Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA Tarikh/Date : 31/12/2002 Tajuk/Title : PERUTUSAN TAHUN BARU 2003 Versi : Penyampai : PM Esok kita akan melangkah ke tahun baru, tahun 2003. Satu haribulan Januari tidak berbeza dari hari- hari lain, dan tahun 2003 sama sahaja dengan tahun- tahun lain. Tetapi kita boleh jadikan satu Januari 2003 sebagai titik permulaan bagi kita mengubah sesuatu dan sudah tentu kita ingin memulakan dan mengubah daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik. Oleh itu eloklah jika kita perhitungkan nasib dan keadaan kita sebelum Januari 2003, supaya dapat kita tentukan apa yang perlu dibaiki. 2. Kita bersyukur kerana keazaman negara untuk mengekalkan keamanan dan memulihkan ekonomi sedikit sebanyak telah tercapai pada tahun 2002. Pencapaian ini mungkin hasil daripada resolusi kita bagi tahun 2002. Tetapi tentulah ia tidak setakat membuat resolusi, menentu keazaman sahaja. Yang penting ialah usaha kita menunai dan menjayakan resolusi yang telah kita buat. 3. Sebenarnya, kita dan negara kita sungguh bertuah. Dalam keadaan dunia yang tidak menentu dan dilanda dengan pelbagai masalah dan krisis, Malaysia terus aman dan membangun dengan pesat dan rakyat pula dapat mengecapi pelbagai nikmat tanpa gangguan. Malah bahaya keganasan yang didakwa oleh pihak tertentu kononnya mengancam negara kita, dapat kita kawal dan bendung sehingga negara terselamat daripada kejadian-kejadian yang tidak diingini yang diramal oleh mereka. 4. Pada tahun 2002 letupan bom yang dahsyat telah berlaku di Bali dan di Kenya yang secara umumnya telah diduga oleh kita. Sebabnya ialah kerana tidak ada percubaan yang bersungguh-sungguh yang dibuat untuk menangani sebab-sebab keganasan berlaku. Tumpuan diberi semata-mata kepada peningkatan benteng keselamatan dan ketahanan, dengan menggunakan teknologi terkini. Tetapi keganasan tidak mungkin dikawal hanya dengan cara ini. Dunia ini luas dan manusia tidak boleh sembunyi di rumah sendiri atau di negara sendiri selama-lamanya. Manusia terpaksa keluar dari rumah dan dari negara sendiri dan perlindungan seratus peratus tidak boleh diberi kepada semua mereka di seluruh dunia. 5. Sebab itu kita berpendapat selagi ada pengganas tidak ada tempat di mana manusia seratus peratus selamat. Dan secara ikhlas kita berkata kita di Malaysia juga tidak boleh diselamatkan seratus peratus. 6. Malangnya media asing memilih keikhlasan kita untuk mendakwa bahawa Perdana Menteri Malaysia sendiri mengaku Malaysia tidak selamat dan menasihat pelawat asing supaya tidak melawat Malaysia. Dengan itu mereka pergi ke tempat lain, ke Kenya umpamanya. Dan di situ mereka diserang pengganas. Lain kali di tempat lain. Bahkan berdiam di negara sendiri pun tidak selamat. Hanya seorang dengan sepucuk senapang boleh membunuh ramai orang sehingga sebuah bandaraya hidup dalam ketakutan. Malangnya pendapat negara kerdil ini tidak dihiraukan. Dan keganasan akan terus berlaku dan umat manusia akan hidup dalam ketakutan. 7. Pengganas sebenarnya lebih berjaya daripada harapan mereka. Seluruh dunia sekarang hidup dalam ketakutan dan ekonomi dunia merosot dengan teruk. Syak wasangka dan hubungan tegang antara negara-negara telah meningkat. Pendek kata serangan 11 September bukan sahaja berkesan terhadap negara sasar tetapi terhadap dunia. 11 September membawa perubahan pemikiran dan lagak manusia yang tidak boleh dipulih semula seperti sebelumnya. 