home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->

Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date	:	05/12/2002
Tajuk/Title 	:	PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 
		    

   Alhamdulillah,  bersyukur kita ke hadrat  Allah  S.W.T.
   kerana  dengan  berkat nikmat yang  dilimpahkan  kepada
   kita,  sekali  lagi kita umat Islam di  Malaysia  dapat
   merayakan  Hari Raya Aidil Fitri dengan  aman,  selamat
   dan  ceria  setelah sebulan kita menyempurnakan  ibadah
   puasa di bulan Ramadhan.
   
   2.    Beginilah  keadaan kita di Malaysia  setiap  kali
   kita  merayakan Hari Raya, kita sentiasa  berada  dalam
   keadaan  penuh  kemeriahan. Begitu  juga  apabila  kita
   merayakan apa jua perayaan atau hari kebesaran penganut
   agama-agama lain. Bagi Umat Islam suasana tenteram kita
   nikmati  sepanjang  bulan Ramadhan.  Masjid  dan  surau
   dipenuhi jemaah mengerjakan sembahyang terawih, memohon
   keberkatan Allah S.W.T. di bulan yang mulia ini,  tanpa
   sebarang  gangguan atau halangan. Pasar-pasar  Ramadhan
   menjual  beraneka  jenis  kuih-muih  dan  juadah  lain.
   Kompleks  membeli-belah dan pusat-pusat jualan sentiasa
   penuh  dengan  orang ramai yang ingin membeli  pelbagai
   kelengkapan  menyambut hari kebesaran  ini.  Bagi  yang
   mampu, berbuka puasa di hotel di sekitar bandaraya kian
   menjadi kebiasaan. Bagi mereka yang kurang berada,  ada
   pihak-pihak  yang prihatin yang menyumbang agar  nikmat
   dan  rahmat  ini  turut  dikecapi bersama.  Demikianlah
   kemewahan  dan  kemakmuran yang  kita  nikmati  sebagai
   rakyat negara yang bertuah ini, yang kita nikmati tanpa
   melupakan ibadat dan ajaran agama kita.
   
   3.    Kini  setelah selesai kita melakukan rukun  Islam
   yang ketiga dengan cukup sempurna, kita  akan merayakan
   Aidilfitri.  Di pagi 1 Syawal, dengan berpakaian  serba
   baru,  kita  akan  bertumpu ke  masjid  dan  surau  dan
   bersama-sama  bertakbir dan melakukan sembahyang  sunat
   berjemaah  Hari  Raya.  Kita akan bersalam-salaman  dan
   bermaaf-maafan  antara satu sama lain, antara  keluarga
   dan sahabat handai, kenalan kita dan sesiapa sahaja.
   
     4.   Kita  akan  gunakan hari ini  untuk  mengeratkan
   hubungan  kita  sesama  umat  Islam.  Kita  akan  pergi
   berkunjung ke rumah kaum keluarga serta rakan-rakan dan
   juga  mereka  yang  kerana sebab tertentu  kita  kurang
   mesra.   Inilah  juga masanya untuk kita  rujuk  semula
   dengan memohon maaf zahir dan batin.  Peluang ini  juga
   dapat  kita  gunakan untuk merapatkan  hubungan  antara
   kaum  dengan  menjemput rakan-rakan kita yang  beragama
   lain untuk bersama-sama ke rumah terbuka kita.
   
   5.    Kita  dapat melakukan kesemua ini dengan sempurna
   kerana  negara  kita aman, makmur dan  diberkati  Allah
   S.W.T. dengan segala bentuk kemewahan. Semestinya  kita
   bersyukur  dengan segala nikmat ini. Sebenarnya  kerana
   kita  bersyukur dan bersikap mesra inilah  yang  negara
   kita  aman,  tenteram  dan makmur.   Kita  harus  insaf
   dengan  nasib  baik yang kita nikmati ini  memandangkan
   rusuhan kaum dan agama berlaku di negara berbilang kaum
   yang lain.
   
