home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	ALOR SETAR, KEDAH
Tarikh/Date	:	26-04-2002
Tajuk/Title 	:	MAJLIS PENUTUP MINGGU SAHAM 
			AMANAH MALAYSIA 2002
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM
		    

          Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan
     limpah  kurnia  dan  izinNya,  kita  dapat  sama-sama
     berkumpul  pada pagi ini dalam majlis penutup  Minggu
     Saham Amanah Malaysia 2002.
     
     2.    Saya mengucapkan terima kasih kepada Permodalan
     Nasional   Berhad  (PNB)  dan  Persekutuan  Pengurus-
     Pengurus  Saham Amanah Malaysia (FMUTM)  kerana  sudi
     menjemput   saya untuk menyempurnakan majlis  penutup
     Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2002.
     
     3.    Minggu  Saham Amanah Malaysia ini sangat  besar
     maknanya kerana ia dapat mendedah dan menerang kepada
     rakyat  tentang  cara-cara  melabur  di  Malaysia  di
     samping  mendidik  mereka tentang konsep  risiko  dan
     pulangan dalam saham-saham amanah.
     
     4.    Kita  boleh  melabur terus  dalam  pasar  saham
     dengan    membeli    saham-saham    syarikat-syarikat
     tertentu,  terutama  yang besar dan  kukuh,  syarikat
     blue  chip.  Ternampak pelaburan seperti ini  selamat
     dan  akan memberi pulangan yang baik.  Tetapi  kadang
     kala   syarikat  blue  chip  juga  mungkin  mengalami
     kerugian.    Kita  bukan  sahaja  tidak  akan   dapat
     dividen,  tetapi  nilai saham kita juga  akan  jatuh.
     Jika  kita telah pinjam dari bank untuk membeli saham
     maka  nilai  saham  yang digadai akan  menjadi  lebih
     rendah  dari  jumlah hutang bank.  Dalam keadaan  itu
     bank  akan tuntut tambah cagaran dan jika kita  tidak
     dapat kita mungkin menghadapi tindakan muflis.
     
     5.   Sebaliknya jika kita agih pelaburan kita kedalam
     banyak syarikat, kerugian dan susut nilai saham  satu
     syarikat mungkin di imbangi dengan syarikat lain yang
     untung.   Lebih  banyak syarikat yang kita  labur  di
     dalamnya,  lebih  selamatlah kita  apabila  mana-mana
     syarikat berprestasi tidak baik.
     
     6.    Tetapi  untuk  melabur  dalam  banyak  syarikat
     memerlukan  modal  yang banyak.   Yang  berpendapatan
     rendah  mungkin tidak ada modal sendiri, dan  mungkin
     tidak dapat meminjam dari bank.
     
     7.    Menyedari  hakikat ini peniaga  saham  mencipta
     sistem Unit Trust atau Saham Amanah.  Pelabur melabur
     dalam  Saham Amanah dan wang yang dikumpul oleh Saham
     Amanah  dilabur  dalam  sebilangan  yang  besar  dari
     syarikat-syarikat  yang dianggap  berpotensi  memberi
     pulangan   yang   baik.   Jika   mana-mana   syarikat
     mengalami kerugian, kesannya dikurangkan oleh  banyak
     syarikat-syarikat lain yang berprestasi baik.  Dengan
     itu  pemilik  saham  dalam Saham  Amanah  tidak  akan
     merasai   kerugian  dari  satu  syarikat  di   antara
     berpuluh  syarikat  yang  berprestasi  baik.    Saham
     Amanah boleh menerima pelaburan yang kecil yang  akan
     menikmati kepakaran pengurusan pelaburan yang  dibuat
     oleh pengurusan Saham Amanah.
     
     8.    Walaupun melabur Saham Amanah risiko  pelaburan
     dapat  dikurangkan dan dividen biasanya lebih  tinggi
     dari  simpanan tetap di bank, tetapi apabila  ekonomi
     negara   merosot  semua  syarikat  mungkin  mengalami
     kerugian dan harga saham semuanya turun.  Inilah yang
     berlaku baru-baru ini apabila ekonomi negara meleset.
     Akibatnya  ialah pelaburan melalui Saham Amanah  juga
     boleh   mengalami  kerugian,  kerugian  yang   teruk.
     Pelabur  perlu terima hakikat bahawa melabur  seperti
     juga dengan perniagaan-perniagaan lain mungkin untung
     dan  mungkin  rugi.   Sikap  hanya  sanggup  menerima
     untung  tetapi  menganggap kerugian  sebagai  perkara
     yang  tidak  boleh berlaku dan tidak  boleh  diterima
     adalah tidak realistik.  Yang biasa tidak boleh  rugi
     hanyalah memakan bunga dari pemberian hutang dan  itu
     adalah  haram.   Keuntungan yang  tetap  adalah  sama
     dengan bunga dan dianggap haram bagi orang Islam.
     
