home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
]Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	DEWAN JUBLI, SELANGOR DARUL EHSAN
Tarikh/Date	:	17/09/2002
Tajuk/Title 	:	SEMINAR KEBANGSAAN "MEMAHAMI 
			MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH 
			NEGARA ISLAM"
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 
		    

   "Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam"
   
   
     
        Saya  ucapkan terima kasih kepada Kerajaan  Negeri
   Selangor, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)  dan
   Institut  Perkembangan Minda (INMIND) kerana  menjemput
   saya   untuk  merasmikan  seminar  "Memahami   Malaysia
   Sebagai Sebuah Negara Islam".
   
   2.    Kedatangan  Islam telah membawa  perubahan  besar
   kepada  umat manusia.  Dunia Kristian juga, yang berada
   dalam  Zaman  Kegelapan atau Dark Ages dicerahkan  oleh
   Islam.     Daripada  orang Islamlah mereka  mempelajari
   berbagai-bagai jenis ilmu termasuk ilmu hisab dan sains
   dan   ilmu  pelayaran  yang  membantu  pembangunan  dan
   kemajuan negara-negara mereka.
   
   3.    Tetapi kesan yang terbesar dari kedatangan  Islam
   ialah   di   kalangan  Arab  Jahiliah  yang   mempunyai
   kepercayaan   dan  budaya  yang  amat  kolot.    Dengan
   penerimaan  agama  Islam bangsa yang  kolot  ini,  yang
   bermusuh sesama sendiri tanpa sebab, telah bersatupadu,
   bersaudara,  mengejar ilmu, membuka  minda  mereka  dan
   berjaya mendirikan satu tamadun dan empayar yang  tidak
   ada tolok bandingannya.
   
   4.        Pemerintahan   kepimpinan   Rasulullah   yang
   didirikan   oleh   bekas  Arab  Jahiliah   di   Madinah
   memperkenalkan  perlembagaan yang tertib  dan  tersusun
   yang tidak pernah dilihat di dunia sebelum itu.  Piagam
   ini tidak menolak adanya orang bukan Islam yang menjadi
   penduduk Madinah dan memberi hak kepada mereka  sebagai
   wargakota Madinah.  Piagam ini cukup adil.  Orang bukan
   Islam dihukum mengikut undang-undang mereka.
   
   5.    Rasullullah  s.a.w.  juga  tidak  mengisytiharkan
   Madinah  sebagai  negara  Islam.   Konsep  negara  atau
   "nation  state"  seperti yang kita tahu sekarang  tidak
   ada  di  zaman itu.  Di Eropah juga tidak  ada  "nation
   state"  tetapi  ada  "warlords" yang menguasai  kawasan
   tertentu  dan sering berperang sesama sendiri, walaupun
   mereka daripada bangsa yang sama.
   
   6.    Wilayah  yang dikuasai oleh orang  Islam  memberi
   kesetiaan   kepada  seorang  Khalifah.    Orang   Islam
   menganggap  mereka  semua adalah daripada  satu  ummah,
   atau  dalam  bahasa  Inggeris "satu  community".   Soal
   negara Islam tidak timbul.
   
   7.     Apabila   Islam  berkembang  ke  seluruh   dunia
   pemerintahan tempatan diletak di bawah ketua-ketua yang
   dipilih  oleh Khalifah.  Oleh kerana wilayah Islam  ini
   terlalu jauh dari Baghdad atau Damsyik di mana Khalifah
   tinggal, maka ramai daripada ketua wilayah ini berlagak
   sebagai  raja  tempatan.  Ada juga yang  merebut  kuasa
   tanpa  izin  Khalifah dan mendakwa diri mereka  sebagai
   raja   dengan  berbagai-bagai  gelaran,  termasuk  juga
   gelaran "Khalifah".
   
   8.   Tidak ada perlembagaan yang diketahui yang menjadi
   undang-undang  asas kepada apa yang  dikenali  sekarang
   sebagai  Empayar  Islam.  Empayar Islam  bukan  seperti
   Empayar  Rom atau Empayar-empayar Barat yang lain  yang
   merupakan wilayah bangsa-bangsa lain yang ditakluk oleh
   penjajah sebagai empayar mereka.  Empayar Islam terdiri
   dari  wilayah  yang  majoriti penduduk  telah  menerima
   agama Islam atau orang yang beragama Islam berkuasa dan
   membentuk pemerintahan.
   
