home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	PUSAT PERDAGANGAN DUNIA PUTRA
Tarikh/Date	:	06/10/2002
Tajuk/Title 	:	PERHIMPUNAN AGUNG PARTI PROGRESIF 
			PENDUDUK MALAYSIA
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 
		    


        Saya  ucapkan terima kasih kepada semua ahli serta
   anggota   Jawatankuasa  Pusat  Parti Progresif Penduduk
   Malaysia  (PPP) yang telah sudi menjemput  saya  sekali
   lagi  untuk merasmikan Perhimpunan Agung Parti PPP yang
   ke-49 pada  hari  ini.
   
   2.    Persidangan ini adalah yang kedua di  dalam  masa
   dua  hari yang saya rasmikan yang mana ianya melibatkan
   dua parti komponen Barisan Nasional. Semalam saya telah
   menghadiri perasmian Persidangan Perwakilan ke-31 Parti
   Gerakan.
   
   3.    Sebenarnya, kesudian Parti PPP, begitu juga parti
   komponen  Barisan  Nasional yang lain  untuk  menjemput
   saya  ke  acara  seperti  ini setiap  tahun  amat  saya
   hargai.  Ini  adalah sebagai pengiktirafan kepada  saya
   selaku   Pengerusi  Barisan  Nasional.   Tetapi   lebih
   daripada itu, walaupun Barisan Nasional merupakan  satu
   gabungan  parti  campuran,  namun  kita  telah  berjaya
   menunjukkan bahawa kita mampu bergerak seiringan seolah-
   olah kita adalah satu parti.
   
   4.    Inilah  yang  menjadi asas kepada kejayaan  kita.
   Kerjasama  dan  perpaduan antara  parti-parti  gabungan
   yang   walaupun  mempunyai  kepentingan  berbeza  telah
   berjaya  merapatkan jurang pemisah untuk kebaikan  kita
   bersama.
   
   5.    Konsep Barisan Nasional ini, yang bermula  dengan
   Parti Perikatan, merupakan hasil kebijaksanaan pemimpin
   kita  yang  lampau yang menyedari bahawa  hanya  dengan
   memupuk  kerjasama  antara  kaum  barulah  dapat   kita
   menentukan kemerdekaan negara dicapai dengan aman.
   
   6.    Hari ini berkat kerjasama inilah juga kita  telah
   berjaya   membangunkan  negara  kita  dan   memakmurkan
   rakyat.   Sebenarnya   apa  yang   kita   lakukan   ini
   mengkagumkan  negara-negara lain yang cuba  mengamalkan
   system  demokrasi tetapi terdapat terlalu banyak  parti
   yang   bertentangan  antara  satu  dengan  yang   lain.
   Keadaan  ini menjadi lebih sulit jika terdapat penduduk
   daripada pelbagai kaum.
   
   7.    Malaysia mempunyai penduduk yang terdiri daripada
   pelbagai kaum dengan perbezaan agama, bahasa dan budaya
   tetapi  kita  masih  aman dan berjaya.  Perbezaan  yang
   sebegini  amat sukar diatasi dan perpaduan tidak  mudah
   dicapai.   Jika diadakan sebuah parti untuk semua  kaum
   kemungkinan  ialah kaum yang terbesar akan  mendominasi
   parti  itu.   Tetapi system `coalition'  memberi  suara
   yang sama kepada semua kaum dan parti, kecil dan besar,
   melalui  perwakilan dalam Dewan Tertinggi.  Tiap  parti
   dan  kaum  dapat menyuarakan pendapat dan masalah  yang
   dihadapinya  kepada gabungan parti.  Dengan  itu  tidak
   ada pihak yang akan terasa di ketepikan atau kecewa.
   
