home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date	:	07/06/2003
Tajuk/Title 	:	ISTIADAT MENGADAP DAN ISTIADAT 
			PENGURNIAAN DARJAH-DARJAH 
			KEBESARAN, BINTANG-BINTANG DAN 
			PINGAT-PINGAT MALAYSIA SEMPENA 
			ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN   
			SERI PADUKA BAGINDA YANG 
			DI-PERTUAN AGONG
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM
	    


        Dengan hormat dan penuh takzimnya, pihak Kerajaan,
   pegawai  dan kakitangan Perkhidmatan Awam serta  rakyat
   keseluruhannya   mengucapkan  setinggi-tinggi   tahniah
   kepada  Tuanku  sempena  ulangtahun  Keputeraan   Rasmi
   Tuanku  pada hari ini. Rakyat sekalian berdoa ke hadrat
   Allah  Subhanahuwata'ala semoga dilanjutkan usia  serta
   dilimpahkan rahmat dan hidayah-nya ke atas  Tuanku  dan
   Raja  Permaisuri Agong Tuanku Fauziah dan semoga Tuanku
   berdua   sentiasa  berada  di  dalam  kandungan  sihat,
   bahagia dan penuh kedaulatan.
   
   2.    Hari  Keputeraan  Tuanku  hari  ini  adalah  amat
   istimewa kepada semua rakyat jelata. Institusi  di-raja
   yang diterajui Tuanku adalah lambang kebanggaan rakyat.
   Sejak  ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku
   telah  berjaya  memainkan  peranan  yang  penting   dan
   efektif   mendekatkan  lagi  institusi  di-raja  dengan
   rakyat jelata.
   
   3.     Kehadiran  Tuanku  di  acara-acara   rasmi   dan
   perayaan   hari   kebesaran  kaum-kaum  juga   mendapat
   perhatian  rakyat  yang amat menghargai  peranan  aktif
   yang   dimainkan   Tuanku  dan  Raja  Permaisuri   bagi
   menyemarakkan   dan  memupuk  semangat  perpaduan   dan
   harmoni antara rakyat berbilang kaum, bahasa, agama dan
   budaya di negara ini.
   
   4.     Lawatan  rasmi  Tuanku dan  Raja  Permaisuri  ke
   jabatan-jabatan  dan  kementerian  Kerajaan  serta   ke
   institusi   awam  dan  swasta  lain  juga   menunjukkan
   keperihatinan Tuanku berdua terhadap perkembangan dalam
   negara.
   
   5.    Akhir-akhir ini, perkembangan politik dan ekonomi
   dunia  menjadi agak rumit. Keganasan, pencerobohan  dan
   penindasan kuasa besar ke atas negara-negara kecil  dan
   lemah,  serangan wabak penyakit serta konflik  serantau
   menjadikan persekitaran global tidak menentu.
   
   6.    Di  dalam  suasana ini, negara  tidak  terkecuali
   daripada   turut   merasai   impak   ketidak    tentuan
   persekitaran  ekonomi,  politik  dan  sosial.   Sebagai
   negara   pedagang  (trading  nation)  Malaysia   banyak
   bergantung kepada pasaran eksport barangan tempatan  ke
   luar  negara.  Kemerosotan ekonomi rakan  dagang  serta
   kejatuhan  nilai matawang dolar telah memberikan  kesan
   negatif terhadap prestasi ekonomi negara.
   
   7.     Namun   begitu,   langkah   pro-aktif   kerajaan
   memperkenalkan  pakej  strategi baru  untuk  merangsang
   pertumbuhan ekonomi negara seperti yang diumumkan baru-
   baru  ini  dijangka  dapat menangani  impak  kelembapan
   ekonomi    dunia    dengan    menggalakkan    "domestic
   consumption"  dan pelaburan swasta dalam  negeri  serta
   menjana pertumbuhan baru.
   
   8.    Di dalam merangka strategi pertumbuhan baru  ini,
   Kerajaan  juga  telah  memberi  tumpuan  khusus  kepada
   menggalakkan   perniagaan  kecil   bertujuan   membantu
   golongan  berpendapatan rendah meningkatkan lagi  taraf
   ekonomi  mereka.  Kerajaan juga telah  memberi  tumpuan
   terhadap  mempertingkatkan  daya  saing  negara  dengan
   memperkenalkan  beberapa  insentif  untuk  menggalakkan
   pelabur asing dan domestik.
   
   9.    Di  samping  strategi baru, Kerajaan  juga  telah
   memperluaskan  aktiviti ekonomi dengan membuka  pasaran
   baru untuk barangan eksport negara terutama di kalangan
   negara  Selatan Afrika, Amerika Selatan,  negara-negara
   Arab  serta wilayah Asia Barat agar negara tidak begitu
   bergantung  kepada pasaran tradisional seperti  Amerika
   Syarikat dan Eropah.
   
   10.   Kejatuhan nilai Dolar Amerika berbanding matawang
   Euro  juga  telah  mempengaruhi eksport  negara.  Nilai
   barangan   eksport  yang  menggunakan  matawang   Dolar
   menjadi   kurang.  Walaupun  Kerajaan  tidak  berhasrat
   menukar  tambatan  ringgit, Kerajaan  merasakan  adalah
   perlu  bagi  pihak swasta terutamanya yang terlibat  di
   dalam  sektor pengeksportan barangan mengambil  langkah
   menggunakan   matawang  Euro  sebagai  bayaran   kerana
   kemungkinan besar nilai Dolar akan merosot lagi.
   