   9.    Apabila  Turki  menjadi kuasa besar  dalam  dunia
   Islam maka Sultan Turki di terima sebagai Khalifah bagi
   umat   Islam.   Pemerintahan  tempatan  tidak  dikuasai
   sepenuhnya oleh Turki, tetapi tinggal di tangan  ketua-
   ketua tempatan.  Apabila British dan Perancis berperang
   dengan  Turki,  mereka  menghasut Ketua-ketua  tempatan
   yang  bukan  berbangsa Turki supaya menuntut  kebebasan
   daripada   kuasa  Turki  dan  mendirikan  negara-negara
   sendiri  dengan menggunakan konsep "nation  state"  ala
   Eropah.    Ketua-ketua  tempatan  ini  tertipu   kerana
   apabila  wilayah  mereka  di bebaskan  daripada  Turki,
   mereka ditakluk dan dijajah sebagai koloni British  dan
   Perancis.   Apabila  kemudian  mereka  dapat   bebaskan
   wilayah-wilayah mereka, sistem khalifah sudah tidak ada
   lagi  dan  mereka  dirikan "nation state"  ala  Eropah.
   "Nation  state" ini dikenali oleh dunia Islam dan  juga
   bukan   Islam   sebagai  negara-negara   Islam.    Soal
   perlembagaan atau sistem pemerintahan dan undang-undang
   yang  dikuatkuasakan tidak menjadi syarat untuk negara-
   negara ini diterima sebagai negara Islam.
   
   
   10.  Sejak awal lagi wilayah yang diperintah oleh orang
   Islam   memberi  kebebasan  kepada  orang  bukan  Islam
   mengikut  undang-undang mereka  sendiri  asalkan  tidak
   bercanggah  dengan  undang-undang  Islam  atau  syariat
   Islam.    Orang-orang  bukan  Islam  di  wilayah   yang
   diperintah  oleh  orang  Islam  tidak  dikenakan  zakat
   tetapi membayar cukai kepala kepada pemerintah.   Dalam
   pengamalan  agama,  bukan Islam  bebas  beribadat  cara
   mereka.  Surah Al-Khafirun dalam Al-Quran jelas memberi
   kebebasan keagamaan kepada orang bukan Islam.
   
   11.   Demikianlah kebebasan beragama dalam wilayah yang
   diperintah  oleh  orang Islam sehingga  penganut  agama
   lain  kerap  berhijrah ke wilayah yang diperintah  oleh
   orang   Islam   untuk   menyelamatkan   diri   daripada
   penindasan  penganut  agama lain, terutama  oleh  orang
   Kristian  di  Eropah.  Apabila orang Kristian  Sepanyol
   menawan  semula  Semenanjung Sepanyol  ramailah  Yahudi
   yang memilih untuk pindah bersama dengan orang Islam ke
   Afrika Utara, iaitu ke Maghribi, Al-Jazair, Tunisia dan
   Mesir.   Di  wilayah yang diperintah  oleh  Turki  juga
   terdapat  ramai orang Kristian dan Yahudi  yang  diberi
   perlindungan oleh Pemerintahan Turki yang diketuai oleh
   Sultan bergelar Khalifah.
   
   12.   Terdapat  juga  bukti bahawa  orang  bukan  Islam
   mengambil bahagian dalam pentadbiran wilayah Islam.  Di
   Al-Andalus,  iaitu Sepanyol terdapat orang Yahudi  yang
   menjadi   menteri  dalam  pemerintahan  wilayah-wilayah
   tertentu.   Namun keIslaman wilayah-wilayah  ini  tidak
   dipersoalkan.   Orang  Kristian  dan  Yahudi   menerima
   wilayah-wilayah ini sebagai wilayah Islam.
   
   13.   Di sebaliknya ada juga orang Islam yang berhijrah
   ke  negara  bukan Islam. Ini berlaku kerana tekanan  di
   wilayah  Islam  oleh  pemerintahan atau  penjajah  atau
   kerana  ekonomi  yang  merosot  atau  untuk  berdagang.
   Terdapat  ramai  orang  Arab Islam  yang  berhijrah  ke
   Amerika  Latin  dan  di zaman ini ke Amerika  Syarikat.
   Sementara  mereka  kekal  dengan  agama  Islam,  tetapi
   mereka terima undang-undang tempatan yang tidak memisah
   mereka  daripada agama Islam.  Kelonggaran yang  diberi
   dalam  pengamalan  agama  Islam memudahkan  penyesuaian
   kehidupan  mereka  dengan  keadaan  tempatan.    Jarang
   sekali berlaku orang Islam meninggal agama Islam semasa
   bermastautin di negara bukan Islam.
   
