home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	DEWAN RAKYAT
Tarikh/Date	:	24/03/2003
Tajuk/Title 	:	PEMBENTANGAN USUL MEMBANTAH 
			TINDAKAN KETENTERAAN SECARA 
			UNILATERAL OLEH AMERIKA SYARIKAT 	
			DAN SEKUTUNYA KE ATAS REPUBLIK IRAQ
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 
	    

  Mengikut  peraturan  Mesyuarat 27(3) Dewan  Rakyat,  saya
   mohon mencadangkan satu usul seperti berikut:
   
   BAHAWA,  Amerika Syarikat dan sekutunya telah melancarkan
   serangan  ketenteraan secara unilateral ke atas  Republik
   Iraq  tanpa  sokongan  dan kebenaran  Majlis  Keselamatan
   Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu;
   
   BAHAWA,  tindakan  ketenteraan  secara  unilateral   oleh
   Amerika  Syarikat dan sekutunya melanggar prinsip undang-
   undang  antarabangsa dan Piagam Pertubuhan  Bangsa-Bangsa
   Bersatu;
   
   BAHAWA, tindakan ketenteraan secara unilateral ini  tidak
   mempunyai  sebab-sebab yang rasional yang boleh  diterima
   sama sekali;
   
   BAHAWA,  tindakan ketenteraan secara unilateral ini  yang
   merupakan  tindakan  pre-emptif,  tidak  dibenarkan  oleh
   Piagam   Pertubuhan  Bangsa-Bangsa  Bersatu  dan  undang-
   undang antarabangsa;
   
   BAHAWA,  tindakan ketenteraan secara unilateral ini  yang
   bertujuan  menukar  Kerajaan Iraq merupakan  pencerobohan
   ke atas sebuah negara yang bebas dan berdaulat;
   
   
   DENGAN   ini   Dewan  ini  mengambil  ketetapan   seperti
   berikut:
   
   (1)    Mengecam  sekeras-kerasnya  tindakan   ketenteraan
   secara  unilateral oleh  Amerika Syarikat  dan  sekutunya
   ke atas Iraq;
   
   (2)   Menggesa Amerika Syarikat dan sekutunya  menamatkan
   tindakan  ketenteraan  secara  unilateral  ke  atas  Iraq
   dengan serta merta;
   
   (3)   Menggesa semua pihak yang berkenaan supaya berusaha
   sedaya   upaya   untuk  segera  kembali   kepada   proses
   penyelesaian  secara aman dalam memastikan Republik  Iraq
   mematuhi  resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan
   Bangsa-Bangsa  Bersatu  yang  berkaitan;  jika   didapati
   benar Iraq memiliki senjata pemusnah;
   
   (4)   Mendesak  supaya  Amerika  Syarikat  dan  sekutunya
   menghormati  hak asasi manusia rakyat Iraq  dan  prinsip-
   prinsip     undang-undang    kemanusiaan    antarabangsa,
   khususnya  "Geneva Convention relative to the  Protection
   of Civilian Persons in  Time of War";
   
   (5)    Memutuskan  Malaysia  bekerjasama  dengan  negara-
   negara  anggota  Pergerakan Negara-Negara Berkecuali  dan
   negara-negara  yang  sependapat untuk mendukung  prinsip-
   prinsip  undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan
   Bangsa-Bangsa  Bersatu   dalam  menangani  isu  berkaitan
   hubungan antara negara;
   
   (6)    Merayu   kepada  masyarakat  antarabangsa   supaya
   menghulurkan  bantuan  kecemasan kepada  rakyat  Republik
   Iraq dengan segera;
   
   (7)     Supaya   dewan   ini   juga   membuat   ketetapan
   menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan  Perundangan
   dan  Parlimen  yang berkenaan, khasnya Amerika  Syarikat,
   Britain, Sepanyol dan Australia.
   
   
   
   Saya  ingin  mengucapkan ribuan terima kasih kepada  Tuan
   Yang  di  Pertua kerana membenarkan Dewan yang mulia  ini
   membahaskan  isu serangan Amerika Syarikat dan  sekutunya
   ke atas Iraq.
   
