home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO' SERI DR.MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	PARLIMEN
Tarikh/Date	:	30/10/2003
Tajuk/Title 	:	PEMBENTANGAN USUL MENGENAI 
			KAJIAN SEPARUH PENGGAL RANCANGAN 
			MALAYSIA KELAPAN
Penyampai	:  	PM      
	    

  Dengan  nama Allah, Yang Maha Pemurah  dan  Maha
   Penyayang,  saya dengan sukacitanya  berdiri  di
   Dewan  yang  mulia  ini untuk mengemukakan  usul
   seperti berikut:
   
  `Bahawa Dewan ini,
   
  menyedari  akan pertumbuhan ekonomi yang membanggakan  dan
  pencapaian   matlamat  sosioekonomi  yang  baik   meskipun
  terjejas  akibat  keadaan  ekonomi  global  yang  bergolak
  dalam   tempoh  tiga  tahun  pertama  Rancangan   Malaysia
  Kelapan;
   
  mengambil  maklum dan menyokong usaha berterusan  Kerajaan
  bagi  mencapai pertumbuhan seimbang dan mapan dalam tempoh
  2004-2005;
   
  melulus  Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan
  yang  bertujuan  melaksanakan strategi dan  program  serta
  menyediakan peruntukan bagi mencapai matlamat dan  iltizam
  Dasar  Wawasan  Negara  seperti  yang  dibentangkan  dalam
  Kertas Perintah Bil. 30 Tahun 2003;
   
  Bahawa  sempena  meluluskan Kajian  Separuh  Penggal  ini,
  Dewan  yang  mulia  ini  menyeru seluruh  rakyat  Malaysia
  supaya  berusaha  dengan keazaman  yang  teguh  dan  terus
  membantu  Kerajaan untuk membina Malaysia  sebagai  sebuah
  negara  yang bersatu padu, adil, berdaya tahan dan berdaya
  saing.
   
  Dengan  izin  Tuan  Yang DiPertua, saya bentangkan  Kajian
  Separuh   Penggal   Rancangan   Malaysia   Kelapan   untuk
  dibahaskan  oleh Ahli-ahli Yang Berhormat  di  Dewan  yang
  mulia  ini.   Kajian ini adalah pendekatan dan  cara  kita
  untuk  menentukan  Rancangan  kita  dapat  dikemaskan  dan
  mencapai matlamatnya.
   
   
   
   
   
  PENDAHULUAN
   
  Dua  bulan yang lepas, kita telah menyambut ulangtahun ke-
  46   kemerdekaan  Negara  dengan  amat  meriah.    Diimbas
  kembali,  kita  sudah mara begitu jauh  dari  hari   Sabtu
  1957   yang   bersejarah   itu,   apabila   kita   berjaya
  membebaskan  diri daripada belenggu penjajah selama  lebih
  446  tahun.   Ketika itu negara kita miskin dan pendapatan
  purata  kita  ialah  AS 300 Dolar seorang.   Rakyat  tidak
  terlalu  berharap kepada pembangunan, jauh  sekali  kepada
  taraf  hidup yang lebih baik.  Ramai daripada  rakyat  dan
  orang   asing  yang  percaya  kaum-kaum  di  Malaya   akan
  bermusuh-musuhan  dan orang Melayu yang  menjadi  majoriti
  akan  merebut  kuasa dan menindas kaum-kaum lain.   Dengan
  itu  keadaaan  akan  menjadi  tidak  stabil  dan  prestasi
  pembangunan negara akan merosot.  Sangkaan ini memang  pun
  menjadi kenyataan di kebanyakan tanah takluk kuasa  Eropah
  yang  mencapai kemerdekaan.  Alhamdulillah sangkaan  semua
  pihak   meleset.   Malaysia  telah  bangun  dengan   pesat
  sehingga menjadi negara membangun yang termaju di dunia.
   
  Dalam  tempoh hanya 46 tahun, daripada sebuah negara  yang
  bergantung  kepada  getah  dan  timah  sahaja  kita  telah
  menjadi  negara  industri pembuatan  dan  sekarang  negara
  industri   maklumat   yang  canggih.   Pendapatan   purata
  meningkat  kepada  hampir AS 4,000  dolar  manakala  kadar
  celik  huruf  kini  sebanyak  94.1  peratus.   Kita  telah
  berjaya   mengeluarkan  sejumlah  94,320  orang   golongan
  profesional.   Daripada jumlah ini,  13,869  orang  adalah
  doktor, 41,747 insinyur dan 10,688 peguam.
   
  Kemiskinan  dikurangkan daripada 52.4 peratus  pada  tahun
  1970  kepada  5.1 peratus pada tahun 2002.   Kira-kira  92
  peratus   daripada  rumah-rumah  di  luar   bandar   telah
  dibekalkan  dengan  elektrik  manakala  86  peratus  telah
  mendapat  bekalan  air pada tahun 2003.  Sekolah,  klinik,
  jalan tar dinikmati oleh hampir semua rakyat.
   
  Di  masa yang sama kepercayaan rakyat Malaysia kepada diri
  sendiri  meningkat  sehingga mereka dapat  mencipta  rekod
  dunia  seperti  mendaki  Gunung Everest,  belayar  seorang
  diri  mengelilingi  dunia, terjun dari  payung  terjun  di
  Kutub  Utara  dan  berenang menyeberangi  Selat  Inggeris.
  Banyaklah  rekod di dunia yang dicipta termasuk  mengheret
  keretapi seberat 260 tan dengan gigi.
   
  Dan  Malaysia  sekarang terkenal di  seluruh  dunia  serta
  menjadi  contoh kepada negara-negara membangun dan negara-
  negara Islam.
   
  Kejayaan  kita ini disebabkan sifat-sifat dan budaya  baru
  yang  berjaya dipupuk di kalangan rakyat. Rakyat  Malaysia
  mempunyai  sifat  bertanggungjawab,  sederhana  dan   suka
  kepada  kedamaian.   Kita  lebih suka  berkongsi  daripada
  merebut  semua untuk kita.  Dengan perkataan  lain  rakyat
  Malaysia tidak tamak.
   
  Kita   menolak   sosialism  yang  percaya  jika   Kerajaan
  memiliknegarakan  semua  dagangan  dan   perusahaan   maka
  Kerajaan  akan memperolehi 100 peratus daripada keuntungan
  dan  dengan  ini  Kerajaan  akan  dapat  agihkan  kekayaan
  kepada  semua rakyat secara samarata.  Kita tidak merampas
  perniagaan  dan  harta swasta.  Kita  lebih  percaya  jika
  swasta  diberi  peluang  dan dibantu,  maka  mereka  lebih
  mungkin berjaya dan akan dapat membayar cukai yang  banyak
  untuk dibelanjakan demi faedah semua rakyat.
   
  Hari  ini  dunia akui bahawa sistem sosialis  tidak  boleh
  menjayakan ekonomi negara.  Syarikat dan perusahaan  milik
  Kerajaan  sukar  dijayakan.   Sebaliknya  sistem   pasaran
  terbuka   lebih   mungkin  menghasilkan   keuntungan   dan
  menambah   cukai   bagi  Kerajaan.    Sebenarnya   sewaktu
  kemerdekaan  dicapai belanjawan Kerajaan  adalah  sebanyak
  RM  1.0  bilion atau 19.5 peratus daripada KDNK. Hari  ini
  belanjawan  Kerajaan berjumlah RM 112.5 bilion  atau  29.2
  peratus  daripada  KDNK.  Sebenarnya  pilihan  kita  untuk
  sistem  kapitalis terkawal adalah jauh lebih baik daripada
  memiliknegarakan perniagaan swasta seperti  yang  diajukan
  oleh puak sosialis.
   