8. Kita di Malaysia tidak boleh menggoncang dunia. Kita tidak mampu memperbetulkan dunia. Tetapi kita mampu menentukan keadaan di negara kita sendiri. Kita boleh secara relatif menentukan keselamatan kita, kemajuan kita dan kesejahteraan hidup kita. Mungkin tidak sebaik yang boleh dicapai jika dunia aman dan maju, tetapi sedikit sebanyak dapat juga kita tentukan nasib kita lebih baik daripada yang diramalkan oleh orang yang membenci kita. 9. Kita akan pertahankan negara tercinta ini daripada pencabulan oleh kuasa asing. Sudah ada negara yang bongkak yang mendakwa mereka berhak untuk mengambil tindakan "pre-emptive" dan "forward defence" yang melibatkan negara kita. 10. Kita berjanji jika ada sesiapa mencabul kebebasan negara kita dengan tindakan "pre-emptive" atau "forward defence" mereka akan dapat apa yang disebut oleh Mat Saleh sebagai "a bloody nose". Kita tidak berjuang untuk membebaskan negara kita Malaysia supaya mereka boleh membuat apa sahaja yang mereka suka di negara ini. 11. Ingatlah ketidakadilan dan kebongkakan seperti inilah yang menyebabkan bangsa yang lemah dan kecewa memilih keganasan sebagai cara bertindak balas. Mereka tidak ada pilihan lain. 12. Jika kita ingin mengelak dari keadaan di negara kita turut menjadi sama buruk seperti negara lain maka hendaklah kita tentukan negara kita terus aman dan tenteram. Pihak-pihak di Malaysia yang ingin mengganas harus berfikir. Negara ini bukan seperti negara-negara tertentu yang memiliki Kerajaan yang gagal, yang tidak dapat membangunkan negara, mengatasi kemiskinan, dan menggunakan kekerasan untuk mengekalkan kuasa mereka. Di Malaysia rakyat boleh menukar Kerajaan hanya dengan mengundi. Oleh itu apa perlunya keganasan untuk merebut kuasa. Rebutan kuasa secara ini bermakna niat untuk mendirikan Kerajaan kuku besi yang membelakangkan hak rakyat. Kerajaan hasil rebutan kuasa secara haram tetap zalim. Kerajaan yang zalim tetap akan mencetuskan huru-hara, kemerosotan ekonomi dan kelemahan negara. Akhirnya kebebasan akan lenyap dan negara akan dikuasai orang. 13. Kononnya mereka ingin mendirikan negara Islam. Ini hanyalah helah sahaja untuk memperdayakan rakyat, untuk meraih sokongan dan simpati rakyat sebelum berkuasa. 14. Kita sudah diakui dan diiktiraf sebagai negara Islam. Majoriti orang Islam di Malaysia berpuas hati dengan keIslaman negara ini. Ramai orang Islam di negara Islam lain menganggap Malaysia sebagai contoh bagi negara Islam. Oleh itu apa perlunya mengganas untuk menjatuhkan Kerajaan yang halal dan sah ini. 15. Puak-puak pelampau lain yang tidak sensitif terhadap puak dan kaum lain di negara ini juga harus menghentikan tuntutan keterlaluan mereka yang hanya akan menggugat kestabilan negara. Ingatlah keterlaluan akan mengundang keterlaluan. Konfrantasi antara yang keterlaluan tidak akan menghasilkan keamanan dan kemajuan. 16. Jika kita dapat kekalkan keamanan dalam negara maka dapatlah kita tumpukan kepada pembangunan negara untuk kesejahteraan rakyat. Untuk ini rakyat perlu berusaha untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Majikan dan pekerja harus bekerjasama dan mengelak daripada berkonfrantasi. Ujian kekuatan seperti yang diamalkan oleh negara barat hanya akan merosakkan ekonomi negara kita. Akhirnya yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Beberapa negara Barat yang dahulu begitu maju telah menjadi tidak kompetitif kerana konfrantasi antara majikan dan pekerja. 