   2.    Pada hari ini dunia berhadapan dengan keadaan  yang
   amat  cemas  dan  merbahaya  berikutan  tindakan  Amerika
   Syarikat  serta  sekutunya  menyerang  Iraq  tanpa   izin
   Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu.   Ini  merupakan  satu
   detik  hitam  dalam  sejarah dunia di mana  sebuah  kuasa
   besar   bersama  sekutunya,  tanpa  menghiraukan  undang-
   undang  antarabangsa,  kemanusiaan  dan  keadilan   telah
   menyerang  sebuah  negara  yang tidak  lagi  berkeupayaan
   untuk  mempertahankan diri sendiri, apatah lagi mengancam
   negara  kuasa terbesar.  Dakwaan kononnya Iraq  merbahaya
   dan  mengancam  seluruh  dunia  dengan  senjata  pemusnah
   tidak  masuk  akal sama sekali, dan tidak boleh  diterima
   sebagai sebab serangan di lancar.
   
   3.    Lebih  menyedihkan lagi ialah tindakan  ketenteraan
   dengan  menggunakan senjata paling canggih dan pengeboman
   secara  besar-besaran ke atas Iraq yang telah pun dipaksa
   terlebih  dahulu  memusnahkan senjata  pertahanan  mereka
   atas  arahan  Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
   Bersatu  amatlah  tidak  adil.  Rakyat  Iraq  yang  telah
   menderita   selama  12  tahun  kerana  sekatan  dagangan,
   sehingga  1.5  juta  orang telah mati  kerana  kekurangan
   makanan  dan  ubat-ubatan, sekarang ini  di  hadapi  pula
   dengan  serangan  bom  dan  roket.   Mereka  tidak  dapat
   mempertahankan  diri  mereka daripada  serangan  ini  dan
   tidak  ada  apa-apa  cara bagi mereka menyelamatkan  diri
   mereka.   Tempat berlindung dari bom atau "bomb shelter",
   dengan  izin,  pun tidak selamat kerana bom  yang  diguna
   boleh  menembusi konkrit dan tanah.  Ini sebenarnya bukan
   peperangan   kerana  yang  menyerang  ialah  kuasa   yang
   terbesar  di  dunia dan yang diserang ialah  negara  yang
   tidak  lagi  mempunyai keupayaan pertahanan.   Kemenangan
   sudah  tentu  akan  diperolehi  oleh  kuasa  besar  dalam
   jangka  masa  yang  pendek.  Tetapi samada  masa  panjang
   atau  pendek, yang tetap berlaku ialah ramai rakyat  Iraq
   akan terbunuh dan cedera.
   
   4.    Selepas Perang Dunia Kedua, negara-negara di  dunia
   telah   bersetuju  untuk  menubuhkan  Pertubuhan  Bangsa-
   Bangsa   Bersatu   untuk  menyelamatkan  dunia   daripada
   peperangan.  Dunia memberi kepercayaan kepada lima  kuasa
   besar  dengan  memberi  kuasa veto  kepada  mereka.   Ini
   adalah  bertentangan  dengan prinsip  demokrasi.   Tetapi
   dunia  rela  memberinya kerana mempercayai bahawa  mereka
   boleh  menyekat  mana-mana satu daripada mereka  daripada
   bertindak   ganas   dengan  mengguna  kuasa   veto   ini.
   Lagipun  dunia  percaya kuasa-kuasa besar  ini,  terutama
   yang  bukan  Komunis adalah negara yang berpegang  kepada
   prinsip dan tidak akan mungkir janji.
   
   5.    Amat malang sekali kerana yang mungkir janji  ialah
   negara   yang   sering  mendesak  supaya  prinsip   mesti
   dijunjung  walau  apa  pun terjadi.   Majlis  Keselamatan
   Bangsa-Bangsa  Bersatu dan Bangsa-Bangsa Bersatu  sendiri
   diketepikan   oleh  kuasa  besar  Amerika  Syarikat   dan
   tindakan  yang  bertentangan dengan Piagam  Bangsa-Bangsa
   Bersatu  dan  segala undang-undang antarabangsa  dicampak
   keluar  tingkap oleh negara ini.  Tindakan unilateral  di
   ambil   dengan  tidak  segan-segan  dan  malu.   Harapkan
   pagar, pagar yang makan padi.
   
