Oleh/By : DATO' SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : CYBERVIEW LODGE RESORT, CYBERJAYA Tarikh/Date : 15-04-2002 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN "SEMINAR ON URBAN MANAGEMENT GOOD URBAN GOVERNANCE" Versi : Penyampai : PM Saya ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur Institut Sultan Iskandar, UTM dan Setia Haruman, kerana menjemput saya untuk merasmikan "Seminar On Urban Management" yang bertemakan "Good Urban Governance" pada hari ini. 2. Seminar ini adalah penting kerana seperti juga dengan negara-negara lain yang semakin maju, ramai penduduk Malaysia akan berhijrah dari kawasan luar bandar ke bandar dan dari bandar yang kecil ke bandar yang besar. Penghijrahan ini membawa banyak masalah sosial, ekonomi dan politik kepada pentadbiran bandar. Segala kemudahan seperti bekalan air, api, jalan, perumahan, pelupusan sampah, najis dan berbagai-bagai lagi bukan sahaja perlu ditangani tetapi diurus secara sempurna. Penduduk bandar pula biasanya amat "sofistikated" dan kritikal. Mereka bukan sahaja menuntut dengan keras apa yang dianggap sebagai hak bagi mereka tetapi mereka tidak begitu bersedia untuk membiayai kemudahan ini. 3. Di Malaysia kita telah menyusun pentadbiran bandar, kecil dan besar, secara teratur. Bandar-bandar ditadbir oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis-Majlis Perbandaran. Ibu Kota dan bandar-bandar utama mempunyai khidmat tertutup dan diketuai oleh Dato Bandar. Khidmat tertutup atau "Closed Service" ini tidak memberi banyak peluang kenaikan pangkat dan ini sering mengecewakan pegawai dan kakitangan. Ia juga menyumbang kepada amalan-amalan yang tidak baik. 4. Malaysia sedang pesat membangun dan rakyat Malaysia ingin menaikkan taraf hidup mereka. Kenaikan taraf hidup atau "living standard" ini tentulah kerana pendapatan purata rakyat Malaysia sudah meningkat. Dan sebenarnya Pendapatan Per Kapita rakyat Malaysia telah meningkat dari hanya USD 300 pada tahun 1957, tahun Merdeka dicapai, kepada lebih kurang USD 4000 hari ini. Dalam pada itu jumlah penduduk juga telah mencapai 24 juta orang daripada 5 juta orang sewaktu merdeka. Ini bermakna rakyat mampu menanggung pembiayaan kos sara hidup yang lebih tinggi apabila dibekal dengan barangan dan khidmat yang lebih baik. Ini bukanlah inflasi kerana yang kita bayar lebih ialah untuk yang lebih baik. Inflasi hanya berlaku apabila kita terpaksa membayar lebih untuk barangan dan khidmat yang sama. Justeru itu kita semua perlu sanggup menanggung kos sara hidup yang lebih tinggi untuk taraf hidup yang lebih tinggi. 5. Daripada jalan yang diturap lebih kurang sahaja kita sekarang mempunyai jalan ekspres yang lebar dan lurus, khidmat keretapi komuter elektrik, Sistem Keretapi Ringan di Kuala Lumpur, bekalan air dan elektrik yang meliputi seluruh negara, penerbangan komersil yang menghubungi semua bandar besar, telekomunikasi yang canggih dan bermacam lagi yang setaraf atau hampir setaraf dengan infrastruktur yang terdapat di negara-negara maju. Kita sudah banyak maju. 6. Semua kemajuan dan kemudahan ini memerlukan perbelanjaan yang banyak. Perbelanjaan ini dapat dibuat kerana Kerajaan memudahkan kegiatan perniagaan dan perusahaan yang mana keuntungan mereka menyumbang kepada bekalan wang Kerajaan untuk membiayai pembangunan infrastruktur yang saya sebutkan. 7. Tetapi hanya dengan cukai yang dipungut oleh Kerajaan tidak mencukupi untuk membiayai kemudahan yang canggih yang terdapat di negara kita Malaysia. Banyak daripada kemudahan infrastruktur seperti jalan ekspres, telekomunikasi, tenaga dan lain-lain dibiayai juga oleh tol yang dibayar oleh pengguna. Tol yang dibayar tidak mungkin membiayai pembangunan dan penyelenggaraan kemudahan-kemudahan. 8. Jika bekalan kemudahan ini hendak dibiayai daripada hasil tol maka tol yang perlu dibayar mestilah beberapa kali ganda lebih tinggi. Jika terlalu tinggi ia menjadi beban kepada pengguna dan tidak ramai mereka akan mengguna kemudahan ini. Sebab itu Kerajaan memberi subsidi yang banyak kepada pengguna dengan membiayai separuh daripada kos pembangunan kemudahan awam ini. Yang perlu diingat ialah Kerajaan hanya mampu memberi subsidi jika Kerajaan dapat memungut hasil yang mencukupi daripada punca lain, setelah memperuntukkan perbelanjaan untuk projek-projek Kerajaan yang lain untuk masyarakat. 9. Pendapat bahawa tol dan bayaran-bayaran lain untuk kemudahan tidak perlu dikutip atau dikurangkan akan menyebabkan kemudahan ini tidak dapat dibina atau perbelanjaan pengurusan Kerajaan yang lain dikurangkan atau cukai-cukai terpaksa dinaikkan. 10. Apa yang saya cuba bayangkan di sini ialah tidak mungkin kita dapat kemudahan-kemudahan yang canggih dan hidup lebih mewah tanpa membayar lebih untuk yang lebih baik. Kita tidak boleh dapat sesuatu dengan percuma. Kita perlu bayar samada secara langsung atau tidak langsung untuk meningkatkan taraf hidup kita. Oleh kerana pendapatan kita sudah meningkat berkali ganda seperti yang ditunjuk oleh Pendapatan Per Kapita, maka kita perlu bersedia membayar lebih untuk kemudahan yang lebih baik yang kita dapati. 