Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUTRAJAYA Tarikh/Date : 03-06-2002 Tajuk/Title : UCAPAN PEMBUKAAN SESI KETIGA MAJLIS DIALOG BELANJAWAN 2003 Versi : Penyampai : PM 1. Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dalam Majlis Dialog Belanjawan 2003 pada petang ini. Dialog Belanjawan ini diadakan sebagai persediaan bagi Kementerian Kewangan dalam merangka Belanjawan 2003 yang akan dibentangkan pada bulan September tahun ini. 2. Majlis ini merupakan Sesi Ketiga dalam siri Majlis Dialog yang diadakan pada tahun ini. Seperti pada tahun lalu, sesi ini memberi perhatian kepada isu-isu sosial dan kemasyarakatan bersesuaian dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup dan menjamin kesejahteraan rakyat di negara ini. Ini adalah selaras dengan hasrat dan dasar Kerajaan untuk menjana pertumbuhan yang menyeluruh dan mencapai kemajuan yang lebih seimbang supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama oleh semua lapisan masyarakat. 3. Kerajaan memang peka mengenai keperluan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik. Dalam Rancangan Pembangunan Lima Tahun, peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan semakin meningkat bagi menjayakan program pembangunan sosial. Belanjawan 2002 yang lalu, umpamanya, memperuntukkan sebanyak 35.4 bilion ringgit atau 35.2% daripada jumlah keseluruhan Belanjawan untuk program pendidikan, kesihatan dan perumahan serta perkhidmatan dan kebajikan masyarakat. Bagi meningkatkan lagi kemudahan dan taraf hidup rakyat luar bandar, Kerajaan telah menyediakan peruntukan terbesar pernah diberikan iaitu sebanyak 5.34 bilion ringgit untuk program pertanian, pembangunan tanah dan pembangunan kampung dan masyarakat. Kerajaan juga memberi perhatian terhadap kesihatan dan pembangunan keluarga serta pendidikan luar bandar. 4. Bagi meneruskan agenda masyarakat penyayang, Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak 194 juta ringgit di bawah program kebajikan masyarakat. Golongan wanita juga tidak diabaikan, di mana Kerajaan sentiasa memberi galakan dan peluang yang saksama untuk mereka menyertai arus pembangunan negara. 5. Program Kerajaan yang telah dilaksanakan setakat ini telah berjaya meningkatkan kualiti hidup rakyat. Berasaskan kepada Indeks Kualiti Hidup Rakyat 2002 yang telah diterbitkan baru-baru ini, kualiti hidup rakyat pada keseluruhannya telah meningkat daripada 100.0 mata pada tahun 1990 kepada 108.4 mata pada tahun 2000, merupakan pertambahan sebanyak 8.4%. Hampir semua aspek kualiti hidup mencatatkan peningkatan; yang paling ketara ialah indeks persekitaran kerja yang bertambah 19.1 mata serta diikuti dengan perumahan, 16.3 mata. Indeks Kualiti Hidup Bandar juga menunjukkan tren yang meningkat, disumbangkan terutamanya oleh suasana kehidupan keluarga yang lebih baik dan pengagihan pendapatan yang lebih saksama. 6. Perkembangan ini adalah selaras dengan peningkatan pendapatan per kapita benar negara daripada 5,600 ringgit pada tahun 1990 kepada 8,200 ringgit pada tahun 2000. Dari segi purchasing power pariti, ianya meningkat lebih tinggi daripada 5,300 dolar Amerika pada tahun 1990 kepada 8,800 dolar Amerika pada tahun 2000. Kadar kemiskinan telah berkurangan dengan ketara daripada 16.5% pada tahun 1990 kepada 6.1% pada tahun 2000. Di bandar, peratus kemiskinan berkurangan daripada 7.1% kepada 2.1%, manakala di luar bandar, kadarnya berkurangan daripada 21.1% kepada 10.9%. Kemajuan ini dicapai dalam suasana inflasi yang sentiasa terkawal dan berada pada paras yang rendah. 7. Dalam kita menikmati peningkatan kualiti hidup rakyat, kita perlu juga menangani isu-isu sosial semasa. Sejak kebelakangan ini, pelbagai masalah sosial telah menjadi tajuk utama dalam media massa. Kes-kes sumbang mahram, penyalah gunaan dadah, gangguan seksual dan rogol, perlu ditangani dengan segera agar ianya tidak menjadi barah kepada penyakit masyarakat. Kes-kes jenayah seperti gerakan militan dan pengganas juga mesti ditangani untuk memastikan keselamatan dan kestabilan negara dapat dikekalkan. 8. Sehubungan dengan ini, badan-badan sukarela dan pertubuhan sosial boleh membantu dalam membanteras gejala sosial dan jenayah. Mereka perlu berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi yang melibatkan seluruh anggota masyarakat. Masalah ini perlu ditangani bersama-sama demi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat. Selepas mendengar pembentangan daripada badan-badan sukarela dan pertubuhan sosial pada Dialog Belanjawan tahun lalu, terutamanya mengenai bantuan kewangan yang dipohon, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah 50.8 juta ringgit dalam Belanjawan 2002 kepada badan dan pertubuhan ini untuk melaksanakan pelbagai program mereka. Jumlah ini merupakan peningkatan yang tinggi berbanding dengan 32.9 juta ringgit pada tahun sebelumnya. Saya berharap badan-badan sukarela dan pertubuhan sosial menggunakan peruntukan dan kemudahan yang disediakan secara cekap dan berkesan. Dalam hal ini, mereka juga perlu mendapatkan kerjasama dengan pihak swasta bagi menjayakan program sosial dan kemasyarakatan. 9. Akibat pertumbuhan ekonomi dunia yang lembap pada tahun lalu, masalah pemberhentian pekerja dan pengangguran, terutamanya di kalangan siswazah, juga merupakan isu yang perlu diberi perhatian. Punca utama masalah ini berlaku ialah kerana wujudnya ketidaksepadanan antara keluaran institusi pendidikan tinggi dengan kehendak tenaga kerja oleh industri. Untuk mengatasi masalah ini, pelbagai program latihan dan kemahiran sedang dilaksanakan oleh agensi-agensi Kerajaan. Di bawah pakej rangsangan fiskal tahun lalu, sebanyak 150 juta ringgit telah diperuntukkan untuk program Skim Sangkutan dan Latihan manakala sebanyak 150 juta lagi diperuntukkan bagi program latihan pekerja yang diberhentikan. 10. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dalam pembentangan di Majlis ini dapat memberi pandangan dan cadangan yang boleh membantu Kerajaaan merangka dasar dan strategi yang sesuai untuk menangani permasalahan sosial yang sedang kita hadapi. Untuk memulakan Sesi Ketiga pada petang ini, saya dengan sukacitanya mempersilakan Puan Ramani Gurusamy (Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita - NCWO) untuk menyampaikan pandangan. Sumber : Pejabat Perdana Menteri