   14.   Dengan  runtuhnya  sistem  Khalifah  yang  secara
   longgar  mendapat  kesetiaan seluruh  umat  Islam,  dan
   wujudnya  negara-negara yang bercorak  "nation  states"
   dalam  dunia  Islam,  maka  pemerintahan  negara-negara
   dijalankan mengikut intepretasi Islam dan keadaan dalam
   negara  masing-masing.  Perbezaan yang  terdapat  dalam
   pemerintahan   negara-negara   ini   tidak   menidakkan
   keIslaman negara-negara ini.
   
   15.   Sistem  pemerintahan di  zaman  moden  ini  sudah
   berubah  daripada  sistem  feudal  kepada  sistem  yang
   demokratik.   Walaupun  masih  ada  negara  Islam  yang
   feudal  tetapi semakin ramai yang menerima dan mengamal
   sistem   demokratik  tanpa  kehilangan  status   mereka
   sebagai negara Islam.
   
   16.   Sistem pemerintahan oleh Nabi tidak feudal.  Nabi
   tidak  menamakan zuriatnya sebagai pemimpin umat Islam.
   Sebaliknya apabila Baginda wafat, penggantinya  dipilih
   daripada   sahabat-sahabatnya.   Empat  Khalifah   yang
   pertama  yang  terdiri daripada sahabat  Nabi  dikenali
   dengan gelaran Khalifah Al-Rasyidun iaitu Khalifah yang
   paling terpimpin dan mematuhi peraturan-peraturan Allah
   dan Rasul (the Most Guided Caliphs).
   
   17.   Tetapi  walaupun mereka diakui  sebagai  Khalifah
   yang  istimewa dan terpimpin, dan kita sebut  nama-nama
   mereka dalam khutbah, tiga daripada mereka mati dibunuh
   oleh  orang Islam sendiri.  Yang jelas ialah pada zaman
   itu  pun  sudah ada orang Islam yang menyoal  keIslaman
   pemimpin   dan  pemerintah  sehingga  sanggup  membunuh
   pemimpin  yang  terdiri daripada sahabat  dan  keluarga
   Nabi,  Khalifah yang mendapat petunjuk dari  Allah  dan
   pimpinan oleh RasulNya.  Sepanjang sejarah Islam hingga
   ke  hari  ini  tetap ada kelompok-kelompok  Islam  yang
   bukan  sahaja  tidak bersetuju dengan  kepimpinan  umat
   Islam   semasa   tetapi  sanggup  mencetus   huru-hara,
   mengelirukan   orang   Islam  dan   menolak   keIslaman
   pemerintah,  dengan  niat  untuk  merebut  kuasa   bagi
   mereka.
   
   18.    Di  zaman  Kulafak  Al-Rasyidun  terdapat   puak
   Khawarij  yang  terdiri dari orang yang  kononnya  kuat
   berpegang kepada agama tetapi sering mencetuskan  kacau
   bilau  dan mencuba menjatuhkan Kerajaan-Kerajaan negara
   Islam melalui hasutan dan keganasan.  Bagi mereka  ini,
   hanya  mereka  sahaja yang Islam dan orang  Islam  lain
   terutama  pemerintah  semuanya  tidak  Islam.    Mereka
   menolak persaudaraan dalam Islam.   Yang anehnya mereka
   ini  tidak  pernah  berperang dengan orang  yang  bukan
   Islam.   Oleh kerana mereka suka bermusuh dengan  orang
   Islam lain, masyarakat Islam tidak pernah aman.  Secara
   tidak  langsung  mereka bersubahat dan membantu  musuh-
   musuh Islam.
   
   19.   Tabiat  Khawarij  terdapat  di  sepanjang  zaman.
   Tidak  ada pemerintahan Islam yang tidak diganggu  oleh
   orang jenis ini yang suka menolak keIslaman orang Islam
   lain, keIslaman pemerintahan Islam dan mencetuskan huru-
   hara  dalam  wilayah Islam sehingga  musuh-musuh  Islam
   mendapat  kesempatan untuk menyerang dan  menewas  umat
   Islam.
   