   8.    Kita  telah  lihat  bagaimana  pada  tahun  1997,
   apabila  negara diserang penyangak matawang dan ekonomi
   kita  telah  terjejas dengan teruk, tidak  ada  rusuhan
   kaum  yang  berlaku dan perpaduan antara  rakyat  telah
   menghasilkan  keamanan dan kestabilan yang  membolehkan
   Kerajaan  menumpukan sepenuh perhatian  terhadap  usaha
   untuk  memulihkan ekonomi negara. Hari ini  kita  boleh
   berbangga  kerana ekonomi kita telah pulih  dan  negara
   terus aman dan stabil.
   
   9.     Kerajaan  amat  tegas  di  dalam  menangani  isu
   perhubungan  antara  kaum. Walaupun  kaum  terbesar  di
   Malaysia  merupakan  kaum  Bumiputera,  yang  mempunyai
   keistimewaan    sebagaimana    termaktub    di    dalam
   Perlembagaan Negara, Kerajaan tidak pernah mengetepikan
   hak mana-mana kaum lain.  Kebebasan untuk mengamal adat
   resam,  budaya, agama dan bahasa kaum lain tidak pernah
   disekat.   Malah   ianya  digalakkan  dengan   Kerajaan
   menyediakan bantuan seperti di dalam mendirikan sekolah
   jenis  kebangsaan, serta penyediaan tapak untuk  rumah-
   rumah ibadat penganut agama lain.
   
   10.    Kerajaan akan tetap mempertahankan hak kaum-kaum
   lain    berdasarkan   kepada   peruntukan   di    bawah
   Perlembagaan  Negara.  Tetapi Kerajaan  juga  mempunyai
   tugas  dan  tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian
   dan  perpaduan  generasi akan datang. Ini  hanya  dapat
   dilaksanakan  dengan memupuk interaksi antara  kaum  di
   peringkat   awal  kehidupan  mereka  dan  mengembangkan
   bahagian ekonomi mereka.
   
   11.   Seperti yang saya katakan tadi, perpaduan  antara
   kaum telah berjaya meyakinkan penjajah untuk memberikan
   kita  kemerdekaan.  Walaupun pada tahun  1969,  terjadi
   rusuhan   antara   kaum  disebabkan   ketidakseimbangan
   ekonomi,  langkah-langkah yang  diambil  telah  berjaya
   menyekat  kejadian  seperti  itu  berulang  sehinggakan
   apabila   rantau   ini  diserang  penyangak   matawang,
   Malaysia  dapat mengekalkan keharmonian  dan  perpaduan
   antara rakyat.
   
   12.   Hari ini, walaupun secara umumnya hubungan antara
   kaum  di Malaysia amat baik, tetapi terdapat perpisahan
   di  antara rakyat golongan muda. Di sekolah-sekolah dan
   di  institusi pengajian tinggi polarisasi kaum berlaku.
   Kita    lihat   bagaimana   kumpulan-kumpulan   pelajar
   berlainan  kaum bergerak dan berinteraksi hanya  dengan
   rakan  sekaum  mereka sahaja. Mereka makan  berasingan,
   belajar berasingan, bermain berasingan, boleh dikatakan
   apa  sahaja  aktiviti  yang dilakukan  hanyalah  dengan
   rakan-rakan sekaum mereka sahaja.
   
   13.   Ini amat tidak baik sekali bagi masa depan negara
   kita.  Malaysia  tidak boleh meneruskan  kemajuan  yang
   telah  dicapai tanpa persefahaman  antara kaum.  Itulah
   sebabnya   Kerajaan  merasakan  perlu  untuk  mengambil
   beberapa  langkah  untuk  menggalakkan  percampuran  di
   kalangan   golongan  muda  dengan  mendirikan  kompleks
   sekolah  wawasan  yang menempatkan  Sekolah  Kebangsaan
   dengan Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
   
   14.    Dengan  adanya  kompleks  Sekolah  Wawasan  ini,
   sekurang-kurangnya murid-murid sekolah ini  akan  dapat
   makan bersama dan bermain bersama di satu kantin,  satu
   dewan  perhimpunan,  satu padang.  Kerajaan  tidak  ada
   tujuan  sama  sekali untuk menghapuskan  Sekolah  Jenis
   Kebangsaan ini.
   
