home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	PUTRA WORLD TRADE CENTRE, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date	:	14/10/2002
Tajuk/Title 	:	PERASMIAN PERSIDANGAN KESUSASTERAAN 
			TAMIL ISLAM SEMALAYSIA
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM
		    

      Bersyukur kita pada Allah S.W.T. kerana kita dapat
   menghadiri  ke  majlis Persidangan Kesusasteraan  Tamil
   Islam  Se  Malaysia  yang  pertama  kali  diadakan   di
   Malaysia.  Saya  mengambil kesempatan  ini  mengucapkan
   terima  kasih  kepada  pihak  penganjur  kerana   telah
   menjemput  saya untuk merasmikan majlis yang bersejarah
   ini.
   
   2.    Bahasa  merupakan  salah satu  elemen  komunikasi
   dalam   kehidupan   manusia.  Bahasa   juga   merupakan
   pengenalan  atau identiti sesuatu komuniti.   Oleh  itu
   bahasa  yang mencerminkan jiwa bangsa itu amat  penting
   dan dipelihara dengan bersungguh-sungguh oleh mana-mana
   komuniti kaum sekalipun.
   
   3.     Begitu  juga  dengan  budaya  kaum.   Ia   tetap
   dipertahankan oleh sesuatu komuniti itu supaya ia tidak
   hilang  walaupun  diancam oleh elemen lain  yang  lebih
   kuat.   Sebab  itu  apabila agama  Islam  dipeluk  oleh
   kumpulan-kumpulan besar di negara India, elemen  budaya
   kaum  India  masih kekal.  Umpamanya orang India  Islam
   tidak suka makan daging lembu.
   
   4.    Namun  sifat budaya Islam yang kukuh  menyebabkan
   wujudnya  satu  bentuk  budaya  yang  dikenali  sebagai
   budaya  komposit  Indo-Muslim.  Budaya  komposit  Indo-
   Muslim  merupakan satu bentuk percampuran budaya  Hindu
   dan Islam dengan identiti budaya masing-masing.
   
   5.    Di  selatan India pula mereka yang telah  memeluk
   agama Islam masih menggunakan bahasa Tamil. Usaha-usaha
   telah   diambil  untuk  menterjemahkan  Al-Quran  dalam
   bahasa Tamil. Terdapat juga beberapa buku sastera  yang
   berbentuk agama Islam seperti "Seerapuaranam" yang kaya
   dengan kesusasteraan bahasa Tamil.
   
   6.   Saya difahamkan bahawa para cendikiawan yang fasih
   dalam  kesusasteraan bahasa Tamil jarang merujuk kepada
   karya-karya  tulisan  tokoh-tokoh  India  Muslim.   Ini
   adalah  merugikan kerana jika kita sendiri tidak  boleh
   menyebarkan kekayaan karya-karya sedemikian  maka  kita
   tidak  boleh berharap pada pihak lain ataupun  generasi
   muda kita untuk berbuat demikian.
   
   7.    Kebudayaan  yang  kaya dengan manuskrip-manuskrip
   yang berhubungkait dengan pembangunan Islam di kalangan
   Muslimin  yang bertutur dalam bahasa Tamil  tidak  akan
   bermakna sekiranya langkah-langkah tidak diambil  untuk
   memelihara dan mewujudkannya . Dan ia menjadi kewajipan
   tuan-tuan  semua  untuk  memelihara  karya-karya  Tamil
   Islam demi kebaikan semua.
   
   8.    Dengan adanya ICT, Internet, e-mel, k-ekonomi, k-
   pengetahuan  dan  sebagainya  adalah  dikhuatiri  karya
   kesusasteraan Islam Tamil tidak akan menjadi popular di
   kalangan  bukan  sahaja orang ramai  malah  kaum  India
   sendiri.  Oleh  itu persidangan sebegini amatlah  tepat
   dan  relevan  dengan  keadaan semasa.  Saya  difahamkan
   persidangan ini di adakan bertujuan memberikan motivasi
   dan  kesedaran, menghayati dan menyelidik kesusasteraan
   Tamil  Islam  yang  ditulis oleh  karyawan  Muslim  dan
   mengeratkan silatulrahim umat Islam khasnya kaum  India
   Muslim di Malaysia.
   
   9.    Di  Malaysia pula kita semua tahu  bahawa  Munshi
   Abdullah  adalah  seorang keturunan India  Muslim  yang
   begitu cekap dalam seni tulisannya. Adapun hasrat  saya
   untuk  melihat  seorang bagaikan Munshi  Abdullah  pada
   zaman  ini untuk mencatatkan perkembangan kesusasteraan
   Tamil Islam di Malaysia untuk pengetahuan generasi muda
   pada masa hadapan.
   
   10.    Dalam   persidangan  seperti  ini   kita   dapat
   mencungkil  hasil  karya  sasterawan  dahulu  dan  kini
   sambil mengkaji sejarah dan kepentingannya kepada  umat
   Islam   sejagat.   Persidangan   sebegini   juga   akan
   mengingatkan  kaum India Muslim tentang  sejarah  nenek
   moyang  mereka.  Sejarah adalah  tamadun  bagi  sesuatu
   kaum.   Ianya  akan  dapat  memberi  kesedaran   kepada
   generasi yang akan datang. Program sebegini akan  dapat
   memberikan  motivasi  kepada remaja-remaja  kini  untuk
   terus menulis sejarah-sejarah berunsur Islamiah.
   
   11.  Untuk menjayakan program ini diharap generasi akan
   datang  dapat memahami kewujudan dan tamadum Islam  dan
   sejarahya.  Oleh itu diharap sejarah-sejarah  karyawaan
   Kesusasteraan India Muslim dapat dicetak dan diedar  di
   sekolah-sekolah  Tamil, Melayu dan Cina  supaya  mereka
   juga dapat merujuk dan memahami sejarah  tamadun Islam.
   
   12.   Saya  mengucapkan syabas kepada  penganjur  iaitu
   Badan  Amal  Islam dengan kerjasama Persatuan-persatuan
   Kebangsaan dan Badan-badan Amal India Muslim Malaysia.
   
   13.   Saya berharap melalui majlis-majlis seumpama  ini
   kita  dapat  menyebarkan kekayaan  karya  kesusasteraan
   pada masyarakat tempatan yang berbilang kaum dan agama.
   14.   Akhir sekali, sekalung tahniah sekali lagi kepada
   Badan Amal Islam dan Persatuan-persatuan India Muslim dan
   mereka yang telah menganjurkan dan menjayakan persidangan
   ini.
   
   15.   Dengan  ini,  saya dengan sukacitanya  merasmikan
   Persidangan Kesusteraan Tamil Islam SeMalaysia.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google