   20.   Soalan samada sebuah negara yang diperintah  oleh
   orang  Islam  adalah Islam atau tidak selalunya  datang
   daripada  puak  ini.  Tujuan soalan  ini  dibuat  ialah
   untuk   menghalalkan  percubaan  mereka   menggulingkan
   pemerintah dan merebut kuasa.  Walau apa pun bukti yang
   ditunjuk  bahawa negara berkenaan adalah negara  Islam,
   puak  ini  tetap  akan  menolak  keIslaman  negara  dan
   mencuba   menjatuhkan   Kerajaan.     Bahawa   majoriti
   daripada  orang  Islam  mengiktiraf  keIslaman   negara
   berkenaan,  pemerintahan dan kepimpinannya, tidak  juga
   dapat  meyakinkan  mereka  ini  akan  keIslaman  negara
   tersebut.   Justeru itu sia-sia sahajalah  usaha  untuk
   membuktikan keIslaman negara.
   
   21.   Malaysia  diakui oleh dunia,  samada  Islam  atau
   tidak   Islam,  sebagai  negara  Islam.   Orang   Islam
   Malaysia adalah orang Sunni atau Ahli Sunnah Wal Jamaah
   yang  bererti mereka berpegang kepada Sunnah  Nabi  dan
   juga  kepada  pendapat atau pegangan yang diterima  dan
   diamal  oleh  jamaah  Islamiah iaitu  masyarakat  umum.
   Dalam sebuah hadith, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang
   bermaksud, "Wajiblah ke atas kamu berpegang dengan  Al-
   Jamaah,  kerana  Allah  Ta'ala tidak  mentakdirkan  Al-
   Jamaah   berada   dalam  kesesatan".  Dalam   mana-mana
   masyarakat tetap ada kumpulan-kumpulan yang kecil  yang
   tidak  mahu  menerima pendapat umum.   Jamaah  di  sini
   bermakna  kumpulan yang terbesar atau  majoriti.   Ahli
   Sunnah  Wal  Jamaah  yang  setia  tidak  boleh  menolak
   pendapat  umum supaya dapat mengikut pendapat puak  dan
   kumpulan  kecil yang berlainan dengan pendapat  Jamaah.
   Berpecahnya  umat  Islam  adalah  disebabkan   kumpulan
   penentang yang kecil ini, seperti Khawarij yang menolak
   pendapat  Jamaah  yang  besar.   Selagi  ada  kumpulan-
   kumpulan yang tidak mahu menerima pendapat Jamaah, atau
   pendapat  umum daripada kumpulan yang terbesar,  selama
   itulah perpecahan demi perpecahan akan berlaku.  Mereka
   yang  suka  menentang Jamaah sudah  terkeluar  daripada
   golongan  Ahli  Sunnah Wal Jamaah.   Mereka  sebenarnya
   menolak  Sunnah  Nabi, yang antara lain  menyuruh  umat
   Islam  menurut  dan  taat kepada pendapat  jumlah  yang
   terbesar daripada umat Islam.
   
   22.   Jumlah  yang  terbesar  daripada  umat  Islam  di
   Malaysia dan juga di seluruh dunia mengiktiraf Malaysia
   sebagai negara Islam.  Ini sahaja sudah mencukupi untuk
   Malaysia  diterima oleh orang Islam  di  Malaysia  yang
   akur  kepada pendirian Ahli Sunnah Wal Jamaah,  sebagai
   negara Islam.  Alasan lain sebenarnya tidak perlu.
   
   23.   Walaupun demikian kita boleh tunjuk kepada  bukti
   yang  jelas  bahawa  segala  ajaran  Islam  yang  mampu
   dilaksanakan    oleh   pemerintahan   Malaysia    telah
   dilaksanakan  di  Malaysia.  Demikian orang  Islam  dan
   ajaran-ajaran  Islam diberi perlindungan oleh  Kerajaan
   Malaysia.   Penyebaran ajaran sesat  mengikut  pendapat
   jemaah dihindar.
   