   6.    Ini  adalah kali kedua Amerika Syarikat memusnahkan
   badan  antarabangsa yang dipelopori oleh  mereka  sendiri
   untuk  mengharamkan  perang.  "The  League  of  Nations",
   yang  di  tubuh  selepas  Perang Dunia  Pertama  juga  di
   musnah oleh Amerika Syarikat.
   
   7.    Sekarang negara-negara lain terutama yang kecil dan
   lemah   tidak  lagi  selamat.   Pertubuhan  Bangsa-Bangsa
   Bersatu  tidak  lagi  dapat  melindungi  mereka  daripada
   keganasan  kuasa-kuasa besar.  Bangsa-Bangsa Bersatu  dan
   undang-undang  antarabangsa sudah  tidak  bermakna  lagi.
   Kita  sudah  kembali  ke zaman batu  yang  mana  kekuatan
   menentukan  kebenaran.  Kita boleh ramal di masa  hadapan
   sempadan negara yang merdeka akan dicabuli dengan  sesuka
   hati  kuasa  besar.  Tuduhan boleh di buat bahawa  negara
   tertentu  tidak demokratik, tidak menghormati  hak  asasi
   manusia,  tidak memberi kebebasan beragama dan  lain-lain
   dan   pihak  yang  menuduh  akan  campur  tangan   secara
   langsung  untuk  menukar  Kerajaan,  mengadakan   "regime
   change",  dengan  izin, menghalau keluar pemimpin  bahkan
   membunuh  pemimpin  yang  tidak  disukai.   Inilah  dunia
   selepas undang-undang antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-
   Bangsa Bersatu dimusnahkan.  Tidak ada lagi "the rule  of
   law",  dengan  izin  kerana mereka yang  mencipta  slogan
   ini,  mereka sendiri yang mencabulnya.   Jika ada sesuatu
   yang  bersifat pemusnah, tindakan mencabul segala prinsip
   yang   menentukan   dunia   aman   dan   bebas   daripada
   penindasan,   tindakan  inilah  pemusnah  yang   terbesar
   setelah kuasa terbesar, kuasa nuklear mencabulnya.
   
   8.   Malaysia sememangnya bersetuju bahawa senjata pemusnah
   merupakan  suatu ancaman kepada masyarakat  antarabangsa.
   Dunia tidak perlu kepada senjata jenis ini.  Tindakan yang
   perlu diambil ialah memusnahkan semua senjata ini tanpa apa-
   apa keistimewaan kepada mana-mana negara. Tetapi kita dapati
   sementara  Iraq tidak dibenar, musuh Iraq seperti  Israel
   dibenar.
   
   9.    Apakah Israel yang membunuh rakyat Palestin  dengan
   sewenang-wenangnya boleh dipercayai tidak  akan  mengguna
   senjata  pemusnah seperti bom nuklear ke  atas  musuhnya?
   Sebenarnya Israel dan juga Amerika Syarikat telah mengancam
   mengguna senjata nuklear mengikut budi bicara mereka dalam
   keadaan tertentu.
   
   10.    Setelah   diperiksa  dan  diselidik   berkali-kali
   pasukan   Bangsa-Bangsa  Bersatu  tidak  menemui  senjata
   pemusnah  di Iraq.  Mungkin Iraq menyembunyinya.   Tetapi
   senjata  ini  bukanlah mudah untuk  di  sembunyi.   Kuasa
   besar  mempunyai alatan yang canggih yang boleh  mengesan
   semua senjata nuklear dan kilang kimia.   Kalau dapat  di
   sembunyi  pun tentulah tidak mencukupi untuk  memusnahkan
   dunia  atau  pun  Israel dan sekutunya Amerika  Syarikat.
   Jika   Iraq  cuba  menggunakannya,  kuasa  besar   dengan
   senjata  nuklearnya  yang lebih  banyak  dan  lebih  kuat
   boleh  musnahkan seluruh Iraq dan kepimpinannya.   Apakah
   rakyat   Iraq   perlu  dibunuh  untuk  mengesan   senjata
   pemusnah  yang  mungkin tidak ada di  Iraq  sama  sekali?
   Kononnya  Bush dan Blair ingin menyelamatkan orang  Iraq.
   Apakah makna keselamatan bagi rakyat Iraq yang dibunuh?
   
