahwinan dengan mereka haram, dan perkahwinan yang telah dilakukan dahulu dan keluarga yang didirikan adalah keluarga yang tidak diterima oleh Islam jika perkahwinan tidak dilakukan semula. Amalan-amalan dan ibadat baru diperkenalkan yang mana jika tidak diamal akan menjadikan seorang orang Islam itu tidak Islam, atau kurang Islam dan berdosa. Semua ini adalah ajaran baru yang dibuat tanpa ijtihad. Pintu ijtihad yang tertib dan berilmiah ditutup tetapi tafsiran dan ajaran baru oleh orang yang cetek pengetahuan dan berkepentingan dibenarkan. Dengan ini ajaran yang salah dan mengelirukan berkembang tanpa sekatan. 29. Inilah keadaan yang terdapat dalam masyarakat Melayu/Islam sekarang. Terpengaruh dengan ajaran- ajaran pihak tertentu mereka tidak dapat memikir dan menilai keadaan di sekeliling mereka. Dan keadaan di sekeliling mereka sudah berubah secara radikal. Percubaan untuk membentuk semula alam yang wujud 1400 tahun dahulu tidak mungkin. Jika kita berpendapat bahawa hanya dengan mengembalikan kepada alam 1400 tahun dahulu barulah kita akan menjadi orang Islam yang sebenar, maka ini bermakna kita percaya Islam hanya sesuai di zaman dahulu sahaja, tidak sesuai dengan zaman ini. Pendapat seperti ini menafikan bahawa Islam adalah untuk semua zaman. Pendapat ini sebenarnya menghina ajaran Islam. 30. Tetapi yang mempengaruhi orang Melayu/Islam bukanlah agama semata-mata. Orang Melayu mempunyai budaya mereka tersendiri iaitu sistem nilai hidup mereka yang tidak diasaskan kepada agama Islam. 31. Sesuatu yang terdapat pada orang Melayu dahulu dan masih ada pada mereka sekarang ialah kegemaran kepada yang mudah. Kerana kegemaran ini negeri tergadai. Apabila dijanji oleh saudagar Cina kutipan cukai yang tinggi dan tetap, Raja-Raja Melayu memberi monopoli cukai dan penjualan candu kepada saudagar-saudagar Cina. Kemudian datang British yang berjanji dengan menggunakan nasihat mereka, pentadbiran negeri Melayu akan lebih tertib dan political pension tetap serta kemudahan-kemudahan hidup yang luar biasa akan dinikmati oleh Raja-Raja Melayu. Dengan janji ini kuasa penuh diberi kepada penjajah untuk mentadbir mengikut kehendak mereka. Kehidupan memang menjadi lebih mudah tetapi negeri tergadai. 32. Sikap ini masih berterusan. Adalah lebih mudah menjual kemudahan perniagaan yang diperolehi daripada Kerajaan kerana dasar ekonomi baru daripada menggunakan sendiri kemudahan ini untuk mendapat nikmat daripadanya. 33. Saya tidak perlu mengulas budaya atau nilai hidup Melayu satu-persatu di sini. Kita sebenarnya ingin bincang isu dan proses pembukaan minda Melayu/Islam. Kita memilih tajuk ini tentulah kerana kita berpendapat: * Minda Melayu/Islam tidak terbuka atau kurang terbuka dan * Pembukaan minda Melayu/Islam akan menguntungkan kita, menjadikan kita manusia yang lebih baik, lebih berjaya mungkin. 34. Huraian terhadap pengaruh agama dan budaya dibuat kerana kita perlu tahu apa yang hendak kita terapkan jika atau apabila minda kita dibuka. Ini penting kerana apabila minda dibuka, yang masuk bukan sahaja yang baik dan yang boleh menyumbang kepada kebaikan umat Melayu/ Islam tetapi yang masuk mungkin juga yang buruk. Kita lihat penerapan yang tidak baik berlaku sekarang ini di kalangan generasi muda dengan menggugurkan kesopanan dan ketertiban atas nama kebebasan. Tentulah kita tidak ingin minda terbuka yang kita usahakan menjadi Melayu/Islam lebih buruk dari sekarang. 35. Sebenarnya minda Melayu/Islam sudah pun terbuka. Tetapi kebanyakan yang memasuki minda terbuka ini adalah yang tidak membina. Umpamanya "fundamental" atau asas Islam amat mudah. Apa yang diwajibkan sedikit sahaja. Untuk menjadi orang yang beragama Islam apa yang diwajibkan ialah menaik saksi bahawa tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Tetapi kita suka menokok tambah berbagai-bagai syarat sebelum orang yang sudah pun Islam diterima sebagai orang Islam. Dengan ini perhubungan antara orang Melayu/Islam dengan orang Melayu/Islam menjadi tegang dan buruk. 36. Sebaliknya jika pemikiran terbuka membolehkan Melayu/Islam ini menerima ajaran Islam yang mengambilkira keadaan yang berubah sepanjang masa, maka orang Islam tidak akan ketinggalan zaman. Hanya berkenaan memahami fardhu ain dan fardhu kifayah, sunat dan wajib pun minda yang terbuka boleh menjadikan Islam sesuai untuk semua zaman dan tamadun. 