   15.  Malangnya, terdapat segelintir puak ekstrimis yang
   mengambil  kesempatan untuk mempolitikkan  usaha  murni
   Kerajaan  ini dengan menuduh bahawa langkah ini  adalah
   usaha   Kerajaan  untuk  menghapuskan   Sekolah   Jenis
   Kebangsaan. Saya ingin nyatakan di sini bahawa  Sekolah
   Jenis   Kebangsaan   telah   diperuntukkan   di   bawah
   Perlembagaan  dan   pindaan  yang  telah  dibuat  dalam
   undang-undang  menghalang  kerajaan  daripada   menukar
   sekolah jenis Kebangsaan kepada sekolah Kebangsaan atau
   menghapuskan sekolah jenis Kebangsaan.
   
   16.   Dalam  usaha  Kerajaan  memupuk  dan  menjalinkan
   hubungan yang rapat antara kaum  di  Malaysia,   parti-
   parti  komponen  di  dalam Barisan   Nasional  mestilah
   terlebih  dahulu kuat dan bersatu-padu. Jika parti  dan
   pemimpin  komponen parti BN itu lemah, dan jika  parti-
   parti  di dalam BN pula bersengketa, maka akan  menjadi
   lebih  mudah bagi puak ekstrimis ini mendapat sokongan.
   Dalam  sistem  demokrasi sokongan  majoriti  menentukan
   siapa  yang  akan  jadi  Kerajaan.   Ugutan  oleh  puak
   ekstrimis  untuk  mengurang undi  parti  Kerajaan  akan
   diguna  berkali-kali  jika  mereka  dapati  kita  mudah
   tunduk kepada ugutan mereka.
   
   17.  Walaupun parti komponen BN terdiri daripada parti-
   parti  yang  mewakili pelbagai kaum, namun  kita  harus
   mengambil   pendekatan  yang  sederhana.   Kita   harus
   rasional  dan  jangan  biarkan  diri  kita  terpengaruh
   dengan   pandangan  puak  ekstrim.  Kita  harus  berani
   menegakkan  kebenaran dan membuat keputusan  yang  akan
   memberi manfaat kepada semua, dan bukannya sesuatu kaum
   sahaja.
   
   18.   Malaysia  adalah sebuah negara  demokratik.  Kita
   telah  mengadakan pilihanraya umum setiap  kali  tempoh
   parlimen  tamat  tanpa apa-apa halangan.  Rakyat  bebas
   memilih  Kerajaan mereka tanpa perlu merasa takut  atau
   tertekan.  Walaupun pelbagai tohmahan telah dilemparkan
   oleh  pihak pembangkang terhadap kita, tidak sesiapapun
   yang   boleh  menafikan  bahawa  pilihanraya  umum   di
   Malaysia adalah "free and fair".
   
   19.    Malangnya  sejak  kebelakangan  ini  kita  dapat
   melihat bagaimana puak pembangkang, yang kecewa  kerana
   tidak  mendapat  sokongan majoriti  rakyat  telah  mula
   menggunakan  taktik kotor untuk menipu dan memanipulasi
   "electoral  roll"  untuk merampas kuasa  dengan  secara
   tidak demokratik.
   
   20.  Ini dapat kita kesan di dalam pilihanraya kecil di
   Anak  Bukit dan Pendang baru-baru ini, di mana  berlaku
   perpindahan nama pengundi dari satu kawasan ke  kawasan
   lain  untuk  menentukan  kemenangan  parti  pembangkang
   dengan penipuan ini.
   