   6.    Kita  harus  sedar  bahawa rata-rata  umat  Islam
   ditindas,   ditekan  dan  dimusuhi.  Lebih-lebih   lagi
   setelah  kejadian serangan 11 September.   Maruah  umat
   Islam  kini begitu rendah sekali. Umat Islam dihina  di
   mana-mana  sahaja. Setelah runtuhnya Empayar Othmaniah,
   wilayah  orang Islam dirampas, orang Islam diusir  dari
   wilayah  mereka,  diserang dan dibunuh  apabila  mereka
   cuba menebus balik wilayah mereka.
   
   7.    Sesiapa  sahaja yang beragama Islam kini  disyaki
   sebagai pengganas. Negara-negara Islam dianggap sebagai
   tempat  yang  bahaya  bagi pelabur  dan  pelawat  asing
   sehingga  ekonomi negara Islam terjejas.  Di sesetengah
   negara,  rumah  orang Islam dicerobohi  dan  dirosakkan
   oleh pihak berkuasa, orang-orang Islam ditahan sewenang-
   wenangnya  hanya kerana disyaki sebagai pengganas  atau
   semata-mata   kerana  beragama  Islam.    Masjid-masjid
   dibakar dan dirosakkan kerana sentimen anti Islam.
   
   8.    Di Palestin, rejim Israel dengan bebas mengganas,
   membunuh  penduduk  Palestin tanpa mengira  batas  umur
   atau  jantina,  merobohkan rumah-rumah mereka.  Bandar-
   bandar  dirobohkan oleh tentera Israel  untuk  membalas
   dendam   terhadap  perbuatan  ganas  segelintir  rakyat
   Palestin  yang  terlalu  kecewa dengan  tindakan  ganas
   Israel dan dunia yang mengizinkannya.
   
   9.     Kita  tidak  merestui  sebarang  keganasan  oleh
   sesiapa  sahaja.   Tetapi jika sesiapa  ingin  mencegah
   keganasan mereka perlu tahu sebab-sebabnya dan berusaha
   untuk  mengatasi  sebab-sebab  ini.   Hakikatnya  ialah
   semua   pemberontakan  dan  keganasan  rakyat  Palestin
   bermula apabila wilayah Arab dirampas oleh kuasa  Barat
   untuk  dijadikan Negara Yahudi Israel, dan  orang  Arab
   Palestin  diusir dari rumahtangga mereka, dihalau  dari
   wilayah mereka, menjadi orang buangan sehingga ke  hari
   ini.   Lebih  daripada itu Israel telah  menyerang  dan
   memperluaskan  wilayah  mereka sehingga  tinggal  hanya
   kawasan  yang sempit bagi rakyat Palestin.   Dan  semua
   ini dibuat dengan restu yang tidak bersuara oleh bangsa-
   bangsa  yang  bercakap  tidak berhenti-henti  berkenaan
   dengan  hak  asasi manusia, berkenaan dengan  demokrasi
   dan lain-lain.
   
   10.   Sesungguhnya  keadilan sudah tidak  ada  lagi  di
   dunia  sekarang.  Sesungguhnya yang kuat akan melakukan
   apa  sahaja dengan kepercayaan bahawa yang lemah  tidak
   ada    pilihan    melainkan   menerima   tekanan    dan
   ketidakadilan yang dijadikan bahagian mereka.
   
   11.   Pendapat bahawa yang kuat boleh buat  apa  sahaja
   adalah  salah.  Kata pepatah "Tak dapat tanduk, telinga
   dipulas".  Yang lemah tidak dapat mematah tanduk, tidak
   dapat  mengalahkan  penindas mereka yang  begitu  kuat,
   tetapi  mereka jelas berjaya menakutkan seluruh  dunia,
   merosakkan   ekonominya,  dan  menghapuskan   kewarasan
   pemikiran   semua   pihak   dengan   tindakan   mereka.
   Kebolehan   berfikir  sudah  hilang  dan  semua   pihak
   bertindak  mengikut nafsu, mengikut perasaan marah  dan
   keinginan membalas dendam sahaja.
   
