home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	JOHOR DARUL TA'ZIM
Tarikh/Date	:	09/09/2003
Tajuk/Title 	:	PERASMIAN MAJLIS PERUJIAN MEMBACA 
			AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN 
			KALI KE-46  TAHUN 1424H /2003M
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 
	    

       Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala
    kerana  dapat  hadir dalam Majlis Ujian  Membaca  al-
    Quran  Peringkat Kebangsaan Kali Ke-46 yang  diadakan
    di Negeri Johor pada malam ini.
    
    2.   Al-Quran  seperti yang kita semua  maklum  ialah
    kitab suci yang menjadi rujukan dan panduan hidup dan
    mati   kita.   Sebagai  umat  Islam  kita  sewajarnya
    sentiasa mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung di
    dalamnya  mudah-mudahan dengan itu  hidup  kita  akan
    selamat  sejahtera.   Majlis Ujian  Membaca  Al-Quran
    memberi  peluang  kepada kita bukan sahaja  mendengar
    ayat-ayat Al-Quran dibaca tetapi juga memahami maksud
    ayat-ayat  ini  melalui terjemahan dan tafsiran  yang
    diberi bersama.
    
    3.   Ayat-ayat  Al-Quran tidak  boleh  dipertikaikan,
    diubah  atau  dimansuhkan.   Tetapi  kefahaman   kita
    terhadap  ayat-ayat ini bergantung kepada  pentafsir,
    yang  terdiri daripada manusia biasa yang tentu tidak
    sunyi daripada kesilapan walaupun amat alim dan arif.
    Oleh kerana ini terdapat tafsir-tafsir yang berlainan
    dan  kadang-kadang bertentangan berkenaan  ayat  yang
    sama.   Demikianlah  kelainan ini sehingga  ia  dapat
    memecah-mecah umat Islam kepada mazhab,  tarikat  dan
    kumpulan-kumpulan yang begitu berlainan fahaman  akan
    ajaran  Islam  sehingga mereka  sering  tuduh-menuduh
    antara satu sama lain dan bermusuh pun.
    
    4.   Amatlah  sedih apabila kita lihat di waktu  umat
    Islam  sedang  menghadapi serangan  oleh  musuh,  ada
    orang  Islam yang sanggup membunuh orang  Islam  lain
    kerana  perbezaan  fahaman  berkenaan  ajaran  Islam.
    Sudah tentu yang mendapat manfaat adalah musuh Islam.
    Dengan  perkataan lain orang Islamlah yang sebenarnya
    menolong musuh untuk menjayakan hasrat mereka.
    
    5.   Al-Quran  memberi panduan kepada penganut  agama
    Islam  secara  menyeluruh  supaya  Islam  benar-benar
    menjadi cara hidup.  Tetapi biasanya banyak ayat  dan
    isi  kandungan Al-Quran tidak mendapat perhatian yang
    seimbang.  Ada ayat-ayat yang diutamakan dan ada yang
    seolah-olah  diketepikan.   Dengan  itu  kita   tidak
    mendapat panduan dan nikmat sepenuhnya daripada kitab
    suci ini.
    
    6.   Tekanan  yang  diutamakan adalah  kepada  ibadat
    tertentu,  seperti  solat  dan  berpuasa  yang   mana
    ditokok  tambah  dengan banyak amalan  lain  mengikut
    mazhab   dan  fahaman  pihak  tertentu  yang  membuat
    tafsiran  dan  memimpin agama.  Selain  daripada  itu
    terdapat  tumpuan  kepada ilmu  fekah  dan  penentuan
    tempat  wanita dalam masyarakat.  Yang amat  digemari
    ialah  hukum-hukum ke atas orang yang salah  terutama
    wanita,  yang dianggap sebagai punca segala keburukan
    yang berlaku dalam masyarakat.
    
    7.     Bahagian    dan   ayat-ayat   Al-Quran    yang
    mengutamakan  keadilan  tidak dianggap  sama  penting
    dengan proses pengadilan yang dikehendaki oleh  agama
    Islam.    Bahawa  proses  pengadilan   adalah   untuk
    menentukan  keadilan  berlaku  juga  tidak   dianggap
    penting.   Kalau  pun  keadilan  tidak  berlaku,   ia
    dianggap  menepati ajaran Islam kerana  proses  telah
    diikuti.   Soalnya ialah apakah proses atau  prosedur
    tertakluk  kepada  keadilan atau  keadilan  tertakluk
    kepada  proses?   Al-Quran menegaskan bahawa  apabila
    menghukum,  hukumlah secara adil.  Tidak ada  disebut
    dalam  Al-Quran  bahawa keadilan tidak  penting  atau
    proses penghakiman dan prosedur lebih penting.
    