   21.   Sekarang ini barulah kita sedar akan  apa  dianya
   tuduhan  pihak pembangkang tentang terdapatnya pengundi
   hantu  atau  "phantom voters" setiap  kali  pilihanraya
   diadakan.   Sebenarnya  mereka mensyaki  penipuan  yang
   dibuat  oleh mereka, dibuat juga oleh kita.  Sebab  itu
   apabila  penyokong  kita pergi ke  kawasan  pilihanraya
   kecil  untuk  memberi semangat dan menyelamat  pengundi
   kita  kerana gangguan oleh parti lawan, mereka menyekat
   bas  penyokong  parti kita dan merampas kad  pengenalan
   supaya  penyokong  kita tidak dapat  mengundi.   Tetapi
   memang  pun  penyokong Barisan Nasional bukan  berhajat
   untuk mengundi dalam pilihanraya kecil di kawasan  yang
   bukan  mereka berdaftar sebagai pengundi.  Yang membuat
   kerja itu ialah Parti Pembangkang.
   
   22.   Kita  membahagikan negara  kita  kepada  kawasan-
   kawasan  untuk memilih wakil kerana kita ingin  memberi
   hak   kepada   penduduk  kawasan  memilih  wakil   yang
   dipercayai oleh mereka akan mewakili dan memperjuangkan
   kepentingan  penduduk  kawasan berkenaan.   Jika  orang
   dari  kawasan lain mendaftar untuk mengundi  sesukahati
   mereka,  maka  pengundi tempatan  mungkin  tidak  dapat
   memilih  wakil yang diminati oleh mereka.   Ini  adalah
   kerana  orang  luar  yang  menyebabkan  calon  tertentu
   dipilih   dengan  memberi  undi  mereka  kepada   calon
   tersebut.
   
   23.   Sebaliknya  calon  boleh  datang  dari  mana-mana
   sahaja  asalkan  ia  adalah  seorang  pengundi.    Jika
   penduduk sesuatu kawasan ingin memilih calon dari  luar
   kawasan itu adalah hak mereka.
   
   24.   Sebab  itulah kita mempunyai kawasan pilihanraya.
   Jika  orang yang tidak ada kena-mengena dengan  kawasan
   menjadi pengundi dalam kawasan itu maka tidaklah  perlu
   kita  membahagikan negara kepada kawasan-kawasan  untuk
   pemilihan wakil rakyat.
   
   25.   Kita  harus berwaspada dengan taktik kotor  parti
   pembangkang  ini. Mereka akan membuat apa sahaja  untuk
   mencapai  matlamat mereka merampas kuasa.  Tidak  boleh
   secara  demokratik menerusi pilihanraya, terdapat  juga
   elemen-elemen daripada parti lawan yang sanggup mencuba
   merampas  kuasa  secara kekerasan seperti  yang  dibuat
   oleh  kumpulan  Al-Maunah dan dirancang  oleh  Kumpulan
   Militan.   Kerajaan  tetap akan mengguna  undang-undang
   negara untuk menggagalkan percubaan mereka.
   
   26.   Adalah menjadi tanggungjawab parti-parti komponen
   Barisan   Nasional  menyelamatkan  rakyat  dan   negara
   daripada  orang yang seperti ini.  Kita  perlu  bekerja
   kuat  supaya  kemalangan ini tidak menimpa negara  yang
   tercinta ini.
   
   
   27.   Sebelum  saya mengakhiri ucapan  saya  ini,  saya
   ingin  mengambil  kesempatan untuk mengucapkan  tahniah
   kepada  Presiden Parti PPP, YB Datuk M Kayveas,  kerana
   kejayaannya  menerajui parti PPP  dengan  begitu  baik.
   Saya   juga  mengucapkan  tahniah  kepada  semua  pucuk
   pimpinan  serta ahli PPP yang telah berjaya menonjolkan
   PPP  sebagai  sebuah parti yang kuat dan bersatu  padu.
   Sokongan  berterusan  yang kuat kepada  pucuk  pimpinan
   parti  hanya akan memperkukuhkan lagi Barisan  Nasional
   serta Kerajaan.
   
   28.  Sekarang dengan segala sukacitanya saya merasmikan
   Perhimpunan  Agung  Parti Progresif  Penduduk  Malaysia
   yang  ke-49  dan  saya harap kekukuhan parti  PPP  akan
   terus  meyumbang  kearah  pembangunan,  kemakmuran  dan
   kesejahteraan negara kita yang tercinta ini.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google