11. Hari ini ramai daripada kita sudah berhijrah ke bandar. Sudah tentu kita ingin taraf hidup kita di bandar menjadi lebih baik sepanjang masa. Untuk ini kita perlu sanggup membayar, samada membayar cukai yang lebih atau tol atau tiket penumpang atau apa-apa bayaran lain yang semakin lebih. 12. Inflasi berlaku apabila kita mendapat barang atau khidmat yang sama tetapi kos atau bayaran naik. Tetapi apabila kita dapat kemudahan yang lebih baik atau yang dahulu tidak ada tetapi diadakan sekarang dengan kos yang tinggi, dan dengan itu kita dikenakan bayaran yang meningkat, ini bukan inflasi. Kadang-kadang kemudahan ini sebenarnya mengurangkan kos sara hidup kita jika dihitung dengan teliti dengan mengambilkira semua kos. Demikian tol mengguna lebuhraya adalah kurang daripada kos perjalanan melalui jalan lama yang tidak sempurna, berbengkang-bengkok, lebih jauh, memakan lebih masa dan "wear and tear" yang dialami oleh kenderaan kita. Di samping itu kemalangan jalanraya lebih kerap berlaku di jalan lain berbanding dengan lebuhraya yang bertol. Jika kos sepenuhnya diambilkira maka tentulah jelas tol yang dibayar adalah lebih murah. Justeru itu kita sepatutnya sanggup membayar tol, bahkan tol yang meningkat supaya kita dapat lebih banyak kemudahan. 13. Maksud saya ialah kita perlu sanggup membayar lebih untuk kemudahan yang lebih baik. Jika kita sanggup maka banyaklah lagi khidmat, barangan, dan kemudahan yang lebih baik yang boleh disediakan untuk keselesaan hidup kita. Jika kita ingin menjadi negara dan bangsa yang maju kita perlu menanggung kosnya. Tidak mungkin kita menikmati kehidupan yang lebih baik tanpa menambah perbelanjaan kita daripada pendapatan kita yang juga lebih tinggi. 14. Terdapat badan tertentu yang "specialise" dalam bidang menegur kenapa keadaan sekeliling tidak baik tetapi di masa yang sama menolak sebarang kenaikan bayaran untuk apa sahaja. Apabila mereka ditawar untuk menyediakan kemudahan-kemudahan ini dengan mengenakan bayaran seperti yang disyor oleh mereka, tidak pula mereka sanggup berbuat demikian. Mereka lebih bersikap sebagai "free-loaders" yang berharap orang lain membelanja supaya mereka mendapat nikmat. Ini tidak mungkin. 15. Penduduk bandar perlu terima hakikat bahawa kos hidup di bandar tetap lebih tinggi dari luar bandar dan sebahagian daripada kos ini mestilah ditanggung oleh mereka. Semakin banyak dan semakin baik kemudahan yang dinikmati oleh penduduk bandar semakin tinggilah kos kehidupan di bandar. Janganlah kita lupa bahawa pendapatan kita, terutama penduduk bandar, sudah pun meningkat. Sebahagian daripada pendapatan yang bertambah ini mestilah diguna untuk membayar kos khidmat yang lebih baik. 16. Pentadbiran bandar sekarang sudah menjadi amat kompleks dan memerlukan ilmu pengetahuan dan kecekapan pengurusan yang tinggi. Lebih banyak kemudahan yang diadakan di bandar lebih rumitlah pengurusan pentadbiran dan kosnya. Penduduk bandar dapat mengurang kerumitan dan kos dengan memberi kerjasama kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan berdisplin dalam mengguna kemudahan awam. 17. Pertumbuhan bandar perlu dikawal supaya ia tidak akan menjadi "slum" kerana terlalu padat. Pembangunan yang diadakan hendaklah teratur dan tertib, dibekalkan dengan kemudahan asas seperti elektrik dan air, jalan, lampu, pembahagian kawasan untuk aktiviti tertentu, pelupusan sampah dan najis serta bermacam-macam lagi kemudahan. Kita tahu apabila sesuatu kawasan sudah menjadi "slum" tidak semestinya kawasan setinggan, membersih dan memperbaikinya serta memulih keadaan amatlah rumit dan melibatkan kos yang amat tinggi. Di masa yang sama penduduk akan terganggu dan ini tidak disukai oleh sesiapa. Mungkin ada yang akan menentang dan bertindak ganas. Semua ini menjadikan pentadbiran bandar amat rumit. 18. Sebab itu dari awal lagi kawalan ketat perlu diadakan sebelum pembangunan dibuat. Pihak Berkuasa Tempatan bertanggungjawab untuk menentukan pembangunan bandar baru dan pemulihan kawasan dan bandar lama diurus dengan baik. Kepentingan penduduk bandar perlu diambilkira sementara penduduk pula perlu memberi kerjasama kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Hanya dengan kerjasama semua pihak barulah kita dapat mengurus pentadbiran bandar-bandar dengan baik dan berkesan. 19. Seminar ini adalah tempatnya untuk membincang berkenaan pentadbiran bandar yang ideal dan mengenalpasti masalah dan cara menangani masalah- masalah ini. Saya harap seminar ini akan berjaya memperbaiki urusan pentadbiran bandar-bandar kita oleh Pihak Berkuasa Tempatan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. 20. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan "Seminar on Urban Management". Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sumber : Pejabat Perdana Menteri