17. Berhadapan dengan saingan dari negara Timur, Barat mencipta cara-cara lain untuk menghalang pembangunan dengan dakwaan kononnya mereka ingin melihat hak asasi manusia dan demokrasi dihormati. Yang anehnya ialah jika negara yang tidak demokratik dan tidak menghormati hak asasi manusia tidak maju dan tidak bersaing dengan mereka, pencabulan hak asasi manusia yang dahsyat pun tidak dihiraukan. Yang menjadi sasaran mereka ialah negara yang berjaya bersaing dengan mereka. 18. Janganlah kita terpedaya dengan keprihatinan mereka terhadap nasib kita dan pekerja kita. Ini adalah sandiwara yang melindungi matlamat mereka yang sebenar, iaitu meraih semua kekayaan untuk mereka dan menghalang kemajuan kita. Kalaupun Kerajaan mereka tidak berniat demikian, ramai daripada yang tamak daripada pemodal mereka berhasrat menguasai semua kekayaan di dunia. Ingatlah sejarah East India Company. Daripada perniagaan, mereka telah menakluk dan menjajah untuk menentukan perniagaan mereka tidak diganggu. Sifat yang sama tetap ada di kalangan pemodal gergasi mereka. 19. Kita harus tingkatkan taraf hidup rakyat dan pekerja kita. Tetapi kita juga harus ingat kita belum lagi maju dan kita tidak boleh cuba hidup sebagai bangsa yang sudah maju. Kita perlu memperkayakan negara kita dahulu sebelum kita menuntut taraf hidup yang lebih tinggi. Ingatlah pendapatan per kapita negara maju adalah lebih daripada 20,000 Dolar Amerika, sedangkan kita belum sampai 4000 Dolar Amerika. Jika kita hendak juga kemudahan dan khidmat yang lebih, maka kita hendaklah sanggup berusaha memperkayakan negara dan membayar lebih untuk khidmat yang diterima. 20. Sebenarnya bayaran untuk khidmat dan kemudahan awam di Malaysia amatlah rendah. Kita bayar kurang daripada sepuluh Ringgit Malaysia sekali sahaja untuk menggunakan Jambatan Pulau Pinang pergi dan balik. Di Jepun bayaran untuk satu hala sahaja ialah 250 Ringgit Malaysia untuk jambatan yang lebih pendek. 21. Kita dapati ramai daripada rakyat kita yang menuntut kemudahan kelas satu tetapi sanggup membayar harga kelas tiga. Mereka begitu prihatin terhadap pencemaran umpamanya sehingga tahap pencemaran yang diterima oleh negara maju tidak juga diterima oleh mereka. 22. Sikap ini tidak sihat. Kita hanya mampu mengadakan kemudahan setakat yang mampu diadakan oleh negara yang masih membangun. Untuk ini kita perlu bayar bayaran yang setimpal. Jika kita tidak sanggup membayarnya maka kita tidak boleh tuntut untuk mendapat lebih daripada yang mampu kita bayar. Kita tidak boleh berlagak seperti orang kaya negara maju sedangkan kita belum maju seperti negara maju. Janganlah mengancam untuk mencetuskan huru-hara jika tuntutan tidak dilayan. Keburukan yang disebabkan oleh huru-hara akan menaikkan lagi kos sehingga yang kita mampu pun boleh menjadi tidak mampu. 23. Sudah tentu mereka akan berkata kalau belum maju kenapa membina menara tertinggi di dunia, kenapa bangunkan Putrajaya dan lain-lain. Rakyat tidak dikenakan tol atau cukai dinaikkan disebabkan projek- projek ini. Sebaliknya kita mengurangkan cukai dan menambahkan elaun yang tidak dikenakan cukai. Di masa yang sama banyak kemudahan percuma yang disediakan untuk rakyat, termasuk di kawasan luar bandar. Tidak ada negara membangun di dunia yang dibekalkan dengan kemudahan awam seperti yang terdapat di Malaysia. Tetapi semuanya adalah mengikut kemampuan kita. 24. Kerajaan ini tidak membazir. Sebaliknya Kerajaan membelanjakan wang rakyat dengan bijak untuk kepentingan rakyat. Kerajaan tidak berlagak seperti Kerajaan negara maju apabila membangunkan negara. Tidak ada tugu-tugu peringatan untuk pembesar negara yang didirikan oleh Kerajaan. 