   11.    Akhir-akhir  ini  yang  jelas  bukanlah   mengesan
   senjata  pemusnah  milik  Iraq tetapi  objektifnya  telah
   bertukar   kepada   penyingkiran   Kerajaan   Iraq    dan
   menjayakan   objektif  strategik  Amerika  Syarikat   dan
   sekutunya.   Untuk menjayakan strategi ini  bukan  sahaja
   Iraq  mesti dikalahkan tetapi seperti lepas Perang Teluk,
   tentera Amerika Syarikat mesti ditempatkan di Asia  Barat
   selama-lamanya  untuk  mengawasi dan  mengugut  Kerajaan-
   Kerajaan   di  situ  dan  rakyat  mereka.   Ini  bermakna
   demokrasi tidak mungkin wujud dan pemerintahan kuku  besi
   oleh  kuasa asing dengan Kerajaan-Kerajaan boneka  mereka
   yang akan menjadi sistem dunia.
   
   12.    Kerajaan  Negara-Negara  Teluk  mungkin   terpaksa
   terima  dikuasai  oleh  kuasa-kuasa  besar  tetapi  besar
   kemungkinan  rakyat mereka tidak akan  terima  dan  tidak
   akan  berdiam  diri.   Mereka akan  bertindak  ganas  dan
   "terrrorism", dengan izin, akan berkembang  pesat.   Kita
   harus ingat dalam keadaan dunia terselamat tiba-tiba  New
   York  dan Washington di serang.  Walau bagaimana berjaga-
   jaga   Amerika   Syarikat  dan  Britain,  tidak   mungkin
   keselamatan dijamin bagi semua orang di semua  tempat  di
   sepanjang  masa. Jika tidak hari ini, esok, setahun  lagi
   atau   sepuluh  tahun  lagi  serangan  keganasan  mungkin
   dilakukan   oleh  mereka  yang  menaruh  geram  sepanjang
   ingatan mereka.  Dunia tidak akan selamat.  Manusia  akan
   hidup  dalam  ketakutan sepanjang  masa.   Ekonomi  dunia
   tidak  akan  dapat  dipulihkan.  Kestabilan  politik  dan
   hubungan  antarabangsa tetap tegang.  Sebenarnya serangan
   11  September  lebih  berjaya daripada  yang  disangkakan
   oleh  pengganas, kerana reaksi yang tidak  rasional  oleh
   kuasa-kuasa  besar.   Sepatutnya  sebab-sebab   keganasan
   berlaku    ditangani   tetapi   sebaliknya    sebab-sebab
   keganasan  ditokok  tambah  dengan  tindakan  yang  tidak
   waras.    Serangan  ke  atas  Iraq  tidak  akan  menolong
   mengurangkan  kemungkinan  serangan  ganas  akan  berlaku
   lagi.
   
   13.   Oleh itu, Kerajaan Malaysia mengecam keras tindakan
   Amerika  Syarikat,  Britain dan  sekutu  mereka  ke  atas
   Iraq.   Negara  berpegang teguh kepada  pendirian  bahawa
   peperangan    bukan    caranya   menyelesaikan    masalah
   permusuhan  antara  negara-negara.   Perang  hanya  boleh
   dibenarkan  untuk pertahanan dan keselamatan negara  yang
   diserang.   Perang  pre-emptif,  tidak  boleh  dibenarkan
   sama  sekali  terutama oleh kuasa besar  dan  kuncu-kuncu
   mereka   ke   atas  negara  lemah.   Serangan  unilateral
   mestilah  terus diharamkan dan dunia patut  bertindak  ke
   atas  sesiapa  pun  yang melanggar  prinsip  dan  undang-
   undang antarabangsa.
   