  Pada  tahun  1969  rusuhan  kaum  berlaku.   Kita  berjaya
  membendung   rusuhan   ini  tetapi  kita   juga   mendapat
  pengajaran  yang  banyak daripadanya.   Kerajaan  Campuran
  yang   disokong  oleh  semua  kaum  telah  mencipta  Dasar
  Ekonomi  Baru  untuk  mengagihkan kekayaan  negara  secara
  saksama  antara kaum.  Walaupun kita belum  capai  sasaran
  yang   ditetapkan,  tetapi  hakikatnya  pemisahan  ekonomi
  antara   kaum  sudah  berkurangan.   Sebenarnya   hubungan
  antara  kaum  sekarang jauh lebih baik daripada  mana-mana
  era  dalam sejarah Malaysia.  Daripada hanya memiliki  2.4
  peratus  kekayaan   negara dalam  tahun  1970,  Bumiputera
  sekarang  memiliki  18.7  peratus daripada  kekayaan  yang
  lebih  tinggi  di  negara sekarang iaitu daripada  RM  126
  juta  pada  tahun  1970 kepada RM 73,162 juta  pada  tahun
  2002, kenaikan sebanyak 581 kali ganda.
   
  Semasa  agihan kekayaan ini dibuat, ekonomi  telah  tumbuh
  dengan  pesat.  Jika tidak kerana serangan oleh  penyangak
  matawang,  pertumbuhan  purata lebih  daripada  7  peratus
  dapat  dicapai  tiap tahun.  Tetapi walaupun  sasaran  ini
  tidak  dapat dicapai, kita masih dapat memulihkan  ekonomi
  negara  lebih cepat dari negara-negara lain.   Bagi  tahun
  2003  kita  percaya  kita  akan  dapat  menaikkan  ekonomi
  sebanyak 4.5%.  Di masa yang sama kedudukan kewangan  kita
  adalah  kukuh.   Hutang luar negara adalah  sebanyak  48.2
  peratus  daripada KDNK, iaitu rendah daripada  paras  yang
  dianggap  selamat.  Rizab luar negara juga  tinggi,  iaitu
  RM  159.4 bilion atau AS 41.9 bilion Dolar pada 15 Oktober
  2003.   Dagangan kita menunjukkan lebihan eksport daripada
  import berturut-turut selama 70 bulan.
   
  Kita  adalah negara dagangan yang ke-18 terbesar di dunia.
  Jumlah  dagangan kita adalah dua kali lebih besar daripada
  KDNK  kita.   Sebagai negara dagangan kita perlu  tentukan
  barangan  kita  berdaya  saing  di  pasaran  antarabangsa.
  Perkara  ini  rumit  untuk ditangani kerana  upah  pekerja
  kita  lebih  tinggi  daripada upah di negara-negara  jiran
  kita.    Sebaliknya  kita  ingin  melihat   pekerja   kita
  menikmati taraf hidup yang lebih baik dan semakin baik.
   
  Pendapatan  pekerja boleh dinaikkan dengan menaikkan  daya
  pengeluaran  atau  produktiviti kita.   Ini  boleh  dibuat
  dengan   meningkatkan  kecekapan  dan   ilmu   pengetahuan
  pekerja  kita.  Ia juga boleh dibuat dengan melabur  dalam
  sistem  dan  alatan yang lebih canggih, dengan  penggunaan
  `automation' dan I.T. umpamanya.
   
  Yang   lebih   berkesan  daripada  kenaikan   upah   ialah
  meningkatkan   dayabeli   pendapatan   kita.    Sebenarnya
  Ringgit  kita  mempunyai  dayabeli  di  negara  kita  sama
  dengan  Dolar  Amerika di Amerika Syarikat.  Ini  bermakna
  walaupun  upah  kita  rendah  berbanding  dengan  upah  di
  negara  maju tetapi kita boleh beli barangan atau  khidmat
  tiga  kali ganda lebih daripada pekerja negara maju dengan
  upah  yang  sama.   Kerana  upah  kita  rendah  maka   kos
  pengeluaran  barangan kita juga rendah dan ini  menjadikan
  barangan  dan  khidmat kita terus kompetitif atau  berdaya
  saing.
   
  Kita  akan terus kawal kos sara hidup kita melalui kawalan
  harga   supaya  kita dapat menikmati kehidupan  yang  baik
  tetapi barangan eksport kita terus kompetitif.  Tidak  ada
  gunanya  menaikkan  pendapatan  tetapi  kos  barangan  dan
  khidmat  dalam negeri meningkat dan menelan semua tambahan
  pendapatan  yang  kita  dapati.   Dengan  perkataan   lain
  kenaikan  pendapatan  yang disusuli dengan  inflasi  tidak
  mempunyai  apa-apa faedah.  Lagipun mereka  yang  menabung
  akan  rugi  dan ekonomi negara tetap merosot.   Sebab  itu
  pendekatan  kita  dalam  menangani  ekonomi  dan  kewangan
  negara akan dikekalkan.
   
   
  Rancangan Malaysia Kelapan
   
  Pada  bulan April 2001, saya telah membentangkan Rancangan
  Malaysia  Kelapan  di  Dewan  yang  mulia  ini.  Rancangan
  Malaysia  Kelapan  telah menetapkan  dasar,  strategi  dan
  program  bagi   mencapai objektif   Dasar  Wawasan  Negara
  untuk  membina  negara  yang  berdaya  tahan  dan  berdaya
  saing.  Tumpuan utama Rancangan adalah untuk  meningkatkan
  tahap   pembangunan  dan  menghasilkan  pertumbuhan  mapan
  supaya  semua  rakyat Malaysia boleh menikmati  kemakmuran
  dan   kualiti   hidup  yang  lebih  tinggi.   Di   samping
  menggalakkan    pertumbuhan    ekonomi,    usaha     terus
  dipergiatkan   untuk  mengurangkan   jurang   sosial   dan
  ketidakseimbangan   ekonomi  dalam  pembangunan   wilayah.
  Memandangkan  ekonomi  perlu  berpindah  kepada   aktiviti
  nilai   ditambah   yang  lebih  tinggi,   strategi   dalam
  Rancangan  Malaysia Kelapan adalah untuk beralih  daripada
  strategi pertumbuhan berintensifkan tenaga manusia  kepada
  yang  berintensifkan  ilmu pengetahuan.  Keutamaan  diberi
  untuk   menaikkan  penguasaan  ilmu  dan  teknologi   yang
  tinggi.  Rancangan  Malaysia  Kelapan  menekankan   betapa
  perlunya  sektor swasta menjadi lebih dinamik dan  menjadi
  tunggak  kepada  pertumbuhan ekonomi.  Sektor  awam  terus
  berperanan  menyediakan dasar, institusi dan infrastruktur
  untuk persekitaran yang mesra perniagaan.
   
   
  Kemajuan Ekonomi Makro
   
  Malaysia  menghadapi cabaran luar biasa dalam tempoh  tiga
  tahun  pertama  Rancangan  disebabkan  oleh  keadaan  yang
  tidak  dijangkakan.  Ia bermula dengan kelembapan  ekonomi
  dunia  akibat  kemerosotan ekonomi  Amerika  Syarikat  dan
  kemerosotan  permintaan  keluaran  elektronik  dunia.  Ini
  diburukkan  oleh  peristiwa 11 September 2001  di  Amerika
  Syarikat.  Ini pula disusuli dengan pencerobohan  ke  atas
  Iraq  dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk atau
  SARS.   Pemulihan yang telah bermula selepas 11  September
  terjejas kerana peristiwa-peristiwa yang berikutan.
   
  Syukur  kepada Allah s.w.t., ekonomi Malaysia masih  dapat
  dipulihkan  dengan  pertumbuhan bagi  tahun  ini  dianggar
  sebanyak  4.5  peratus. Dalam tempoh kajian semula,  2001-
  2003,  pertumbuhan  Keluaran  Dalam  Negeri  Kasar  (KDNK)
  adalah  dianggar  sebanyak  3.0 peratus,  walaupun  faktor
  luar   dan   sumbangan  eksport  barangan   elektrik   dan
  elektronik sebanyak 70 peratus adalah terlalu tinggi.
   