   12.  Kuasa besar yang tidak pernah diserang berasa amat
   marah  apabila  segala  simbol  kegagahan  ekonomi  dan
   ketenteraan  mereka  diserang  dan  dihancurkan.   Pada
   mulanya  dunia  bersimpati  dengan  mereka  dan   ingin
   menyertai  tindakan  mereka  untuk  memburu  pengganas.
   Tetapi  hari  ini  komitmen untuk menyertai  peperangan
   melawan   pengganas   oleh  kebanyakan    negara     di
   dunia  sudah pudar kerana peperangan melawan  pengganas
   sudah  beralih  menjadi  permusuhan  terhadap  penganut
   agama  Islam, tanpa membeza di antara kawan dan  lawan.
   Negara  yang  memberi  kerjasama pun  dianggap  sebagai
   musuh  yang tidak boleh dipercayai, dan lawatan-lawatan
   ke negara-negara ini disekat.
   
   13.   Kita  merasai  agak  keterlaluan  apabila  sebuah
   negara  Islam mendakwa bahawa kuasa terbesar  di  dunia
   adalah Syaitan terbesar.  Tetapi dakwaan ini tidak jauh
   berbeza  daripada dakwaan bahawa Iraq, Iran  dan  Korea
   Utara  adalah  "Axis  Of  Evil".   Di  masa  yang  sama
   sementara Iraq dan Iran dikutuk dengan kuat dan  ugutan
   dibuat  untuk menyerang negara-negara ini, Korea  Utara
   yang mengaku memiliki senjata nuklear, satu "weapon  of
   mass destruction," tidak pula diugut akan diserang  dan
   pemimpinnya  disingkirkan.   Apakah  sebabnya  terdapat
   diskriminasi antara Iraq, Iran dan Korea Utara?  Apakah
   tidak kerana Iran dan Iraq adalah negara Islam?
   
   14.   Perkara ini disebut bukan kerana kita  anti-barat
   atau  anti kuasa besar tertentu, atau anti-kulit putih.
   Ia  disebut kerana ia adalah kenyataan.  Dan  kenyataan
   ini  tetap  akan  merenggangkan hubungan  antara  orang
   Islam  dan  kuasa-kuasa Barat.  Ia juga  akan  menambah
   persepsi  orang  Islam bahawa Barat adalah  anti-Islam.
   Dan persepsi ini akan menjejaskan kerjasama orang Islam
   dengan  negara-negara Barat dalam  memerangi  keganasan
   antarabangsa.
   
   15.   Dengan  diskriminasi seperti ini tidak  hairanlah
   jika  orang  Islam  bertambah  marah  dan  tidak  dapat
   bertindak  secara  yang waras.   Segala  tindakan  yang
   diambil   oleh  semua  pihak  hanyalah  didorong   oleh
   perasaan marah, benci dan dendam.  Sampai bilakah  umat
   manusia hendak berlawan dendam ini?
   
   16.   Alhamdulillah,  kita  di  Malaysia  berada  dalam
   keadaan aman dan tenteram.  Kita dapat berpuasa  dengan
   sempurna  dan  kita akan rayakan Hari  Raya  Aidilfitri
   dalam  keadaan  yang juga sempurna.  Kita  boleh  tepuk
   belakang kita kerana nasib baik kita.  Tetapi kita juga
   harus ingat bahawa terdapat di kalangan kita orang yang
   tidak bersyukur dengan nikmat yang banyak yang didapati
   oleh kita di negara yang bertuah ini.
   
   17.  Kita anggap amat malang kerana ada rakyat Malaysia
   yang  berminat  dengan keganasan  bukan  untuk  melawan
   musuh-musuh  Islam  yang menindas orang  Islam,  tetapi
   untuk  mencetuskan  huru-hara  dan  merampas  kuasa  di
   negara  sendiri  yang  sudah pun diperintah  oleh  kaum
   sebangsa  dan  seagama  dengan mereka.   Kerana  kecewa
   dengan  demokrasi  dan pemilihan untuk  mendapat  kuasa
   Kerajaan,   mereka   telah  pergi   ke   Pakistan   dan
   Afghanistan   kononnya  untuk  belajar   agama   tetapi
   sebenarnya untuk belajar membuat bom dan menyamun bank,
   membunuh   dan   melakukan   keganasan   lain   sebagai
   persiapan untuk merampas kuasa di negara ini.  Kononnya
   mereka ingin mendirikan negara Islam di Malaysia.  Umum
   mengetahui bahawa Malaysia sudah pun negara Islam.  Ini
   diiktiraf  oleh dunia termasuk semua negara Islam  lain
   yang  juga  mendakwa  secara  terbuka  bahawa  Malaysia
   adalah  contoh  bagi  negara Islam  yang  mereka  ingin
   meniru.
   