   14.   Kita berasa lega kerana ada juga kuasa-kuasa  besar
   yang  menentang  tindakan Amerika Syarikat  dan  Britain.
   Kita  menyanjung  tinggi pendirian Perancis,  Russia  dan
   China  bersama  dengan negara Jerman dan beberapa  negara
   Eropah   yang   lain  yang  menentang  tindakan   Amerika
   Syarikat   dan   sekutunya.    Kita   menyanjung   tinggi
   demonstrasi  menentang Amerika Syarikat dan Britain  oleh
   rakyat mereka sendiri dan orang ramai di seluruh dunia.
   
   15.   Yang  jelas  ialah  ini bukanlah  peperangan  orang
   Eropah   atau  orang  Kristian  ke  atas  negara   Islam.
   Penentangan   oleh  Paus  Paul,  Ketua  Gereja   Katolik,
   Archbishop  Canterbury   Gereja  Anglican  dan  Archbisop
   Roman  Katolik British membuktikan orang Kristian umumnya
   tidak  menyokong  tindakan Amerika Syarikat.   Ini  bukan
   Perang  Salib  atau "Crusade", dengan  izin.   Ia  adalah
   Peperangan  Kuasa  Besar  Amerika  Syarikat  dan  Britain
   terhadap  negara  lemah Islam Iraq.  Ia adalah  perbuatan
   imperialis  yang  masih ingin menguasai  dunia.   Selepas
   mencuba  serangan  ekonomi,  mereka  susuli  pula  dengan
   serangan  ketenteraan.  Jika negara yang di sasar  adalah
   kuat,  mereka  sudah  tentu tidak  akan  menyerang.   Ini
   adalah sikap pengecut, sikap "bully", dengan izin.
   
   
   
   
   16.   Dalam keadaan cemas ini tindakan telah diambil oleh
   Kerajaan Malaysia untuk menyelamatkan rakyat Malaysia  di
   Iraq  dan  di  Asia  Barat.   Tiga  Pesawat  C-130  telah
   dihantar untuk membawa balik rakyat Malaysia.
   
   17.    Berhadapan  dengan  berbagai-bagai  masalah   yang
   mungkin mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan  negara
   kita,  beberapa tindakan telah dan sedang diambil.   Yang
   terpenting   sekali  ialah  menentukan   kestabilan   dan
   keamanan dalam negara.
   
   18.   Negara  kita adalah negara demokratik.   Tak  dapat
   tidak  rakyat dan parti-parti politik mempunyai  pelbagai
   pandangan  dan  pendirian  dalam  pelbagai  isu.   Tetapi
   dalam  isu  pencabulan  undang-undang  antarabangsa   dan
   serangan  unilateral ke atas Iraq oleh  Amerika  Syarikat
   dan  Britain, saya harap kita rakyat Malaysia dan  parti-
   parti  politik  dapat  mengadakan  pendirian  yang  sama.
   Sebarang  perselisihan antara kita berkenaan  dengan  isu
   ini  hanya  akan  membawa  masalah  dan  melemahkan  kita
   sehingga  kita tidak dapat bertegas menentang  pencabulan
   piagam  Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu,  undang-undang
   antarabangsa  dan  serangan ke  atas  Iraq.   Kita  harus
   sedar  kini  giliran Iraq.  Tidak ada  negara  yang  akan
   selamat  selepas  ini.   Mempertahankan  Malaysia  adalah
   tanggungjawab semua rakyat Malaysia.
   
   19.    Malaysia  bukan  sahaja  menjadi  ahli  Pergerakan
   Negara-Negara  Berkecuali  (NAM)  tetapi   juga   menjadi
   Pengerusinya.    Kita   juga  menjadi   ahli   OIC   atau
   Organisasi  Negara-Negara Islam.  Di masa  sebuah  negara
   rakan  dalam kedua-dua pertubuhan tersebut diancam dengan
   serangan   ketenteraan  amatlah  penting   kita   memberi
   sokongan   dengan  menyuarakan  tentangan  kita  terhadap
   tindakan  ganas  oleh  seteru rakan kita,  iaitu  Amerika
   Syarikat dan sekutunya.
   
   20.   Jika  kita  tidak merapatkan barisan  negara-negara
   lemah   ini,   dengan  kesanggupan   oleh   kuasa   besar
   membelakangkan  Pertubuhan  Bangsa-Bangsa  Bersatu,  kita
   akan  diancam sepanjang masa dan mungkin dijajah  semula.
   Walau  apa  pun  perbezaan pendapat di  antara  kita  dan
   parti-parti politik kita, saya yakin tidak ada  siapa  di
   antara kita yang ingin negara kita dijajah semula.
   