    8.   Di zaman ini kita mempunyai cara saintifik untuk
    menentukan  siapa  yang melakukan kesalahan.   Dengan
    menggunakan  DNA dan cara-cara lain kita boleh  kenal
    pasti  siapa  pesalah.   Umpamanya  jika  anak   yang
    dilahir  setelah wanita dirogol, mempunyai rupa  yang
    sama  dengan  perogol, apakah kita akan menolak  juga
    tuduhan  terhadap  perogol?  Apakah  adil  jika  kita
    terus menuduh mangsa rogol membuat tuduhan yang tidak
    berasas,  mengenakan sebatan dan merejam dengan  batu
    kerana   melahirkan  anak  di  luar  nikah  sedangkan
    pemeriksaan  DNA  mengesahkan  yang  dituduh  merogol
    adalah  bapa  kepada  anak  berkenaan?   Apakah  adil
    hukuman  kita?   Apakah  ia menepati  kehendak  Islam
    seperti  yang  disebut dalam Al-Quran iaitu  "Apabila
    kamu hukum, hukumlah dengan adil" ?
    
    9.   Ulama  yang  meneliti ajaran Islam  melalui  Al-
    Quran  dan  hadis yang sahih perlu membuat penjelasan
    supaya  agama  Islam tetap sesuai dengan  keadaan  di
    zaman  ini.   Sepertimana juga kita  boleh  melakukan
    kerja  haji  tanpa menggunakan unta atau keldai  atau
    kuda   dalam  perjalanan  kita,  jika  kita   junjung
    keadilan  yang dituntut oleh agama Islam,  kita  juga
    tidak   boleh   ketepikan  bukti  yang   jelas   yang
    dibentangkan kepada kita di zaman ini.  Mustahil  Al-
    Quran  dan  Hadis tidak dapat memberi panduan  kepada
    kita jika kita rujuk kepada ayat-ayat dan hadis-hadis
    yang  sahih yang menjadi punca dan asas ajaran  Islam
    dengan  mengambilkira ilmu di zaman ini.  Kita  tidak
    boleh kembali ke abad pertama Hijrah untuk menjadikan
    Islam sebagai Ad-din.
    
    10.   Kita  sembahyang  mengikut  waktu  yang   telah
    diperkirakan  awal-awal  lagi.   Kita  tidak  melihat
    benang  di  waktu  subuh atau fajar menyinsing,  atau
    jatuhnya  matahari.  Tiap hari kita sembahyang  waktu
    kita  ikut  natijah yang disediakan  setahun  dahulu.
    Kita  tidak  soal samada waktu sembahyang tepat  atau
    tidak.   Tetapi  ada tempat-tempat di dunia  di  mana
    timbul dan jatuhnya matahari tidak dapat dilihat sama
    sekali.  Sebaliknya ilmu sains dapat menentukan waktu
    matahari naik dan waktu matahari turun.  Apakah  kita
    akan  tolak sahaja perkiraan yang berasas kepada ilmu
    sains?
    
    11.  Hakikatnya ialah banyak yang terdapat  di  zaman
    ini tidak terdapat 1400 tahun dahulu.  Namun demikian
    jika  diteliti  betul-betul  kandungan  Al-Quran  dan
    hadis  dan dirujuk juga kepada pakar dalam ilmu  yang
    ada  kaitan  dengan  masalah yang hendak  ditentukan,
    tidak  dapat  tidak  panduan ajaran  Islam  berkenaan
    dengan  masalah  berkenaan  dapat  dicapai.     Bukan
    panduan   dalam  Al-Quran  yang  tidak  ada,   tetapi
    kelemahan  kita  yang menyebabkan  kita  tidak  dapat
    menentukan panduan ini.
    
    12.  Alhamdulillah walaupun di zaman Rasulullah darah
    tidak  pernah  dimasukkan dalam tubuh manusia  (blood
    transfusion)  ulama  bersama dengan  pakar  perubatan
    telah  membuat  ketetapan bahawa prosedur  ini  tidak
    bercanggah   dengan  ajaran  Islam.   Demikian   juga
    pemindahan organ dari seorang kepada orang yang lain.
    Ramai sudah pesakit buah pinggang yang sekarang masih
    hidup kerana pemindahan buah pinggang.  Dan banyaklah
    lagi  fatwa yang dibuat yang berasas kepada  Al-Quran
    dan  Hadis  bagi menyelesaikan masalah  dan  keraguan
    yang timbul di zaman ini yang tidak ada di waktu  Al-
    Quran  diturunkan kepada Rasulullah.   Kuasa elektrik
    dan  kereta  bermotor  pada mulanya  diharamkan  oleh
    ulama  Islam.   Demikian  juga  gambar  manusia   dan
    binatang.   Tetapi  hari  ini fatwa-fatwa  ini  tidak
    diterima lagi.
    