   18.   Kepercayaan  bahawa yang dikehendaki  oleh  Islam
   hanyalah   aqidah  tanpa  kemajuan  di   dunia   adalah
   bertentangan dengan ajaran Islam.  Apakah sebabnya yang
   setiap  kali kita berdoa kepada Allah s.w.t kita  pohon
   kebahagiaan  di dunia dan juga kebahagiaan di  akhirat?
   Kita tidak minta kebahagiaan di akhirat sahaja.  Apakah
   bahagia  orang-orang Afghanistan yang begitu  disanjung
   tinggi  oleh  puak  ini,  yang hidup  merana  di  bawah
   pemerintahan Taliban, pemerintahan yang diruntuh dengan
   mudah oleh kuasa Barat dan meninggal sebuah negara yang
   menjadi pengemis dan terletak di bawah telunjuk  orang?
   Inikah  jenis  negara  Islam yang hendak  didirikan  di
   Malaysia?   Penduduk  Afghanistan tidak  hidup  bahagia
   sekarang   atau  dahulu.  Ramai yang terpaksa  lari  ke
   negara  lain.   Berapa  ramaikah rakyat  Malaysia  yang
   beragama  Islam  yang  terpaksa lari  dari  negara  ini
   kerana dihalang daripada mengamal ajaran Islam?
   
   19.  Mereka yang ingin mengguna keganasan untuk merebut
   kuasa  di Malaysia bukan berhajat untuk mendiri  negara
   Islam  tetapi sebenarnya mereka keliru dan tidak  faham
   akan  apa  dianya  negara Islam.  Bagi  mereka   negara
   Islam diukur daripada pakaian, terutama pakaian wanita,
   dan  pengasingan mereka untuk mengurangkan nafsu lelaki
   yang buas.  Bahawa agama Islam menyuruh lelaki berjihad
   membendung nafsu diri sendiri tidak dihiraukan.  Kerana
   tidak   hendak   digoda,  wanita  tidak   pun   dibenar
   bersekolah,  menuntut ilmu atau  bekerja.   Dengan  ini
   separuh daripada tenaga manusia Afghanistan diresapkan.
   Sesungguhnya ilmu dan pengetahuan agama yang  ada  pada
   Taliban   ini   cukup   cetek  dan   kemampuan   mereka
   mempertahankan diri apabila diserang musuh begitu lemah
   sehingga  dalam  jangka masa hanya  satu  bulan  mereka
   ditewas  oleh orang asing.  Yang mereka mampu  hanyalah
   melawan  dan merebut kuasa daripada orang yang sebangsa
   dan seagama dengan mereka.
   
   20.  Demikian jugalah dengan pelampau militan Malaysia.
   Musuh  mereka  yang  sebenar ialah  orang  Islam  lain.
   Tindakan yang mereka rancangkan ialah di Malaysia, yang
   mana  kesan buruknya akan dirasai oleh negara  sendiri.
   Yang menjadi mangsa mereka ialah orang Islam dan negara
   Islam  sendiri.  Sebabnya negara-negara Islam  semuanya
   lemah ialah kerana pertikaian dan rusuhan yang diadakan
   oleh  pelampau  yang bertopeng Islam  dalam  masyarakat
   Islam sendiri.
   