  Kita  harus  berbangga kerana pendapatan per kapita  telah
  meningkat  sebanyak 2.4 peratus setahun daripada  RM12,843
  pada  tahun  2001  kepada RM14,324 pada tahun  2003.  Jika
  berdasarkan   kuasa   beli   pariti,   peningkatan   dalam
  pendapatan  per  kapita adalah lebih  mengkagumkan  kerana
  tumbuh  pada  kadar  purata sebanyak 3.9  peratus  setahun
  kepada   AS9,380  dalam  tahun  2003.  Pertumbuhan   telah
  dicapai   dalam  suasana  harga  yang  stabil  dan   tahap
  pengangguran  yang rendah. Perdagangan  luar  negara  juga
  kukuh  sebagaimana yang dicerminkan oleh  lebihan  eksport
  daripada  import tiap tahun. Selain daripada itu,  defisit
  fiskal   masih   kekal  ditahap  yang  tidak   membebankan
  meskipun  terdapat peningkatan perbelanjaan awam berikutan
  dengan   usaha   Kerajaan  untuk  merangsang   pertumbuhan
  ekonomi.  Kita juga berjaya mengurangkan kadar kemiskinan,
  menyediakan perumahan dan kemudahan asas yang lebih  baik,
  terutamanya kepada mereka yang berpendapatan rendah  tanpa
  menjejas kualiti hidup semua rakyat Malaysia.
   
  Bagi  mengurangkan  kesan buruk kelembapan  ekonomi  dunia
  terhadap  ekonomi  negara, Kerajaan  telah  memperkenalkan
  dua  pakej rangsangan fiskal pada tahun 2001 dan satu lagi
  pakej  iaitu  Strategi Baru Ke Arah Merangsang Pertumbuhan
  Ekonomi  Negara   pada  bulan Mei  tahun  ini.  Ini  telah
  menghasilkan  peningkatan pesat  penggunaan awam  sebanyak
  12.1  peratus  dan  pelaburan awam sebanyak  9.6  peratus.
  Penggunaan  swasta  juga meningkat  daripada  2.4  peratus
  pada  tahun  2001  kepada  5.2 peratus  pada  tahun  2003.
  Pertumbuhan  dalam permintaan sektor awam  dan  penggunaan
  swasta  telah  membantu mengimbangi penguncupan  pelaburan
  sektor  swasta yang dialami dalam tempoh dua tahun pertama
  Rancangan.  Dengan  perspektif ekonomi  yang  lebih  baik,
  pelaburan   swasta   kini   telah   pulih   seperti   yang
  ditunjukkan   oleh  pertumbuhan  di  dalam  pinjaman   dan
  sekuriti hutang swasta. Eksport negara adalah lebih  kukuh
  berikutan kejayaan menembusi pasaran bukan tradisional.
   
  Dalam  tempoh  kajian  semula, sektor  perkhidmatan  telah
  memainkan  peranan yang lebih besar.  Ini termasuk  sektor
  pelancongan,  kewangan, insurans,  konsultansi  dan  lain-
  lain.   Subsektor  pengangkutan  dan  komunikasi  termasuk
  pengangkutan  kargo  udara  dan pemunggahan  di  Pelabuhan
  Klang  dan  Pelabuhan Tanjung Pelepas  (PTP)  telah  terus
  meningkat.  Pendapatan  daripada  perjalanan,  pelancongan
  dan  pendidikan telah meningkat daripada RM19 bilion  pada
  tahun   2000   kepada  RM22.9  bilion  pada  tahun   2003.
  Institusi  pendidikan tinggi swasta telah  menarik  jumlah
  pelajar  asing  yang lebih ramai, terutamanya  dari  China
  dan  Indonesia; sementara industri perkhidmatan  kesihatan
  swasta  telah memenuhi keperluan pesakit luar  terutamanya
  dari Arab Saudi, Brunei, Indonesia dan Singapura.
   
  Dalam  sektor pembuatan, industri berorientasikan domestik
  telah  memanfaatkan  pakej  rangsangan  fiskal  dan  kadar
  faedah  yang  rendah dan menjadi penyumbang  utama  kepada
  pertumbuhan    sektor   ini.   Kelengkapan   pengangkutan,
  pemprosesan   makanan,  fabrikasi   logam   dan   industri
  berasaskan  pembinaan telah mencatat prestasi yang  kukuh.
  Bagi    industri    berorientasikan   eksport,    industri
  elektronik   telah   pulih   pada   tahun   2002    dengan
  meningkatnya permintaan global bagi semikonduktor.  Sektor
  pembuatan  terus  maju  menaiki  tangga  rangkaian   nilai
  kepada   industri   berteknologi   tinggi   dan   aktiviti
  berintensifkan  pengetahuan.  Kita  perlu   melangkah   ke
  hadapan  kerana  kita  tidak  lagi  mampu  bersaing  dalam
  industri  berintensifkan  pekerja  yang  berupah   rendah.
  Sektor  pertanian  juga  berkembang berikutan  peningkatan
  hasil   tanaman,  perikanan  dan  ternakan   serta   harga
  komoditi yang lebih baik.
   
  Dalam   tempoh   kajian  semula,  akaun  semasa   imbangan
  pembayaran  terus mencatatkan lebihan yang  besar.   Akaun
  perkhidmatan  mencatat defisit yang semakin  kecil  kerana
  institusi  pendidikan dan kesihatan yang  berjaya  menarik
  orang  asing. Pada akhir tahun 2003, akaun semasa imbangan
  pembayaran dijangka mencatat lebihan kira-kira 10  peratus
  daripada KNK.
   
  Dasar  pengembangan fiskal Kerajaan yang  bertujuan  untuk
  membantu   pertumbuhan   ekonomi   yang   terancam    oleh
  kemelesetan   ekonomi  dunia  telah   meningkatkan   bajet
  mengurus dan pembangunan Kerajaan dengan tinggi.   Kawalan
  terhadap  defisit  Kerajaan menjadi lebih  rumit.   Adalah
  jelas  perbelanjaan yang tinggi oleh Kerajaan tidak  boleh
  diteruskan.   Pakej rangsangan hanya boleh diadakan  untuk
  jangka  masa  yang  singkat.  Kita tidak boleh  mengadakan
  pakej   rangsangan  sebagai  satu  cara  untuk  mewujudkan
  peluang   luar   biasa   kepada   pihak   tertentu    yang
  menganggapnya  sebagai  durian runtuh.   Setelah  mendapat
  peluang  daripada  pakej ransangan  mereka  perlu  kembali
  kepada peluang-peluang biasa.
   
   
  Isu dan Cabaran
   
  Walaupun  kita  menjangkakan  persekitaran  ekonomi  dunia
  akan  bertambah  baik dalam tempoh akhir  Rancangan,  kita
  harus  bersedia  untuk menghadapi cabaran baru  yang  akan
  menguji  daya tahan, produktiviti, kecekapan dan kemampuan
  inovatif  kita. Persekitaran luaran, ekonomi  dan  politik
  akan terus menjadi perhatian utama.
   
  Walaupun  serangan ke atas Iraq adalah singkat  dan  kesan
  awal   kepada   ekonomi  adalah  terbatas,   namun   ianya
  mempunyai   kesan   jangka   panjang.   Seperti   dijangka
  pencerobohan   ke   atas  Iraq  diikuti  dengan   beberapa
  serangan   ke   atas  kepentingan  Amerika  Syarikat   dan
  sekutunya  di beberapa bahagian dunia. Keadaan  ini  boleh
  menimbulkan   ketidakstabilan   ke   atas   ekonomi    dan
  mempengaruhi   pemulihan  ekonomi.   Kurangnya   keyakinan
  pengguna   dan   perniagaan   melembapkan   dagangan   dan
  pelaburan.  Kos perniagaan dan pelaburan meningkat  kerana
  keperluan keselamatan.
   
  Walaupun  tidak  semua  daripada faktor-faktor  ini  dapat
  dikawal  oleh  kita,  tetapi  kita  masih  perlu  berusaha
  mengurangkan kesan buruk daripadanya.
   
  Globalisasi    mampu    meningkatkan    dagangan    tetapi
  interpretasi  globalisasi  yang  diterima  sekarang  lebih
  menguntungkan negara maju kerana tekanannya  ialah  kepada
  kebebasan  dagangan  dan  bukan  dagangan  yang   saksama.
  Keutamaan  kepada  persaingan  sudah  tentu  menguntungkan
  negara maju dan syarikat gergasi mereka.
   