37. Tetapi dengan diwajibkan ibadat-ibadat baru seperti kiamulail, tazkirah, kuliah subuh dan lain- lain, agama yang mudah yang memberi cukup masa untuk kerja-kerja lain yang penting menjadi penghalang kepada penguasaan ilmu dan kemahiran dan kerja-kerja yang penting bagi kesejahteraan dan keselamatan umat Islam pun. 38. Demikian juga dengan jihad, di mana yang diutamakan ialah peperangan. Sebenarnya yang disuruh ialah penyediaan alatan perang supaya menggerunkan musuh. Tidak ada gunanya berperang jika tentera Islam tetap akan kalah kerana tidak ada persediaan dan serba kekurangan. Tetapi asyik dengan mati syahid serangan yang merugikan Islam dan orang Islam dilancar. Sebenarnya yang benar-benar berjihad ialah mereka yang membiayai, mencipta, mengeluar alatan peperangan yang boleh menakutkan musuh Islam kerana tentera Islam lebih kuat dan lebih canggih daripada tentera musuh. 39. Minda yang terbuka tentulah memberi penghargaan kepada mereka yang mempelajari sains dan teknologi, memperkayakan masyarakat Islam, mencipta dan mengeluarkan senjata yang canggih, menyusun bala tentera yang gagah dan ditakuti oleh musuh kerana kekuatannya serta mempunyai bekalan yang mencukupi dan mampu menyelamatkan umat Islam sebagai orang yang berjihad dijalan Allah. Ingatlah Saidina Osman berjihad dengan membekalkan unta untuk pasukan tentera Islam di zaman Nabi. Justeru itu penguasaan ilmu sains dan teknologi dan perolehan hasil daripada ilmu- ilmu ini juga adalah jihad, bahkan lebih baik daripada mereka yang secara buta-tuli menyerang musuh dan mengundang malapetaka kepada umat Islam yang lain. 40. Minda yang terbuka hendaklah terbuka kepada yang benar dan nyata. Yang benar dan nyata sekarang ini ialah kedaifan orang Melayu/Islam dan ketidak mampunya mereka. Yang benar dan nyata ialah di negara sendiri kita terpaksa bergantung kepada kaum lain untuk membangun dan memperkayakan negara kita. Yang benar dan nyata ialah banyak urusan dalam masyarakat dirancang dan dilaksanakan oleh kaum lain. 41. Daripada segi hubungan antarabangsa yang benar dan nyata ialah Melayu/Islam tidak dapat mendirikan negara yang dapat membantu dan menolong menyelamatkan orang- orang yang tertindas dan daif, terutama yang terdiri daripada orang Islam. Dan banyaklah lagi kelemahan orang Melayu/Islam dalam menangani hubungan antarabangsa. 42. Minda yang terbuka perlu pertamanya mengenalpasti dan mengakui kelemahan yang ada pada Melayu/Islam dan keduanya mengenalpasti apa yang perlu diubah dan diamal untuk mendapat manfaat dari minda yang terbuka. Pendekatan dan kemampuan menilai antara yang baik dengan yang buruk perlu menjadi kebolehan yang ada pada orang Melayu/Islam. Dalam menilai sifat-sifat yang ada pada diri sendiri tidak ada tempat bagi perasaan malu mengenai kelemahan diri dan kesombongan yang tidak berasas. Demikian juga setelah mengenalpasti kualiti yang lemah yang ada pada diri sendiri tidak perlu ada perasaan malu untuk menerima dan mengamal nilai yang ada pada orang lain, walaupun mereka daripada kaum dan bangsa yang kita kurang senang dengan mereka. 43. Yang jelas ialah minda yang terbuka ialah suatu sikap yang baik yang perlu dimiliki oleh orang Melayu/Islam. Namun minda yang terbuka harus disampingi oleh keupayaan menilai dan memilih yang jernih dan membuang yang keruh. Yang benar dan nyata harus diakui walaupun pedih dan yang benar dan nyata harus memandu pemikiran yang terbuka. Akhirnya perubahan perlu diterima jika minda yang terbuka hendak dihasilkan nikmat, termasuk perubahan budaya bangsa tanpa menghilangkan identiti bangsa. 44. Jika semua ini difahami dan sedia diterima maka minda yang terbuka berkemungkinan membawa kebahagiaan dan kejayaan kepada Melayu/Islam. Mungkin inilah harapan persidangan ini diadakan. Janganlah jadikan perkara ini satu polimik yang tidak ada penghabisan. 45. Saya tidak segan-segan menyatakan di sini bahawa saya ingin melihat minda yang terbuka di kalangan Melayu/Islam. Justeru itu saya menyokong usaha membuka minda Melayu/Islam dan akan menentukan Kerajaan akan menyertai usaha ini dan bekerjasama dengan para intelek, budayawan dan semua pendukung Melayu/Islam dalam usaha yang mulia ini. 46. Insyaallah, kita akan mendapat kebaikan daripada usaha ini. 47. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam. Sumber : Pejabat Perdana Menteri