   21.   Di  Malaysia kita memberi kebebasan kepada rakyat
   untuk  memilih  pemimpin dan Kerajaan.   Kebebasan  ini
   bukan  olok-olok  kerana jika dikehendaki  oleh  rakyat
   mereka  boleh  memilih pembangkang juga  sebagai  wakil
   mereka,  bahkan  sebagai Kerajaan  mereka.   Tidak  ada
   sebab  kenapa pemilihan wakil dan Kerajaan secara bebas
   tidak boleh digunakan oleh sesiapa yang tidak puas hati
   dengan  pemerintahan yang ada.  Tidak ada  sebab  untuk
   sesiapa  merebut kuasa secara ganas.  Tidak  ada  sebab
   bagi   sesiapa  mencetuskan  huru-hara,  sesuatu   yang
   dilarang oleh agama Islam, untuk mengambilalih kuasa.
   
   22.   Keadaan di Afghanistan tidak sama dengan  keadaan
   di  Malaysia.  Negara kita adalah negara berbilang kaum
   dan  agama.   Negara  ini aman  di  mana  semua  rakyat
   mendapat banyak nikmat yang tidak dinikmati oleh rakyat
   Afghanistan.   Tidak  ada sesiapa  yang  ditindas  atau
   dihalang  daripada mengamalkan amalan  yang  sah  dalam
   agama  mereka.   Orang Islam di Malaysia  bukan  sahaja
   bebas  beribadat  tetapi dibantu  oleh  pihak  Kerajaan
   untuk beribadat.  Selamat dan amannya negara ini adalah
   nikmat  yang besar bagi kita semua beribadat.  Lihatlah
   keadaan   orang   Islam   di  negara   lain,   termasuk
   Afghanistan  di  zaman  Taliban dan selepasnya.   Orang
   Islam  terganggu dalam menunaikan ibadat  kerana  tidak
   ada  kestabilan, kerana terlalu miskin,  kerana  berada
   dalam  ketakutan diserang oleh orang-orang  yang  tidak
   menghormati  undang-undang  dan  adat  resam.    Inikah
   contoh yang baik sebagai negara Islam?
   
   23.    Jika   benarlah  pengganas  ini  ingin  berjuang
   mempertahankan Islam, terdapat banyak tempat yang orang
   Islam   ditindas,  dihina  dan  dibunuh  setiap   hari.
   Pergilah  ke  sana  dan  berjuanglah.   Perjuangan   di
   Malaysia   ialah   untuk   mengekalkan   keamanan   dan
   memperkayakan  negara dalam semua bidang  supaya  dapat
   kita  kukuhkan  ketahanan kita dan menggerunkan  musuh-
   musuh  kita  seperti yang dituntut  oleh  agama  Islam.
   Hari  ini  pun kita adalah lebih berdayatahan  daripada
   kebanyakan  negara  Islam  lain,  dan  percubaan  untuk
   melemahkan  kita  dan meletakkan kita di  bawah  kuasa-
   kuasa  antarabangsa  dapat kita tangkis  dan  gagalkan.
   Sesungguhnya  mereka  yang cuba  mencetuskan  huru-hara
   melalui  keganasan  mengkhianati  negara  kita  sendiri
   bahkan mengkhianati Islam yang menyuruh kita selamatkan
   umat Islam.  Demikianlah ketahanan negara kita sehingga
   dapat  juga  sedikit sebanyak kita memberi perlindungan
   kepada  negara-negara Islam dan orang Islam  lain,  dan
   negara-negara membangun yang tertindas sekarang.
   
   24.    Kepada   puak  yang  berhasrat  untuk   mengguna
   keganasan, samada dalam tahanan atau di luar, saya seru
   supaya  insaf akan segala nikmat yang kita perolehi  di
   negara ini, segala kekayaan dan kekuatan yang ada  pada
   kita  yang juga dapat ditumpang oleh orang Islam  lain.
   Saya   seru   supaya   mereka  insaf   dan   bertaubat.
   Kembalilah  ke pangkal jalan.  Kembalilah  ke  pangkuan
   masyarakat.     Sama-samalah   kita   berusaha    untuk
   memperkaya   dan   memajukan  negara   kita   Malaysia,
   meningkat   ketahanannya supaya kita  tidak  lagi  akan
   dijajah oleh kuasa-kuasa asing.
   