  Kita  akan  cuba  menukar agenda Globalisasi  melalui  WTO
  (Organisasi  Dagangan Dunia).  Tetapi sementara  itu  kita
  perlu  bersiap  sedia untuk bersaing dalam  keadaan  tidak
  seimbang.
   
  Kita  juga  akan menyaksikan persaingan yang lebih  sengit
  daripada  negara  baru di pasaran dunia,  termasuk  negara
  China  dan  India. Negara-negara ini telah  muncul  dengan
  pantas  sebagai  pusat  tarikan  pelaburan  dan  pengeluar
  keluaran   dan  perkhidmatan  berteknologi.    Upah   yang
  rendah,  kerajinan  pekerja, pasaran  dalaman  yang  besar
  memberi kelebihan bersaing kepada mereka.
   
  Ahli  perniagaan  Malaysia harus mencari bahagian-bahagian
  tertentu  dan menumpukan tenaga dan modal kepada bahagian-
  bahagian  ini supaya keupayaan kita bersaing dalam  bidang
  tertentu  ini  meningkat.  Namun kita  jangan  buat  silap
  sekali  lagi  dengan terlalu bergantung kepada  sebilangan
  kecil  jenis  perniagaan  seperti dahulu  kita  bergantung
  kepada getah dan timah.
   
   
   
   
   
  Tumpuan Dasar Dalam Kajian Separuh Penggal
   
  Teras  dasar  Rangka Rancangan Jangka Panjang  Ketiga  dan
  Rancangan   Kelapan  akan  diteruskan   untuk   menghadapi
  cabaran  ini.   Di  samping itu,  Kajian  Separuh  Penggal
  menyokong Pakej Strategi Baru yang diperkenalkan pada  Mei
  2003  bertujuan menangani masalah kritikal dalam  beberapa
  bidang  untuk  menangani masalah dalaman dan  luaran  yang
  dihadapi.  Dengan ini, tumpuan dasar dalam Kajian  Separuh
  Penggal adalah untuk:
   
            - Memperkukuhkan asas ekonomi makro
            - Memperkuatkan ketahanan ekonomi bagi  menghadapi
              sebarang kejutan;
            - Meningkatkan keupayaan melawan persaingan;
            - Menggiatkan  semula  pelaburan  swasta   dalaman
              terutamanya,   untuk  kembali  menjadi   jentera
              pertumbuhan;
            - Menerokai sumber pertumbuhan baru;
            - Mempercepatkan   peralihan  daripada   teknologi
              rendah  dan  ekonomi  berintensif  tenaga  kerja
              kepada    ekonomi   berteknologi   tinggi    dan
              berasaskan pengetahuan;
            - Meningkatkan   kualiti   sumber   manusia   bagi
              memenuhi   keperluan  ekonomi   yang   diasaskan
              kepada nilai ditambah yang lebih tinggi;
            - Membangunkan masyarakat yang lebih  adil  dengan
              agihan kekayaan dan pembangunan samarata;
            - Menanam  nilai-nilai hidup  yang  sesuai  dengan
              kecapaian tinggi semua kaum, dan
            - Meningkatkan    kerjasama   antarabangsa    bagi
              kesejahteraan.

   
  Memperkukuhkan Prestasi Ekonomi Makro
   
  Kerajaan  akan  menguruskan ekonomi makro secara  berhemat
  bagi  memastikan asas ekonomi makro seperti  inflasi  yang
  rendah,   tabungan  yang  mencukupi,  kedudukan   imbangan
  pembayaran  yang sihat, kadar pertukaran yang  stabil  dan
  kedudukan   fiskal  yang  berhemat  terus   diperkukuhkan.
  Usaha  juga akan dibuat untuk memperluaskan asas  ekonomi,
  membangunkan sektor kewangan dan pasaran modal yang  lebih
  cekap  serta memperbaiki risiko pengurusan dan pentadbiran
  korporat.
   
  Prospek ekonomi makro dijangka lebih baik untuk dua  tahun
  yang  akan datang. KDNK sebenar dijangka tumbuh pada kadar
  purata   6.0  peratus  setahun  selaras  dengan   keluaran
  potensi  ekonomi  dalam jangka panjang. Kadar  pertumbuhan
  ini   akan  mengembalikan  kita  ke  landasan  asal  untuk
  mencapai  sasaran pembangunan dalam Dasar  Wawasan  Negara
  dan  Wawasan  2020.  Berdasarkan  kadar  pertumbuhan  ini,
  Keluaran  Negara  Kasar  per kapita  akan  meningkat  pada
  purata  4.4 peratus kepada RM15,600 dan kuasa beli  pariti
  meningkat  dengan lebih tinggi sebanyak 5.5 peratus  serta
  mencapai AS10,400 dolar pada tahun 2005.
  Pertumbuhan   dijangka  disokong  oleh  permintaan   dalam
  negeri  dan  pertumbuhan  ekonomi dunia  yang  berterusan.
  Permintaan  swasta  akan menjadi peneraju  kepada  ekonomi
  Malaysia  selaras  dengan dasar yang  menggalakkan  sektor
  swasta   untuk   menerajui   pertumbuhan   ekonomi.   Kita
  menjangkakan  pelaburan swasta akan pulih  dan  tumbuh  12
  peratus  setahun  berikutan  permintaan  dalam  dan   luar
  negeri  yang semakin baik. Perusahaan Kecil dan  Sederhana
  (PKS)   akan   dijadikan   pemangkin   untuk   menggiatkan
  pelaburan  dalam negeri. Kita mahu melihat  PKS  memainkan
  peranan  yang  penting  dalam ekonomi  seperti  di  negara
  Jepun,  Korea Selatan dan Taiwan. Untuk memajukan  PKS  di
  Malaysia,  usaha  bersepadu akan dibuat untuk  meninggikan
  kemahiran  teknologi, menggalakkan penggunaan  ICT  secara
  meluas   serta   meningkatkan   kemampuan   mencipta   dan
  membangunkan  produk  baru berjenama sendiri.  Usaha  juga
  akan  terus diambil untuk mempertingkatkan pencapaian  PKS
  terhadap   kemudahan   pembiayaan,  termasuk   menyediakan
  kemudahan   pembiayaan   yang   dibentuk   sesuai   dengan
  keperluan khusus mereka.
   
  Sementara  kita  akan terus menggalakkan  pelaburan  asing
  langsung,   perhatian  yang  lebih  akan   diberi   kepada
  pelaburan   tempatan.   Pertanian,  terutamanya   ternakan
  lembu,  kambing,  ikan  air tawar dan  air  masin,  ladang
  tanaman  campuran mempunyai potensi yang  besar.   Pelabur
  dalam  bidang-bidang ini akan dibantu dan diberi  insentif
  terutama  yang bertujuan keluaran untuk eksport.  Demikian
  juga  industri fabrikasi logam dan eksport kecekapan dalam
  bidang    pembangunan   infrastruktur.    Kerajaan    akan
  bekerjasama dengan kontraktor Malaysia untuk mendapat  dan
  melaksanakan projek di luar negara.
   
  Penggunaan   swasta  dijangka  tumbuh  pada  kadar   tujuh
  peratus disebabkan keyakinan pengguna yang berterusan  dan
  pendapatan  boleh  guna yang meningkat. Dasar  fiskal  dan
  kewangan  yang lebih baik, peluang pekerjaan  yang  cerah,
  pemulihan  dalam  permintaan luar negeri,  harga  komoditi
  yang  lebih  baik  dan  kesan positif  keuntungan  pasaran
  saham  yang  cergas  akan  menggalakkan  penggunaan   oleh
  swasta.  Dasar  kita untuk mengekalkan  kadar  faedah  dan
  inflasi  yang rendah akan meningkatkan permintaan terhadap
  barangan tahan lama.
   
  Bagaimanapun,  Kerajaan akan mengurangkan  pelaburan  awam
  kepada tahap yang lebih sihat dalam tempoh dua tahun  akan
  datang   berikutan  dengan  jangkaan  pemulihan  pelaburan
  sektor  swasta dan pertumbuhan penggunaan awam yang  lebih
  baik.
   