     9.     Menyimpan  wang  tanpa  dilabur   tetap   akan
     merugikan.   Ini  adalah  oleh  kerana  inflasi  yang
     berlaku  sepanjang masa akan menyusutkan  nilai  wang
     yang  disimpan.  Barang yang boleh dibeli,  hari  ini
     dengan sekian harga akan memerlukan lebih banyak wang
     untuk  membeli di kemudian hari.  Inflasi di Malaysia
     tidaklah  begitu tinggi, jadi nilai wang tidak  susut
     seperti di negara lain di mana inflasi sebanyak  100%
     boleh berlaku.  Namun demikian adalah lebih baik jika
     wang  dilabur dan tidak disimpan begitu sahaja.  Wang
     yang  disimpan dengan Tabung Haji atau dicarum dengan
     KWSP  juga  dilabur supaya nilai tidak  susut  kerana
     inflasi.  Inilah cara-cara kita mengurus wang.
     
     10.   Kita hidup dalam dunia yang semakin canggih  di
     mana wang diperlukan untuk segala-gala kegiatan hidup
     kita.   Wang bukan sahaja satu kemudahan untuk diguna
     semasa  membeli  belah.  Wang mesti dianggap  sebagai
     modal untuk dilabur supaya akan bertambah.  Kecekapan
     melabur perlu ada kepada tiap seorang daripada kita.
     
     11.   Oleh kerana kita tahu wang boleh dilabur  untuk
     menambah  jumlah yang ada pada kita, akan ada  orang-
     orang tertentu yang akan cuba memerangkap kita dengan
     cara-cara melabur yang kononnya akan memberi pulangan
     luar  biasa.   Ada yang menjamin pulangan  100%  atau
     lebih.   Sebenarnya  tidak ada pelaburan  yang  boleh
     memberi  pulangan  yang  begitu  tinggi.   Jika   ada
     sesiapa  yang  menjamin pulangan yang  begitu  tinggi
     percayalah tujuan mereka ialah untuk menipu.
     
     12.   Sesuatu  yang  sering berlaku  ialah  pelaburan
     piramid di mana dengan pelaburan yang sedikit pelabur
     akan  mendapat  pulangan  yang  berkali  ganda.   Ini
     dibuat dengan mengguna wang dari pelabur-pelabur baru
     yang   ramai  untuk  membayar  kepada  pelabur  lama.
     Selagi  ada  pelabur baru bayaran ini  boleh  dibuat.
     Tetapi  tentu  akan sampai masanya yang pelabur  baru
     akan berkurangan atau tidak ada lagi dan pelabur lama
     tidak lagi akan menerima apa-apa pulangan.  Pada masa
     itu  ramai  yang akan kehilangan wang  yang  dilabur.
     Jelas  sekali pelaburan seperti ini tidak  sihat  dan
     merbahaya.
     
     13.   Adalah  lebih sihat melabur dalam saham  amanah
     yang  memberi pulangan yang berpatutan dengan  risiko
     yang tidak terlalu tinggi daripada melabur dalam skim-
     skim  cepat kaya yang tetap akan merugikan.   Biarlah
     lambat kaya asalkan selamat.
     
     14.   Penubuhan PNB adalah hasil daripada perancangan
     yang  bijak,  teliti dan berpandangan  jauh  Kerajaan
     untuk  membangunkan  ekonomi  Bumiputera  yang  masih
     ketinggalan  berbanding bukan  Bumiputera.   Kemudian
     tabung  amanah  PNB  diperluaskan  dan  turut  dibuka
     kepada  bukan bumiputera.  Hasil daripada  itu  juga,
     PNB   telah   berjaya   menguasai   syarikat-syarikat
     gergasi asing seperti Kumpulan Guthrie, Golden  Hope,
     MMC  dan  Sime  Darby.   Namun  pengurusan  syarikat-
     syarikat ini diserah kepada pengurus yang profesional
     iaitu yang terlatih dan berpengetahuan.
     
     15.   Ramailah  pengurus  bumiputra  yang  berpeluang
     mengurus syarikat-syarikat besar dan ramai lagi  yang
     dapat  dilatih  dan diberi pengalaman mengurus  dalam
     syarikat-syarikat  ini.  Semua ini menyumbang  kepada
     pengujudan  jumlah bumiputra yang berkebolehan  dalam
     bidang pengurusan dan perniagaan.
     
     16.  PNB juga telah memperlihatkan kemampuannya untuk
     memberi  pulangan yang baik dan ini  terbukti  dengan
     pulangan yang diberikan kepada pemegang-pemegang unit
     saham-saham  amanah yang diuruskannya adalah melebihi
     35  bilion  Ringgit  Malaysia.   Sehingga  kini,  PNB
     mengurus  lebih  39 bilion unit saham-saham  Kumpulan
     PNB  daripada  lebih  lapan juta akaun  milik  rakyat
     Malaysia.
     