   25.   Kita  tahu bahawa kita sedang menghadapi  cabaran
   yang   amat   besar.    Kita  tahu  globalisasi   boleh
   menjadikan  kita dijajah sekali lagi.   Cabaran  sekali
   ini  lebih  halus  dan lebih tajam.   Jika  kita  asyik
   dengan  bermusuhan sesama kita, kemungkinan besar  kita
   akan  menjadi begitu lemah sehingga mudah dikuasai oleh
   penjajah kita yang dahulu.  Jangan ingat mereka  senang
   hati   dengan  kebebasan  kita.   Jangan  ingat  sekali
   merdeka selama-lamanya merdeka.
   
   26.   Kita  dapat  lihat sendiri beberapa  negara  yang
   begitu   berbangga  dengan  kemerdekaan  mereka  tetapi
   terpaksa  mengikut  telunjuk kuasa  asing  atau  proksi
   mereka.   Kita  tidak  akan  lihat  penempatan  tentera
   secara  fizikal  tetapi negara yang  terpaksa  mengikut
   telunjuk kuasa asing tidak merdeka sebenarnya.
   
   27.   Alhamdulillah  sehingga kini  kita  masih  bebas.
   Tetapi jika kerana huru-hara disebabkan keganasan dalam
   usaha  merebut  kuasa,  negara menjadi  lemah,  ekonomi
   runtuh,  dan  stabiliti politik terjejas,  lambat  laun
   negara  akan dikuasai oleh orang asing juga.  Semangat,
   keberanian dan kesanggupan untuk menggadai nyawa dengan
   sendirinya,  tanpa  kekuatan  ekonomi  dan   kestabilan
   politik tidak akan menjamin ketahanan negara.
   
   28.    Bersyukurlah  dengan  keamanan,  kestabilan  dan
   kebebasan  negara  ini.  Janganlah terbawa-bawa  dengan
   kononnya perjuangan untuk Islam yang dibawa oleh  orang
   yang  begitu  kecewa  dengan keadaan  buruk  di  negara
   mereka.   Allah  s.w.t. menyuruh kita  bersabar.   Jika
   kita insaf dan kita hargai nikmat yang banyak yang kita
   dapati  di  negara bertuah ini, janganlah kita  membuat
   sesuatu  yang  kita  akan menyesal kemudian.   Bukanlah
   mudah  untuk  kita majukan negara ini.  Bukanlah  mudah
   bagi  mengekalkan keIslaman negara berbilang agama ini.
   Penerimaan  oleh  bukan  Islam  akan  kedudukan   Islam
   sebagai  agama  rasmi negara adalah satu kejayaan  yang
   besar bagi umat Islam di Malaysia.   Di zaman penjajah,
   Islam   tidak  diisytihar  sebagai  agama   rasmi   dan
   pelajaran  agama  Islam  tidak dijadikan  tanggungjawab
   Kerajaan.  Di zaman penjajah orang Islam telah  menjadi
   minoriti  di  negara sendiri.  Tidak ada pejuang  Islam
   militan di masa itu yang sanggup melawan penjajah untuk
   membebaskan  negara  dan  menjadikannya  negara  Islam.
   Tetapi apabila ternampak kemerdekaan akan dicapai  maka
   barulah muncul pejuang negara Islam kononnya yang hanya
   berani bermusuhan dengan orang Islam lain.
   
   29.  Cubalah hargai kejayaan pejuang-pejuang kebangsaan
   dan  agama yang berjaya membebaskan negara ini daripada
   cengkaman   penjajah.   Janganlah  begitu  angkuh   dan
   sombong  sehingga  menidakkan jasa pejuang-pejuang  ini
   dan  menganggap  diri sendiri sebagai pejuang  kononnya
   tetapi hanya berani berjuang melawan orang sebangsa dan
   seagama.
   
   30.    Kerana  kegiatan  puak  pelampau  ini   Malaysia
   sekarang  dituduh  sebagai pusat  pengganas.   Ini  pun
   sudah  membawa  kesan buruk kepada  negara  ini.   Jika
   pengganas  ini  tidak dibendung maka nasib  negara  ini
   akan  menjadi  sama malang seperti nasib  negara-negara
   tertentu  yang  ditekan dan ditindas  dengan  sewenang-
   wenangnya.
   