  Dengan  prospek  perdagangan  dunia  yang  semakin   baik,
  eksport   Malaysia  dijangka  meningkat   dan   berkembang
  sebanyak   7.4  peratus  setahun.  Berikutan  dengan   ini
  lebihan akaun dagangan akan dapat dikekalkan dalam  tempoh
  kajian    semula.   Defisit   akaun   perkhidmatan    akan
  berkurangan  kerana  aliran  masuk  yang  tinggi   melalui
  sektor  pelancongan,  pendidikan, pengangkutan,  kewangan,
  kesihatan dan perkhidmatan profesional. Bagi tempoh  akhir
  Rancangan,  lebihan  akaun  semasa  dijangka  terus  dapat
  dikekalkan  pada tahap 10 peratus daripada KNK pada  tahun
  2005.
  Sektor  pembuatan  dan  perkhidmatan  akan  terus  menjadi
  penyumbang  utama  kepada  pertumbuhan.  Sektor  pembuatan
  dijangka  kembali  kepada  paras pertumbuhan  yang  tinggi
  iaitu  7.8  peratus  setahun  berikutan  permintaan   yang
  kembali  sihat dalam sektor kecil elektronik dan  elektrik
  serta   kelengkapan   pengangkutan.  Sektor   perkhidmatan
  dijangka   berkembang   sebanyak  6.0   peratus   setahun,
  disumbang   terutamanya   oleh  sektor   kecil   kewangan,
  insurans,   harta   tanah  dan  perkhidmatan   perniagaan;
  perdagangan  borong  dan  runcit, pelancongan,  hotel  dan
  restoran, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.
   
   
  Meningkatkan Daya Saing dan Ketahanan
   
  Sebagaimana  telah saya nyatakan dalam ucapan Bajet  2004,
  berasaskan  laporan World Competitiveness Year Book  2003,
  Malaysia  menduduki tangga keempat negara  paling  berdaya
  saing  di  kalangan  negara  berpenduduk  lebih  20  juta.
  Pencapaian  ini merupakan kemajuan besar bagi  daya  saing
  negara  daripada kedudukan kesepuluh pada tahun  2001  dan
  kedudukan  keenam pada tahun 2002. Daripada segi  prestasi
  ekonomi,   kecekapan  pemerintahan  Kerajaan,   pengurusan
  perniagaan   serta  infrastruktur,  Malaysia   adalah   di
  kalangan sepuluh negara teratas.
   
  Kita  boleh  berbangga dengan pencapaian kita akan  tetapi
  kita  tidak  boleh berasa terlalu selesa dan  alpa  dengan
  pencapaian  tersebut.  Kita harus  ingat  bahawa  walaupun
  kita  adalah  negara perdagangan global yang besar  tetapi
  sumbangan dagangan kepada ekonomi negara agak kecil.   Ini
  adalah  kerana  peratusan yang besar  eksport  dan  import
  kita   dimiliki  oleh  pelabur  asing.   Sumbangan  kepada
  pendapatan  kita  tidaklah seimbang dengan  saiz  dagangan
  mereka.   Justeru  itu  kita  akan  memberi  galakan   dan
  tekanan  kepada industri milik tempatan yang menyumbangkan
  lebih    banyak   kepada   pertumbuhan   ekonomi   negara.
  Kebolehan  kita dalam bidang industri telah meningkat  dan
  menjadi  lebih canggih.  Kita sekarang mampu  mengeluarkan
  hampir semua barangan buatan yang dieksport oleh kita  dan
  lebih  dari  itu.   Jepun, Korea dan  China  membeli  atau
  mempelajari  teknologi  asing  dan  mengadakan  perusahaan
  mereka sendiri.  Dan mereka berjaya.  Kita sekarang  mampu
  berbuat   demikian.    Di   samping   terus   menggalakkan
  pelaburan  asing, kita hendaklah berusaha supaya pelaburan
  tempatan ditingkatkan.
   
  Untuk  ini Kerajaan akan mengambil inisiatif secara  lebih
  tersusun  untuk  mewujudkan suasana mesra perniagaan  yang
  dapat  menjana  kekayaan. Kita akan terus  berusaha  untuk
  mengurangkan  kos menjalankan perniagaan, mengkaji  semula
  struktur  insentif,  memperbaiki  perolehan  pasaran   dan
  memastikan  bekalan  sumber manusia  yang  sejajar  dengan
  perubahan  teknologi  dan permintaan  pasaran.  Kita  juga
  perlu   meningkatkan  penggunaan  keupayaan  infrastruktur
  yang  telah  dibina dengan lebih tinggi bagi  meningkatkan
  kecekapan  dan  produktiviti ekonomi yang lebih  luas.  Di
  mana  perlu, Kerajaan akan terus menyediakan infrastruktur
  fizikal yang baru dan terkini.
   
  Sebagaimana  telah  diumumkan dalam  Pakej  Strategi  Baru
  pada  bulan  Mei  tahun  ini,  Kerajaan  beriltizam  untuk
  melonggarkan    peraturan    dan    memperbaiki     sistem
  penyampaian.   Ianya  akan  memudahkan   lagi   pelaburan,
  mempercepatkan   proses  kelulusan  di  setiap   peringkat
  pentadbiran,    meringkaskan    proseidur,     mengukuhkan
  kemampuan   dan   keupayaan  sumber   manusia,   meluaskan
  penggunaan   teknologi  maklumat  dan  komunikasi   (ICT),
  memastikan   pematuhan   piagam   pelanggan   di   samping
  mengukuhkan keutuhan pengurusan dan tadbir urus.
   
  Namun  untuk  mengalih strategi pertumbuhan daripada  yang
  berasas  input  kepada yang berasaskan produktiviti  tetap
  akan  memakan masa. Dalam tempoh kajian semula,  sumbangan
  produktiviti  faktor keseluruhan (TFP) atau  Total  Factor
  Productivity  kepada pertumbuhan KDNK adalah 25.5  peratus
  manakala  selebihnya  disumbangkan oleh  input  buruh  dan
  modal.   Kita   perlu  menekankan  bahawa   dalam   jangka
  sederhana  dan  panjang, kemajuan dalam TFP  akan  menjadi
  lebih  penting  dalam memacu pertumbuhan  yang  berterusan
  berbanding kadar pelaburan yang tinggi.
   
  Kajian  produktiviti  di  peringkat  firma  baru-baru  ini
  mendapati   bahawa  terdapat  variasi  yang  besar   dalam
  prestasi  produktiviti  di  kalangan  industri.  TFP  yang
  tinggi   dicatatkan   di  kalangan   firma   yang   besar,
  berteknologi   canggih,  yang  mengeksport  dan   terlibat
  dengan   FDI.   Juga   didapati   firma   yang   mempunyai
  produktiviti  yang  tinggi akan tumbuh lebih  cepat.  Oleh
  itu,  syarikat-syarikat seharusnya memberi lebih keutamaan
  untuk  meningkatkan  produktiviti  dan  kecekapan.  Mereka
  harus  memperkuatkan  teknologi baru, membuat  pembaharuan
  dan  memulakan  P&P, mempertingkatkan  penggunaan  ICT  di
  dalam operasi dalaman dan luaran mereka, mengurangkan  kos
  pengeluaran   dan   meningkatkan   kualiti   barang    dan
  perkhidmatan    mereka.    Produktiviti    buruh     perlu
  ditingkatkan   dengan   meningkatkan   kemahiran    secara
  berterusan  dan  memperbaiki  kemahiran  keusahawanan  dan
  pengurusan.  Firma juga perlu beralih kepada  sistem  upah
  yang dikaitkan dengan produktiviti.
   