    13.  Jika ulama berpendapat bahawa jika sesuatu tidak
    disebut  dengan tepat dan jelas dalam Umul Kitab  dan
    Hadis maka ianya ditegah maka banyaklah yang terdapat
    sekarang ini di sekeliling kita yang akan diharamkan.
    Sebaliknya  ada ulama yang berpendapat  jika  sesuatu
    itu  tidak  dilarang  secara khusus,  walaupun  ianya
    buruk dan keji maka ia boleh dihalalkan.  Dengan  itu
    berlakulah  kezaliman  dalam  masyarakat  Islam  yang
    tidak  sepatutnya  berlaku, yang memberi  imej  buruk
    kepada agama Islam.
    
    14.  Sudah  tentu fatwa yang dibuat tanpa kajian  dan
    persetujuan  alim ulama secara tersusun  dan  teratur
    dengan   berpandu  kepada  Al-Quran  dan  Hadis   dan
    mengambilkira   penjelasan  oleh  pakar-pakar   dalam
    bidang berkenaan akan mengelirukan dan merugikan umat
    Islam.   Demikian  pendapat bahawa  hanya  penguasaan
    ilmu  agama sahaja yang memberi pahala dan penguasaan
    ilmu-ilmu  lain  tidak mendapat  ganjaran  yang  sama
    telah   menyebabkan  umat  Islam  ketinggalan  zaman,
    menjadi  lemah,  mudah terpedaya  dan  dikuasai  oleh
    orang lain.  Benarkah orang yang mempunyai ilmu  yang
    boleh menyelamatkan agama Islam dan orang Islam tidak
    mendapat  ganjaran  yang  sama  dengan  mereka   yang
    mempunyai  ilmu agama?  Apakah akan jadi  jika  semua
    orang  Islam  mengejar hanya ilmu agama sahaja  untuk
    mendapat   ganjaran   atau   pahala   yang   kononnya
    dijanjikan  sehingga tidak ada siapa  yang  tahu  dan
    mampu  menjaga  keselamatan  agama  Islam  dan  orang
    Islam?   Jika  memberi air kepada anjing yang  dahaga
    pun    mendapat   pahala,   tidakkah    orang    yang
    menyelamatkan  umat  Islam  dan  agama   Islam   juga
    mendapat pahala?
    
    15.  Soalan-soalan ini perlu dijawab  dengan  merujuk
    kepada Al-Quran dan Hadis kerana kekeliruan berkenaan
    dengan apa yang disuruh dengan apa yang ditegah  oleh
    agama  mempengaruhi  cara hidup kita, dan  menentukan
    samada  orang Islam dan agama Islam, hidup dan  subur
    atau tidak.
    
    16.    Ujian    Membaca    Al-Quran    bukan    untuk
    memperdengarkan ayat-ayat Al-Quran dibaca sahaja.  Ia
    adalah  satu usaha untuk mendekatkan kita umat  Islam
    kepada  Al-Quran dan isi kandungannya.  Memang  sukar
    bagi  orang  Islam biasa mentafsirkan  ayat-ayat  Al-
    Quran.  Itu adalah tugas ulama, orang yang alim dalam
    bidang agama.  Tetapi terdapat banyak ayat dalam  Al-
    Quran  yang  dapat menjadi panduan kepada kita  semua
    tanpa   dikelirukan  kerana  tafsiran-tafsiran   yang
    berbeza.   Jika  kita jadi keliru, kita  dapat  balik
    kepada ayat-ayat yang jelas ini dan kita akan kembali
    tenang  dan  beriman yang kuat.    Orang-orang  Islam
    tidak akan bermusuh sesama sendiri.
    
    17.   Inilah   sebabnya  Kerajaan  mengadakan   Ujian
    Membaca  Al-Quran  tiap  tahun.   Tidak  siapa  boleh
    menafikan  bahawa  membaca  Al-Quran  telah   berjaya
    meningkatkan  pengetahuan  agama  di  kalangan  orang
    Islam di Malaysia dan menjadikan mereka lebih terbuka
    dalam pandangan mereka terhadap perkembangan di zaman
    moden  ini.    Samada ini berlaku atau tidak,  banyak
    bergantung   kepada  alim  ulama   yang   tidak   ada
    kepentingan lain.
    
    18.   Dengan  lafaz  Bismillah Hirrahmanirrahim  saya
    merasmikan   Majlis   Perujian   Membaca     al-Quran
    Peringkat  Kebangsaan Kali Ke-46 bagi Tahun  1424H  /
    2003M di Negeri Johor Darul Takzim.
    
    Sekian. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum
    Warahmatullahi Wabarakatuh.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google