   21.     Sebagai    pengerusi   Pergerakan   Negara-Negara
   Berkecuali   saya  telah  mengutuskan  surat   menyatakan
   pendirian  NAM  menentang perang ke  atas  satu  daripada
   ahli  NAM,  iaitu  Iraq.  Kita akan gunakan  saluran  ini
   untuk  mendapat seberapa banyak mungkin negara-negara  di
   dunia   mengecam  tindakan  yang  diambil  oleh   Amerika
   Syarikat dan sekutunya.
   
   22.   Saya  harap  Badan-badan  Bukan  Kerajaan  Malaysia
   dapat  menghubungi Badan-Badan Bukan Kerajaan di  Amerika
   Syarikat   dan   Britain  supaya  bertindak  mempengaruhi
   Kerajaan  mereka  menghentikan  serangan  ke  atas  Iraq.
   Hanya  rakyat  Amerika  dan  Britain  sahaja  yang  boleh
   menghentikan Kerajaan mereka daripada menyerang Iraq  dan
   kembali    kepada   pangkuan   Pertubuhan   Bangsa-Bangsa
   Bersatu.   Jika Kerajaan-Kerajaan yang menolak Pertubuhan
   Bangsa-Bangsa  Bersatu di singkirkan oleh  rakyat  mereka
   sendiri, maka mungkin Kerajaan-Kerajaan baru mereka  akan
   kembali ke pangkuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
   
   23.    Kerajaan   sedar  bahawa  pendirian   kita   tidak
   disenangi  oleh  Amerika Syarikat  dan  sekutunya.   Kita
   tidak  benci  orang  Amerika.  Kita tidak  mahu  bermusuh
   dengan   Amerika  Syarikat  atau  Britain  atau  sesiapa.
   Tetapi    kita   tidak   boleh   menutup   mata    kepada
   ketidakadilan   dan  penindasan.   Apa   yang   dilakukan
   terhadap  Iraq amatlah tidak adil dan menambah penindasan
   ke  atas  rakyat Iraq, yang selama 12 tahun telah disekat
   daripada   bekalan  makanan  dan  ubat-ubatan.   Walaupun
   didakwa  Kerajaan Iraq zalim, tetapi tindakan yang  telah
   diambil  ke atas rakyat Iraq selama 12 tahun dan sekarang
   ini  jauh  lebih  zalim lagi.  Walau bagaimana  baik  pun
   demokrasi,   membunuh  rakyat  sesebuah   negara   supaya
   demokrasi  diterima sebenarnya bercanggah dengan  prinsip
   demokrasi dan tidak bermoral.
   
   24.   Agama  Islam  menyuruh  kita  mengubah  nasib  kita
   sendiri  sebelum Tuhan mengubah nasib kita.   Kita  telah
   berusaha  setakat  yang  boleh untuk  menyelamatkan  umat
   daripada  bala  bencana  ini.  Kita  akan  berusaha  lagi
   sedaya   upaya  kita.  Oleh  itu  wajarlah  kita   berdoa
   meminta pertolongan Allah subhanahuwataala.
   
   25.   Kerajaan menyarankan semua masjid-masjid di seluruh
   negara  mengadakan  sembahyang hajat  dan  berdoa  supaya
   peperangan ini dihentikan dengan segera.  Penganut  agama
   lain  juga perlu memohon perkara yang sama mengikut  cara
   masing-masing.
   
   26.   Insyaallah  berkat  usaha  dan  doa  daripada  kita
   semua,  mudah-mudahan  tidak ramai daripada  rakyat  Iraq
   yang  dibunuh  dan dicederakan dan Amerika  Syarikat  dan
   Britain  akan menghentikan serangan ganas mereka ke  atas
   Iraq dengan segera.
   
   27.   Mudah-mudahan usaha dan doa kita  akan  dimakbulkan
   Allah subhanahuwataala.
   
   28.  Saya  mohon mencadangkan.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google