   
  Meneruskan Agenda Pengagihan
   
  Sebelum  Dasar  Ekonomi Baru diperkenalkan, kemiskinan  di
  Malaysia  berada pada kadar 52.4 peratus pada tahun  1970.
  Semasa   pembentangan  Kajian  Separuh  Penggal  Rancangan
  Malaysia  Keempat pada tahun 1983, tahap kemiskinan  masih
  tinggi  iaitu  kira-kira 21 peratus. Kini,  sukacita  saya
  menyatakan   bahawa   tahap   kemiskinan   negara    telah
  berkurangan  kepada 5.1 peratus pada tahun 2002  dan  kita
  menjangkakan  kemiskinan mutlak dapat  dibasmi  sepenuhnya
  pada   tahun  2005.  Daripada  segi  pendapatan  isirumah,
  purata  di  Malaysia  telah meningkat sebanyak  tiga  kali
  ganda  daripada  RM1,098 sebulan pada  tahun  1983  kepada
  RM3,011  sebulan  pada tahun 2002. Kenaikan  mendadak  ini
  tidak terlihat di mana-mana negara lain.
   
  Daripada  angka-angka ini adalah jelas program pembangunan
  dan  pengurangan kemiskinan oleh Kerajaan berjaya mencapai
  matlamatnya.   Tetapi  apabila  kemiskinan   sudah   dapat
  dihapuskan   kita   perlu  tingkatkan   paras   pendapatan
  kemiskinan supaya usaha akan terus dibuat untuk  menaikkan
  pendapatan  mereka yang berada di bawah  paras  kemiskinan
  yang baru.
   
  Oleh   itu   Kerajaan   akan   terus   melaksanakan   Skim
  Pembangunan  Kesejahteraan Rakyat  (SPKR)  melalui  projek
  yang  dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi.   Tetapi
  rakyat sendiri perlu bantu dengan menguasai kecekapan  dan
  ilmu  serta sanggup bekerja dengan lebih rajin dan  tekun.
  Antara  program  yang akan diteruskan termasuklah  Program
  Pembangunan  Bersepadu Desa Terpencil, Program Pembangunan
  Minda  Insan,  Program  Bantuan Perumahan  dan  Skim  ASB-
  Sejahtera.
   
  Sebuah  kajian khas pendapatan isirumah sedang  dijalankan
  untuk   menentukan  keadaan  kemiskinan   sebenar,   tahap
  pendapatan  dan kualiti hidup golongan minoriti Bumiputera
  di  Sabah  dan Sarawak. Fasa pertama kajian yang  meliputi
  sembilan  golongan minoriti telah siap  dan  ia  mendapati
  tahap   kemiskinan  adalah  tertinggi  di  kalangan   kaum
  Rungus,  Sulu dan Orang Sungei di Sabah dan Penan,  Kenyah
  dan  Kajang di Sarawak.  Di Semenanjung orang asli  adalah
  antara  yang  termiskin. Berdasarkan kajian ini,  Kerajaan
  sedang  merumuskan  program  yang  lebih  tertumpu  kepada
  menaikkan  taraf hidup masyarakat yang tinggal di  kawasan
  pedalaman  dan  terpencil di Sabah dan Sarawak  dan  orang
  asli di Semenanjung.
   
  Selain    daripada   program   Kerajaan   untuk   membasmi
  kemiskinan,  badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor  swasta
  perlu  memperluaskan aktiviti dan liputan  program  mereka
  dalam membantu golongan miskin.
   
  Yang  terpenting dalam usaha ini ialah mewujudkan  peluang
  pekerjaan,   memberi  pendidikan  dan  latihan.    Bantuan
  subsidi  adalah pendekatan yang menghakiskan jatidiri  dan
  kejayaan  usaha  untuk  membangunkan  masyarakat  Malaysia
  yang  berdayatahan.   Kerajaan akan  mengurangkan  subsidi
  secara beransur-ansur.
   
  Isu   ketidakseimbangan  pendapatan  di  antara   dan   di
  kalangan kumpulan etnik, kumpulan pendapatan, wilayah  dan
  negeri   akan   terus   ditangani.   Kini   jarak   antara
  pendapatan   yang  tertinggi  dan  yang   terendah   dalam
  Kerajaan  telah  dikurangkan.  Di  waktu  merdeka  dicapai
  gaji  pegawai  tertinggi Kerajaan  adalah  78  kali  ganda
  berbanding  dengan  kakitangan  yang  terendah.   Demikian
  juga  jarak pendapatan tinggi dan rendah swasta.  Sekarang
  gaji  tertinggi  pegawai  Kerajaan  hanya  29  kali  ganda
  berbanding gaji yang terendah.
   
  Berkenaan  dengan  penyusunan  semula  masyarakat,   semua
  kumpulan etnik telah mencatat peningkatan hak milik  modal
  saham  dalam  tempoh kajian semula. Hak milik modal  saham
  Bumiputera  telah  meningkat  daripada  RM63  bilion  pada
  tahun  2000  kepada RM73.2 bilion pada tahun  2002,  iaitu
  mencatat  kadar  pertumbuhan 7.8  peratus  setahun.  Walau
  bagaimanapun,  peratusan  ekuiti  saham  Bumiputera  telah
  berkurangan sedikit daripada 18.9 peratus pada tahun  2000
  kepada   18.7  peratus  pada  tahun  2002.  Syarikat   dan
  perniagaan  Bumiputera  masih  terlalu  rapuh  dan   mudah
  dirosakkan   oleh  faktor-faktor  seperti  kegawatan   dan
  pertumbuhan  ekonomi  yang rendah.   Peratusan  hak  milik
  modal   saham  masyarakat  Cina  telah  meningkat   kepada
  RM159.8  bilion  pada  tahun 2002, berkembang  pada  kadar
  11.2   peratus   setahun  dalam  tempoh   kajian   semula.
  Sementara  itu,  ekuiti masyarakat India  telah  meningkat
  kepada  hampir  RM6 bilion pada tahun 2002,  dengan  kadar
  pertumbuhan sebanyak 7.6 peratus.
   
  Kerajaan menyedari bahawa usaha untuk meningkatkan  ekuiti
  Bumiputera  dalam  tempoh  akhir  Rancangan  akan  menjadi
  lebih  mencabar  terutamanya  berikutan  globalisasi   dan
  liberalisasi  pasaran  yang lebih  luas.  Sehubungan  itu,
  lebih  banyak  usaha diperlukan untuk menyediakan  peluang
  kepada  Bumiputera dalam sektor terpilih sekiranya sasaran
  30  peratus  ekuiti Bumiputera menjelang tahun 2010  ingin
  dicapai.  Untuk  itu,  Kerajaan  akan  menubuhkan   sebuah
  institusi pelaburan yang baru, Dana Harapan untuk  menarik
  dan  menggerakkan sumber kewangan Bumiputera. Langkah  ini
  akan  membolehkan  pengenalan keluaran  unit  amanah  yang
  inovatif  dan  mengembangkan lagi peluang pelaburan  untuk
  Bumiputera.  Di  samping  itu,  Kerajaan  akan  memberikan
  sekurang-sekurangnya  60 peratus  daripada  perolehan  dan
  kerja  kontrak  dalam projek  Kerajaan  kepada  Bumiputera
  yang  menunjuk  kecekapan  dan  bersikap  bertanggungjawab
  dalam melaksanakan kontrak yang diberi kepada mereka.
   
  Sebagai   sebahagian  daripada  usaha  penyusunan  semula,
  penekanan  telah  juga  diberikan  untuk  menyusun  semula
  pekerjaan   bagi   memastikan   corak   pekerjaan    dapat
  mencerminkan  komposisi  etnik  dan  negara.  Kita   telah
  menyaksikan    bahawa   terdapatnya   peningkatan    dalam
  penyertaan  Bumiputera dalam kategori pekerja profesional,
  pengurusan  dan pekerjaan berpendapatan tinggi yang  lain.
  Bagi   lapan   pekerjaan  professional   terpilih,   iaitu
  akauntan,  arkitek,  doktor, doktor gigi,  doktor  haiwan,
  jurutera,  juruukur dan peguam, nisbah bilangan Bumiputera
  yang  berdaftar telah meningkat daripada 35.5 peratus pada
  tahun 2000 kepada 37.2 peratus pada tahun 2002.
   