   11.   Baru-baru ini negara juga telah diserang  Sindrom
   Pernafasan  Akut Teruk (SARS). Alhamdulillah,  langkah-
   langkah  pencegahan  awal yang  diambil  telah  berjaya
   membendung  penyakit tersebut daripada  merebak  dengan
   lebih  teruk dan negara tidak tersenarai sebagai antara
   negara-negara  yang  dilanda  wabak  tersebut.  Langkah
   "decisive"  Kerajaan  menangani  wabak  SARS  ini  juga
   diakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
   
   12. Kerajaan memandang serius hal-hal kesihatan rakyat,
   terutamanya  wabak  penyakit yang boleh  membawa  maut.
   Kebersihan  merupakan  elemen  penting  mencegah  wabak
   penyakit  berjangkit  dan Kerajaan memerlukan  sokongan
   dan  usaha  sepenuhnya  daripada setiap  individu  bagi
   menjaga kebersihan.
   
   13.    Rakyat  mestilah  menerima  teknologi  pelupusan
   sampah  yang bersesuaian dengan sebuah negara membangun
   seperti Malaysia. Kerajaan tidak mampu lagi menyediakan
   kawasan pelupusan sampah terbuka (land-fill), yang pada
   jangka   panjang  akan  mengakibatkan  pencemaran   dan
   keracunan  air  bawah  tanah,  selain  menjadi   tempat
   pembiakan  kuman.  Jika  rakyat terus  menerus  menolak
   sistem dan amalan pelupusan sampah yang diterima negara
   maju,   ianya   akan   meyulitkan  usaha   membersihkan
   persekitaran kita bagi mencegah penyakit.
   
   14.   Kerajaan percaya kejayaan kita menangani pelbagai
   tekanan  ke  atas  negara telah  berjaya  menyelamatkan
   rakyat  daripada pelbagai bencana.  Justeru itu  rakyat
   perlu   yakin  terhadap  kebolehan  negara   menghadapi
   krisis.  Namun  ada  segelintir  daripada  rakyat  yang
   kurang percaya akan kebolehan kita dan menyertai  orang
   asing  memburuk-burukkan negara.   Sikap  golongan  ini
   amat   mengecewakan.   Sesungguhnya  Kerajaan   sanggup
   menghadapi  apa  jua cabaran dan masalah  yang  melanda
   negara.
   
   15.   Usaha menghalang pembekalan air dan elektrik  dan
   pelupusan  sampah kerana kononnya ianya akan merosakkan
   alam     sekitar    adalah    tuduhan    yang     tidak
   bertanggungjawab.   Kita harus ingat bahawa orang asing
   yang  menghasut  sudah pun musnah  persekitaran  mereka
   supaya  negara mereka dapat dibangunkan.   Kini  mereka
   ingin kekalkan taraf hidup yang rendah bagi kita dengan
   menyekat    pembangunan   negara   kerana   kepentingan
   persekitaran mereka.
   
   16.   Walaupun  kita semua dapat melihat  negara-negara
   yang  bermasalah ditindas dan ditakluk, ramai juga yang
   sedang  berusaha  untuk  memecah-belah  dan  melemahkan
   negara   ini.    Perlakuan  mereka  akan  mengundangkan
   malapetaka  bagi  negara ini.  Harapan  Kerajaan  ialah
   supaya   puak  ini  sedar  akan  kesan  buruk  daripada
   tindakan mereka dan akan hentikannya.
   
   17.    Alhamdulillah, majoriti rakyat amat setia kepada
   negara.  Anggota Kabinet serta pegawai  dan  kakitangan
   perkhidmatan awam yakin dengan sokongan rakyat di bawah
   naungan  Tuanku, negara akan terus mencapai pertumbuhan
   dan   kemajuan  pesat.  Sesungguhnya  negara  ini  amat
   bertuah   kerana   di  bawah  naungan  Tuanku,   negara
   diberkati  dengan  keupayaan untuk  menangani  pelbagai
   cabaran dan rintangan.
   
   18.   Sempena ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi  Tuanku,
   Ahli-ahli  jemaah  menteri dan semua  anggota  Kerajaan
   ingin   memberi  jaminan  sekali  lagi  bahawa   segala
   kerjasama dan sokongan akan diberi kepada Tuanku  dalam
   menjalankan tugas sebagai Seri Paduka Baginda  Yang  Di
   Pertuan  Agong dan kepada Raja Permaisuri Agong selaras
   dengan   prinsip-prinsip  dan  keperluan  Sistem   Raja
   Berperlembagaan.
   
   19.   Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini,
   Kerajaan,  pegawai  dan  kakitangan  perkhidmatan  awam
   serta  rakyat  keseluruhannya dengan penuh  hormat  dan
   takzimnya  mengucapkan Selamat Hari  Keputeraan  kepada
   Tuanku  dan  menyampaikan ikrar taat setia  yang  tidak
   berbelah   bahagi  kepada  Tuanku  sebagai  Raja   yang
   memerintah dan juga kepada Raja Permaisuri Agong.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google