25. Inilah cara kita di Malaysia. Sebab itu keadaan kewangan kita masih sihat dan ekonomi kita berada dalam keadaan yang baik. Selagi kita semua, Kerajaan dan rakyat tidak tuntut lebih daripada yang kita mampu, selagi kita sanggup membayar cukai, yuran dan tol yang setimpal dan berpatutan, selama itulah negara kita akan terus selamat dan penjajahan oleh kuasa asing tidak akan berlaku. 26. Selain daripada itu, terdapat juga segelintir daripada rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan cara berfikir kebaratan sehingga tidak yakin akan kemampuan kita menangani masalah kita. Mereka ini akan terus berkata walaupun kita berjaya tetapi adalah lebih baik jika kita turut cara ortodoks yang disarankan oleh pakar-pakar dunia. Jika tidak, kata mereka, nescaya negara kita akan runtuh. 27. Banyak sudah yang kita lakukan yang pihak asing meramal tidak mungkin berjaya. Projek kereta nasional, jambatan Pulau Pinang, lebuh raya Utara - Selatan, Lapangan Terbang Senai, "capital control" (kawalan modal) dan penetapan tukaran Ringgit Malaysia, pembangunan Langkawi, Labuan sebagai pusat kewangan luar pesisir pantai dan bermacam lagi yang semuanya diramal sebagai tidak berdaya maju. Peralihan dari negara pertanian kepada negara industri juga dikatakan tidak mungkin berjaya. Tetapi hakikatnya ialah kita berjaya menjayakan hampir semua daripada perancangan dan pendekatan kita. 28. Justeru itu rakyat Malaysia perlu yakin akan kebolehan diri sendiri dan perancangan serta pendekatan Kerajaan dalam menangani masalah dan memajukan negara. Jika kita percaya kita boleh menyelamatkan negara kita daripada bencana yang melanda dunia sekarang, besar kemungkinan kita akan berjaya. Namun kita perlu pupuk budaya kerja dan etika yang sesuai dengan kejayaan. Di waktu kita mencapai kemerdekaan tidak terfikir kita akan maju ke tahap ini. Demikian juga apa yang kita kurang yakin akan dicapai oleh kita hari ini akan kita capai di masa hadapan jika kita berusaha bersungguh- sungguh, jika kita pelihara kestabilan dan keamanan negara kita. 29. Jika tidak ada malapetaka yang besar, seperti peperangan di Iraq umpamanya, ekonomi dunia akan pulih sedikit dan ekonomi negara mampu mencapai pertumbuhan yang lebih baik dari tahun 2002. Tetapi segala-galanya bergantung kepada kita, iaitu Kerajaan dan rakyat Malaysia. Jika kita bijak, kita kekalkan keamanan, urus kewangan kita dengan baik dan bekerja kuat, Insyaallah kita akan dapat bangunkan negara kita secara berterusan untuk kebahagiaan dan kesejahteraan kita. Oleh itu marilah kita berusaha bersungguh-sungguh pada tahun 2003 dan seterusnya supaya kita dapat kukuhkan ketahanan negara kita untuk hidup sebagai bangsa yang bebas dan bermaruah. 30. Malaysia adalah negara kita bersama. Di sinilah kita dilahir, di sinilah kita membesar, di sinilah kita mencari nafkah dan di sinilah akan kita hembus nafas terakhir. Baik negara ini adalah kerana kita. Buruk negara ini adalah kerana kita juga. Kita boleh pilih. Bijak-bijaklah memilih kerana yang dipertaruhkan ialah hidup mati kita. 31. Pada permulaan tahun 2003 ini ingin saya bagi pihak diri sendiri dan pihak Kerajaan mengucapkan Selamat Tahun Baru. Saya berdoa kita semua akan memperolehi kebahagiaan pada tahun 2003 ini. Sumber : Pejabat Perdana Menteri