     17.   Menerusi  PNB,  Kerajaan  berjaya  mengeluarkan
     saham-saham   amanah  berharga  tetap  dan   berharga
     berubah-ubah  untuk  memenuhi  keperluan  rakyat   di
     negara  ini.   Sesungguhnya, PNB adalah satu  ciptaan
     unik.   Malah  ramai kepimpinan negara  asing  datang
     untuk  mempelajari cara bagaimana  PNB  mengurus  dan
     mentadbir  kewangan dan pelaburan  daripada  tabungan
     yang    digemblengkan   daripada   rakyat.       Kita
     sepatutnya  bersyukur kepada Tuhan atas  nikmat  yang
     dilimpahiNya selama ini.   Kita juga patut  bersyukur
     kerana negara kita dapat menghasilkan organisasi yang
     unik  seperti PNB seiring dengan persekitaran ekonomi
     dan politik yang stabil.
     
     
     18.  Pada hari ini, nilai yang dilaburkan dalam saham
     amanah  di  Malaysia  menunjukkan  peningkatan   yang
     menggalakkan.    Sebagai  contoh,  saiz   dana   yang
     diluluskan  dalam  industri ini  berkembang  daripada
     55.5  bilion unit pada 31 Disember, 1997, kepada  110
     bilion  unit  pada  31  Disember  tahun  lalu.    Ini
     menjadikan  nilai aset bersih industri  saham  amanah
     pada  31  Disember  tahun lalu bernilai  47.3  bilion
     Ringgit Malaysia atau bersamaan 10.2 peratus daripada
     permodalan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
     
     19.   Melalui  saham  amanah,  golongan  rakyat  yang
     berpendapatan  sederhana dan rendah berpeluang  untuk
     turut  serta.   Sudah  pasti  pelaburan  mereka   ini
     biarpun   secara  berdikit-dikit  tetapi   menyumbang
     kepada  perkembangan  pasaran  saham  amanah.   Malah
     secara   tidak  langsung  golongan  ini  juga  adalah
     pemilik saham-saham syarikat yang diniagakan di BSKL.
     
     20.   Masyarakat  Bumiputera yang suatu  ketika  dulu
     hidup  daif dan miskin, kini mampu hidup lebih selesa
     dengan  adanya usaha-usaha Kerajaan untuk  melibatkan
     Bumiputera secara aktif dalam aktiviti ekonomi negara
     secara tidak langsung melalui pemilikan saham.
     
     21.   Pendekatan yang diambil oleh Kerajaan  bukannya
     mudah  dan bukannya dicapai dalam sekelip  mata.   Ia
     melalui  suatu  proses perancangan dan  usaha  jangka
     panjang  bersepadu  dan  menyeluruh  yang  mana  kini
     hasilnya  cukup membanggakan.  Sesungguhnya  kejayaan
     kita  ini  telah  menarik  perhatian  ramai  pemimpin
     negara  asing untuk mencontohi pendekatan  unik  yang
     kita pelopori dan laksanakan ini.
     
     22.  Pada hemat saya, usaha PNB menganjurkan MSAM ini
     adalah  satu  perancangan yang bijak dan berpandangan
     jauh  yang mana bukan sahaja bertujuan untuk mendidik
     orang  ramai tentang pelaburan dan hubungkait  antara
     risiko  dan  pulangan tetapi juga cara-cara  mengurus
     wang dengan bijak.
     
     23.  Saya difahamkan antara program yang dikendalikan
     bersempena  dengan Minggu Saham Amanah Malaysia  2002
     ini  adalah Seminar Perancangan Kewangan Asas  di  21
     lokasi  seluruh  negara termasuklah di  bandar-bandar
     kecil  di  Sabah dan Sarawak.  Saya juga  dimaklumkan
     bahawa  sambutan  daripada rakyat  Malaysia  terhadap
     seminar  ini amat menggalakkan.  Oleh itu, usaha  PNB
     memberi   pemahaman  tentang  kepentingan   merancang
     kewangan   dengan  bijak  untuk  diri  dan   keluarga
     sepanjang  penganjuran MSAM 2002  ini  amatlah  tepat
     pada   masanya  dan  Kerajaan  berharap  ianya  dapat
     diteruskan  dan  ditingkatkan bukan sahaja  oleh  PNB
     tetapi  juga  oleh  semua pihak yang  terlibat  dalam
     industri ini.
     
     25.  Saya berharap PNB akan terus menganjurkan Minggu
     Saham  Amanah Malaysia setiap tahun dan  tidak  hanya
     tertumpu di bandar-bandar tetapi juga di kawasan luar
     bandar.
     
     26.      Dengan     ini,     dan     dengan     lafaz
     Bismillahirahmanirrahim, saya dengan rasminya menutup
     Minggu Saham Amanah Malaysia 2002.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google