   24.     Undang-undang   Islam,   atau   hukum    syarak
   dikuatkuasakan di Malaysia dengan mengambilkira keadaan
   negara  berbilang agama ini dan keadilan  yang  menjadi
   perkara utama dalam undang-undang Islam.  Islam memberi
   kelonggaran kepada pelaksanaan hukum mengikut  keadaan.
   Demikian  di  negara yang orang Islam menjadi  minoriti
   dan  tidak  berkuasa, hukum Islam di kuatkuasa  setakat
   yang  mampu  dan  tidak  membawa bencana  kepada  orang
   Islam.   Di  negara  yang penduduknya  seratus  peratus
   terdiri   daripada  orang  Islam,  hukum  Islam   boleh
   dilaksanakan sepenuhnya.
   
   25.   Islam bukanlah semata-mata tertumpu kepada haram-
   halal,  dosa-pahala dan hukum-hakam  di  dunia.   Islam
   adalah  Ad-Din  atau  cara hidup. Cara  hidup  meliputi
   segala-gala  yang  dilakukan  semasa  kehidupan   orang
   Islam.    Ini  termasuk  penyediaan  bekalan   makanan,
   pakaian  dan  bumbung  di atas kepala.   Juga  hubungan
   anggota  masyarakat Islam dengan orang Islam dan  orang
   bukan  Islam,  menjadi sebahagian daripada  cara  hidup
   Islam.   Pentadbiran, pelajaran, pertahanan, kesihatan,
   perhubungan  dan  perjalanan, kemudahan  beribadat  dan
   keselesaan  kehidupan dan apa sahaja yang  bersangkutan
   dengan  kehidupan  manusia termasuk  dalam  cara  hidup
   orang   Islam.  Sudah  tentu  kehidupan  ini   mestilah
   kehidupan  yang bahagia, bebas daripada segala  tekanan
   dan ketidakadilan.
   
   26.    Di   Malaysia  cara  hidup  orang  Islam  adalah
   sempurna,  bebas daripada segala tekanan, ketidakadilan
   atau  kekurangan.  Segala-gala yang bersangkutan dengan
   cara hidup Islam terdapat di Malaysia walaupun terdapat
   penganut agama lain di Malaysia.
   
   27.   Semua yang di kehendaki  oleh orang Islam  supaya
   dapat  hidup  cara  Islam terdapat di  Malaysia.   Oleh
   kerana ini dakwaan bahawa Malaysia adalah negara  Islam
   memang berasas dan tepat.
   
   28.    Pengiktirafan  oleh  orang  yang  berkepentingan
   terutama  oleh  orang  yang  menidakkan  ajaran  Islam,
   seperti   mendakwa   Tuhan  adalah  samseng   terbesar,
   penjahat dan penipu; pengiktirafan oleh mereka  seperti
   ini  tidak  penting.  Samada mereka  ini  iktiraf  atau
   tidak  hakikatnya ialah Malaysia adalah  negara  Islam,
   diperintah oleh orang Islam, dan di mana segala suruhan
   Allah  yang wajib diamalkan, boleh diamal dengan  bebas
   dan selamat.
   
   29.    Mereka  yang  menolak  pendapat  golongan   yang
   terbesar  antara orang Islam di negara ini,  yang  suka
   memecah  belah orang Islam, mencetus huru-hara,  mereka
   ini  tidak  berhak  untuk menyoal Islam  atau  tidaknya
   Malaysia.    Sudah  tentu  jika  syarat  mereka   untuk
   mentakrifkan sebuah negara sebagai negara  Islam  hanya
   jika  undang-undang yang dicipta oleh  mereka  diterima
   pakai, maka hari ini tidak ada satu pun negara di dunia
   yang  boleh diiktiraf sebagai negara Islam.  Ini adalah
   kerana  tidak  ada satu pun negara di  dunia  ini  yang
   melaksanakan  hukum-hukum ciptaan  mereka  ini,  hukum-
   hukum  yang  telah  dipinda oleh mereka  dengan  begitu
   mudah.  Hukum Allah tidak boleh dipinda.
   
   30.   Golongan  minoriti  ini tidak  mempunyai  apa-apa
   mandat  untuk menentukan negara ini Islam  atau  tidak.
   Yang  penting  ialah jemaah Islam di  Malaysia  dan  di
   tempat-tempat lain mengiktiraf Malaysia sebagai  negara
   Islam.
   
   31.  Bagi mereka yang celek dan berpegang kepada ajaran
   Islam  yang  sebenar,  Malaysia  adalah  negara  Islam.
   Polemik  berkenaan  ini tidak akan  menidakkan  hakikat
   ini.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google