  Pendidikan  dan  latihan  akan  kekal  sebagai  pendekatan
  terpenting  untuk  mencapai objektif penstrukturan  semula
  pekerjaan.  Bantuan akan diberi kepada pelajar  Bumiputera
  yang  berkelayakan untuk menuntut di institusi  pendidikan
  tinggi  awam  dan swasta, terutamanya dalam bidang  sains,
  ICT  dan kursus professional. Pendidikan moral dan semaian
  nilai-nilai  hidup yang mulia akan dipupuk  supaya  budaya
  yang  sesuai  dengan  kejayaan  diterap  dan  diamal  oleh
  mereka.  Langkah  untuk  meningkatkan  penglibatan   bukan
  Bumiputera    di   perkhidmatan   awam   akan   diteruskan
  terutamanya  dalam profesion yang kurang  diceburi  bukan-
  Bumiputera  seperti  perguruan, kejururawatan,  polis  dan
  tentera.  Kita  mengambil maklum, bahawa bukan  Bumiputera
  telah diwakili sepenuhnya dalam profesion yang lain.
   
  Kerajaan  juga  akan terus melaksanakan  pelbagai  program
  dan   memberikan  bantuan  untuk  membangunkan  Masyarakat
  Perdagangan  dan  Perindustrian  Bumiputera  (MPPB)   yang
  berdaya  saing  dan berdaya tahan. Pakej  program  seperti
  Program  Pembangunan Vendor, Program Pembangunan Francais,
  Skim   Modal  Teroka  dan  usahasama  yang  telah  memberi
  penekanan  kepada  pengurusan  berkualiti,  kecekapan  dan
  etika  perniagaan yang baik akan digalakkan untuk membantu
  membangunkan MPPB.
   
   
  Mempercepatkan   Peralihan   Kepada   Ekonomi   Berasaskan
  Pengetahuan dan Teknologi Tinggi
   
  Maklumat  dan  pengetahuan telah menjadi  semakin  penting
  untuk   menghasilkan  pertumbuhan  ekonomi   yang   mapan,
  mengekalkan   daya  saing  dan  merubah  cara   pentadbir,
  industri  dan  individu mengendalikan urusan mereka.  Kita
  telah  memulakan  usaha  untuk  beralih  daripada  ekonomi
  berasaskan  input  kepada ekonomi  berasaskan  pengetahuan
  dan produktiviti pada pertengahan tahun 1990an.
   
  Kita meletakkan asas bagi ekonomi berasaskan maklumat  dan
  pengetahuan  dengan  penggubalan  Agenda  IT  Negara   dan
  penubuhan   Koridor  Raya  Multimedia.  Rangka   Rancangan
  Jangka  Panjang  Ketiga pada tahun 2001  telah  mengulangi
  iltizam   Kerajaan   untuk   mengambil   pendekatan   yang
  menyeluruh  untuk  menggerakkan peralihan  kepada  ekonomi
  berasaskan   maklumat  dan  pengetahuan.  Kita  seterusnya
  merangka  Pelan Induk Ekonomi Berasaskan Pengetahuan  pada
  tahun  2002 yang mengandungi kesemua aspek yang diperlukan
  untuk   dilaksanakan  bagi  membolehkan   peralihan   ini,
  termasuklah   dalam  bidang  infrastruktur   fizikal   dan
  institusi,  keupayaan  sains  dan  teknologi  di   samping
  menangani    isu    jurang    digital.    Tekanan    untuk
  mempercepatkan  lagi  proses ini telah  semakin  bertambah
  berikutan peningkatan persaingan global.
   
  Walaupun  Malaysia  telah  bersiap  sedia  untuk  menerima
  ekonomi  berasas pengetahuan, aktiviti daya cipta tempatan
  masih  lagi  ketinggalan. Keupayaan inovasi dan  teknologi
  di  kalangan  industri  kita  pada  amnya  adalah  rendah.
  Kebanyakan  industri  tempatan  adalah  hanya  menggunakan
  teknologi  sedia ada atau yang diubahsuai.  Kemajuan  yang
  dicapai oleh industri getah dan kelapa sawit hasil  kajian
  daripada   penyelidik  dan  pembangunan  tidak  berkembang
  kepada   bidang  industri  pembuatan.  Sekiranya  industri
  pembuatan  terus  dengan  menunggu  ciptaan  orang   lain,
  mereka  tetap akan tertinggal di belakang dan akan merosot
  prestasi.   Kerajaan   beriltizam   untuk   memperkenalkan
  insentif   yang   bersesuaian   untuk   menggalakkan   dan
  memperbaiki S&T serta keupayaan inovasi agar lebih  banyak
  firma  Malaysia berupaya membuat peralihan teknologi untuk
  menjadi pereka cipta.
   
  Kerajaan  pada tahun ini telah melancarkan Dasar  Sains  &
  Teknologi  II  bertujuan  untuk menyediakan  rangka  kerja
  bagi   menggalakkan   langkah   ini.   Dasar   ini   telah
  memperkenalkan  beberapa dimensi baru dan penekanan  untuk
  mengukuhkan  penyelidikan  serta  kapasiti  dan  keupayaan
  teknologi,     pengkomersialan     hasil     penyelidikan,
  pembangunan sumber manusia, memupuk budaya sains,  inovasi
  dan   keusahawanan  di  samping  memastikan  lebih  banyak
  penerapan   dan   penggunaan   teknologi   berlaku.   Bagi
  meningkatkan  lagi pengkomersialan, penemuan P&P,  langkah
  akan  dilaksanakan  untuk  meningkatkan  kadar  penyebaran
  hasil   penyelidikan   yang  dijalankan   oleh   institusi
  penyelidikan  awam dan universiti di samping  meningkatkan
  kerjasama  sektor  awam dan swasta.   Saya  ingin  menyeru
  sektor  swasta  untuk menyokong inisiatif Kerajaan  dengan
  melabur   dalam  P&P  dan  bekerjasama  dengan   institusi
  pendidikan tinggi dan institusi penyelidikan.
   
  Untuk  memastikan penawaran sumber tenaga  S&T  berkualiti
  yang  mencukupi,  pelajar terbaik  akan  digalakkan  untuk
  mengikuti   program   dalam  sains  tulen,   termasuk   di
  peringkat  selepas  ijazah  dan selepas  doktor  falsafah.
  Biasiswa  tambahan dan lain-lain bentuk  bantuan  kewangan
  akan  disediakan  untuk tujuan ini. Kita akan  juga  terus
  melonggarkan   prosedur  untuk  mengambil  pekerja   asing
  berkemahiran    tinggi    dalam   sektor    berintensifkan
  teknologi.
   
  Bioteknologi telah dikenalpasti sebagai salah satu  bidang
  penting yang akan menyumbang kepada peralihan Malaysia  ke
  arah  negara  maju menjelang tahun 2020.  Untuk  menyokong
  pembangunan industri bioteknologi di Malaysia,  tiga  buah
  makmal  sementara telah ditubuhkan iaitu di bidang genomik
  dan  biologi  molekular di UKM, bioteknologi pertanian  di
  MARDI  dan  nutraseutikal serta bioteknologi farmaseutikal
  di   UPM.  Di  samping  itu,  usahasama  strategik  dengan
  Massachusetts  Institute of Technology  di  bawah  Program
  Kerjasama   Bioteknologi  Malaysia-MIT  telah  menyediakan
  asas   bagi   mempercepatkan  pembangunan  keupayaan   dan
  kapasiti P&P tempatan dalam bidang bioteknologi.
   
  Malaysia  mempunyai potensi untuk dibangun sebagai  sebuah
  hab  serantau  dan  global bagi ICT dan multimedia.  Dalam
  tempoh  kajian  semula, Kerajaan telah melaksanakan  usaha
  bersepadu  bagi mencapai matlamat ini. Beberapa  perubahan
  dasar  telah  dibuat untuk meliberalisasi dan menggalakkan
  persekitaran   yang  berdaya  saing  dan   dinamik   untuk
  pertumbuhan   sihat  bagi  industri  ICT  dan  multimedia.
  Inisiatif  ini  telah berjaya merangsang pertumbuhan  bagi
  pelbagai  perkhidmatan yang mempunyai nilai ditambah  yang
  tinggi,  termasuklah aplikasi berasaskan suara,  data  dan
  teks   dan   juga  pasaran  untuk  perhubungan  berasaskan
  elektronik dan pusat data dalam negara.
   