   31.    Melawan  pengganas  bukanlah  seperti  menangani
   jenayah biasa.  Kita tidak boleh tunggu sehingga mereka
   meletupkan   bom  dan  membunuh  ramai  orang   sebelum
   bertindak.    Kita   perlu  cegah  keganasan   daripada
   berlaku.  Amatlah tidak bertanggungjawab jika kita tahu
   siapa  dianya pengganas dan kebolehan serta kemungkinan
   mereka  mengganas  tetapi kita tunggu  sehingga  mereka
   lakukan  jenayah  mereka.   Sebab itu  sekarang  negara
   yang  begitu  demokratik pun telah menahan  orang  yang
   disyaki  sebagai  pengganas  tanpa  peruntukan  undang-
   undang.
   
   32.   Di Malaysia kita mempunyai undang-undang pencegah
   seperti  Akta  Keselamatan Dalam Negeri untuk  mencegah
   keganasan daripada berlaku.  Sebenarnya keganasan  yang
   mengancam   kita  sekarang  lebih  merbahaya   daripada
   serangan  komunis.  Pengganas sekarang mampu  melakukan
   serangan  yang  lebih dahsyat yang tidak  mengambilkira
   siapa  yang  terbunuh  secara  sampingan  atau  sebagai
   sasar.
   
   33.   Tuduhan  orang  asing dan kepercayaan  sesetengah
   orang  di Malaysia bahawa Kerajaan mengambil kesempatan
   untuk  bertindak  terhadap  parti  lawan  adalah  tidak
   munasabah.    Yang  mampu  mengancam  kedudukan   Parti
   Kerajaan  ialah  kepimpinan tinggi parti  lawan.   Yang
   dimasukkan  dalam tahanan adalah orang yang  tidak  pun
   dikenali dahulu sebagai orang yang penting dalam  parti
   lawan.
   
   34.   Memang  mereka  ada kaitan  dengan  parti  lawan.
   Tetapi  parti lawan tertakluk kepada undang-undang  dan
   tidak ada keistimewaan bagi mereka.  Kita biasa kenakan
   undang-undang  yang sama kepada anggota Parti  Kerajaan
   pun.    Tidak  ada  tujuan  politik  yang  mempengaruhi
   tindakan terhadap mereka yang ditahan di bawah ISA atau
   undang-undang biasa.  Yang diutamakan ialah bukti  yang
   menyakinkan   pasukan   keselamatan   akan    rancangan
   pengganas untuk melancarkan serangan ganas.
   
   35.   Rakyat  dan  siapa  sahaja yang  terlibat  dengan
   penguatkuasaan  undang-undang perlu faham  akan  betapa
   seriusnya ancaman keganasan.  Jika ia tidak berlaku  di
   Malaysia  sebabnya ialah kerana kita  bertindak  pantas
   untuk  mencegahnya.  Janganlah sesiapa kerana  mensyaki
   Kerajaan  atau  bersimpati  dengan  orang  yang   konon
   dianiaya   kerana   politik  cuba  menggagalkan   usaha
   Kerajaan  menyelamatkan negara ini.  Semua pihak  tanpa
   kecuali  mesti menghormati undang-undang  yang  sah  di
   negara  ini.  Jika kita tidak puas hati dengan  undang-
   undang  ini  ada  cara yang sah untuk  menggugurkannya.
   Tetapi selagi ia berkuatkuasa semua pihak tanpa kecuali
   mesti  menghormati dan menjunjung tinggi undang-undang.
   Kita  mengamalkan pemerintahan berasaskan undang-undang
   dan  kita aman dan bebas daripada keganasan kerana kita
   amalkan cara ini.  Janganlah sesiapa mengecualikan diri
   daripada  undang-undang yang sah yang  berkuatkuasa  di
   negara ini.
   
   36.   Dalam  suasana yang muram di seluruh dunia,  yang
   menyebabkan ekonomi dunia tidak berkembang  maju,  saya
   gembira  kerana dapat melaporkan bahawa ekonomi  negara
   masih  dapat  tumbuh  pada kadar yang  baik  iaitu  5.6
   peratus dalam suku ketiga tahun ini.
   
   37.   Pertumbuhan  ini  berlaku kerana  Kerajaan  telah
   berusaha  bersungguh-sungguh  untuk  memajukan  negara.
   Hampir   semua  sektor  ekonomi  mencatat  pertumbuhan.
   Walau  pun  ada  usaha  pihak asing  untuk  menimbulkan
   kecurigaan  terhadap  kestabilan Malaysia,  kita  dapat
   menangkis  percubaan ini.  Insyallah  kita  akan  dapat
   kawal  kestabilan  negara kita supaya  rakyat  Malaysia
   dapat hidup bahagia dan makmur.
   
   38.  Potensi untuk pemulihan ekonomi negara masih baik.
   Tetapi  bukanlah  Kerajaan sahaja yang perlu  berusaha,
   semua  pihak perlu tentukan tidak akan berlaku  apa-apa
   yang  boleh  menjejaskan potensi kemajuan negara  kita.
   Janganlah  kerana  hendak tunjuk  kebebasan  demokrasi,
   kita  sengaja  membuat sesuatu yang  boleh  menjejaskan
   keadaan yang baik yang kita nikmati sekarang.
   
   39.  Malaysia sudah dilihat sebagai negara Islam contoh
   oleh  dunia  luar.  Marilah kita buktikan  bahawa  kita
   boleh  berjaya lebih lagi. Marilah kita umat  Islam  di
   Malaysia  tanpa  mengira apa fahaman  politik,  marilah
   kita bersatu dan kembali kepada ajaran Islam yang asas,
   ajaran Islam yang sebenar.  Bersama dengan rakyat bukan
   Islam,  usahalah mengekal keamanan dan memajukan negara
   bertuah ini.
   
   40.  Hari Raya Aidilfitri adalah peluang baik bagi umat
   Islam menunjuk persaudaraan Islam. Marilah kita bermaaf-
   maafan dan berkunjung ke rumah saudara-mara serta rakan-
   rakan  kita samada yang rapat ataupun tidak.  Janganlah
   kita  lupa menjemput rakan-rakan kita yang bukan  Islam
   kerana  ini  akan merapatkan lagi hubungan antara  kita
   dan menjaga keharmonian sesama kita. Buktikanlah kepada
   dunia luar bahawa Islam bukanlah agama yang ganas,  dan
   umat   Islam   bukanlah  pengganas  yang   digambarkan.
   Tunjukkanlah  bagaimana kita umat  Islam  di  Malaysia,
   walaupun terdiri daripada kaum majoriti, boleh  berlaku
   adil  terhadap  masyarakat bukan  Islam.  Marilah  kita
   buktikan  apakah  dianya agama Islam yang  sebenar  dan
   apakah dianya peribadi seorang Muslim yang sebenar.
   
   41.    Di  hari  yang  menggembirakan  ini,  saya  juga
   mengambil  kesempatan  untuk mengucapkan  Selamat  Hari
   Raya  kepada  seluruh anggota pasukan keselamatan  yang
   tanpa sikap profesional dan dedikasi mereka menjalankan
   tugas, sudah tentu kita tidak dapat merayakan hari  ini
   dengan   suasana  aman  damai.  Saya  juga  mengucapkan
   Selamat Hari Raya kepada semua kakitangan Kerajaan  dan
   rakyat Malaysia, di mana juga mereka berada.
   
   42.   Kepada pengguna-pengguna jalanraya yang di  dalam
   perjalanan  pulang ke kampung, pandulah dengan  cermat.
   Utamakanlah keselamatan diri dan keluarga. Adalah lebih
   baik  kita  sampai  lambat sedikit ke destinasi  dengan
   selamat daripada ditimpa kemalangan.
   
   43.   Sekali  lagi,  saya sebagai Perdana  Menteri  dan
   sebagai seorang Muslim, serta bagi pihak keluarga, saya
   memohon maaf zahir dan batin dan mengucapkan Hari  Raya
   Aidilfitri, kepada semua umat Islam di Malaysia.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google