    Pelaburan kita dalam infrastruktur ICT berkualiti tinggi
  telah  membantu meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai
  lokasi  yang  diutamakan untuk MNC menubuhkan ibu  pejabat
  operasi,  pusat  perolehan antarabangsa, pusat  pengagihan
  serantau,  pusat logistik bersepadu, dan pusat  P&P.  Bagi
  mempercepatkan  pembangunan  Malaysia  sebagai  hub   ICT,
  dalam  tempoh kajian semula National ICT Strategic Roadmap
  akan  disediakan,  di samping memperluaskan  infrastruktur
  telekomunikasi.
  Koridor  Raya  Multimedia, yang  telah  dilancarkan  tujuh
  tahun   lalu,   telah  berjaya  mempergiatkan  pembangunan
  industri  yang  berkait  dengan  ICT.  Pada  akhir   bulan
  September  2003,  sebanyak  903 syarikat  telah  diberikan
  status  MSC, termasuk 59 syarikat bertaraf dunia  dan  277
  syarikat milik asing. Jumlah jualan syarikat bertaraf  MSC
  telah  meningkat  kepada RM 3.63 bilion pada  tahun  lepas
  dengan jualan eksport bernila RM 620 juta.
   
  Kita  juga  telah meletakkan rangka kerja  bertaraf  dunia
  dengan   menggubal  undang-undang  siber  dan   menjadikan
  Cyberjaya dan Putrajaya sebagai bBandar bistari  utama  di
  dunia.  Dalam  Mesyuarat  Penasihat  Antarabangsa  ketujuh
  yang  diadakan baru-baru ini, MSC telah menerima  sokongan
  dan  pujian kerana kemajuan luar jangkaan daripada anggota
  badan   tersebut.  Dalam  tempoh  fasa  kedua  yang   akan
  berakhir  pada  tahun  2010, MSC akan disambungkan  dengan
  bandar siber yang lain di dunia
   
  Semasa  negara  sedang bergerak ke arah  pembangunan  ICT,
  kita  sentiasa  sedar  akan  perlunya  untuk  mengurangkan
  jurang  digital  di  antara  lokasi  dan  masyarakat.  Ini
  adalah  untuk  memastikan supaya  mereka  yang  berada  di
  kawasan  luar bandar dan terpencil tidak akan  ketinggalan
  dalam   proses  peralihan  ini.  Kerajaan  telah  melipat-
  gandakan  usaha  untuk  menyediakan  kemudahan   ICT   dan
  capaian   internet  untuk  kumpulan  ketinggalan  termasuk
  menubuhkan  16  pusat Internet Desa dan 15 pusat  InfoDesa
  di seluruh negara.
   
  Untuk  mengurangkan  lagi  jurang  digital,  Rangka  Kerja
  Jurang Digital Negara akan dirumus bagi menyediakan  garis
  panduan   terhadap  pelaksanaan  projek  dan   mengelakkan
  pertindihan  kerja.  Penguasaan  Bahasa  Inggeris  disemua
  peringkat   serta   penggunaan   bahasa   inggeris   untuk
  pelajaran  sains dan matematik dipercayai akan  menyumbang
  kepada usaha ini.
   
   
  Pembangunan Sumber Manusia
   
  Modal  manusia  adalah kunci masa depan  kita.  Mewujudkan
  tenaga  kerja yang berdaya saing secara global ialah  asas
  kepada peningkatan daya saing dan tarikan pelaburan  baru.
  Untuk   tujuan   ini,  pembangunan  sumber  manusia   akan
  menumpukan   kepada   tiga  dimensi   iaitu,   pembangunan
  pengetahuan,  pencapaian  kemahiran  dan  penanaman  nilai
  positif.  Membangunkan pekerja yang  berpendidikan  tinggi
  dan  mempunyai  kemahiran yang pelbagai  tidak  semestinya
  menjamin  produktiviti  yang  tinggi  kerana  adalah  juga
  penting bagi pekerja berkenaan mempunyai etika kerja  yang
  baik di semua peringkat.
   
  Sesungguhnya   kejayaan  atau  kegagalan  sesuatu   bangsa
  mempunyai  kaitan  yang rapat dengan budaya  iaitu  jumlah
  nilai-nilai  yang  dipegang dan diamal  oleh  bangsa  itu.
  Oleh  itu  kerajaan akan berusaha untuk  membentuk  budaya
  bangsa  Malaysia  yang  bersikap positif  terhadap  kerja,
  berdisiplin, rajin dan bertanggungjawab.  Jika budaya  ini
  diserapkan, semua rakyat Malaysia samada di desa  atau  di
  bandar,  daripada  apa jua kumpulan etnik  akan  menikmati
  kehidupan yang selesa dan sejahtera.
   
  Justeru  itu  pusat-pusat  latihan  dan  pendidikan   akan
  memasukkan   pengajaran  berkenaan  budaya  dan   kesannya
  semasa memberi latihan kemahiran dan didikan.
   
  Kita  sedar bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik amat
  penting dalam mempengaruhi perubahan teknologi. Oleh  itu,
  penekanan  yang  lebih akan diberikan  kepada  kedua  mata
  pelajaran   ini.   Selain  daripada   menggunakan   Bahasa
  Inggeris   sebagai   bahasa  pengantar,   pengajaran   dan
  pembelajaran  mata pelajaran ini di sekolah  akan  menjadi
  lebih  menarik dengan menggunakan bahan kursus  elektronik
  berorientasikan  tempatan  dan  memberi  penekanan   besar
  kepada kerja amali dalam sains.
   
  Matlamat  kita  ialah  untuk  terus  meningkatkan  kualiti
  tenaga  kerja.  Pada tahun 2010, 35 peratus  tenaga  buruh
  akan  memiliki kelayakan di tahap tertiari, iaitu dua kali
  lebih  tinggi  berbanding dengan 17.1  peratus  pada  masa
  kini.  Sasaran ini masih lagi rendah berbanding  kadar  di
  sesetengah  negara  maju pada masa  kini  seperti  Amerika
  Syarikat  41  peratus,  Finland  36  peratus,  Ireland  43
  peratus dan Jepun 36 peratus.
   
  Bagi  memenuhi  permintaan terhadap  pendidikan  tertiari,
  khususnya  dalam bidang teknikal, di samping mengembangkan
  keupayaan  universiti  yang sedia  ada,  kita  kini  telah
  menubuhkan   kolej   universiti.  Kolej   universiti   ini
  menumpukan   kepada  bidang  pengajian  kejuruteraan   dan
  teknologi  dan memberi penekanan kepada pengalaman  hands-
  on   dengan  menggunakan  pendekatan  pembelajaran  secara
  amali   dan  experiential.  Kita  dapati  bahawa  kumpulan
  siswazah   yang   pertama  kali  dihasilkan   oleh   kolej
  universiti mudah mendapat pekerjaan.
   
  Memandangkan  kapasiti  sektor awam  yang  terhad,  sektor
  swasta  perlu terus meluaskan pembabitan dalam  pendidikan
  dan  latihan.   Pengurangan kadar  faedah  dan  penyemakan
  semula    bayaran   balik   pinjaman   Perbadanan   Tabung
  Pendidikan  Tinggi Nasional seperti yang  diumumkan  dalam
  Bajet  2004  akan  membolehkan  lebih  ramai  calon   yang
  berkelayakan melanjutkan pelajaran di peringkat  tertiari.
  Peruntukan  tambahan sebanyak RM500 juta telah  disediakan
  kepada  Tabung  Pembangunan  Kemahiran  untuk  membolehkan
  lebih  ramai  calon  mengikuti  latihan  kemahiran.  Garis
  panduan  untuk  penyediaan pinjaman  telah  dikaji  semula
  untuk memastikan keberkesanan tabung ini.
   
  Pertumbuhan  ekonomi  yang perlahan  dalam  tempoh  kajian
  semula  telah  mengakibatkan peningkatan  jumlah  siswazah
  yang   menggangur.  Bagi  mengurangkan  keadaan  ini   dan
  mengambil  faedah daripada pasaran pekerjaan  yang  kurang
  aktif,  Kerajaan  telah melancarkan program  latihan  yang
  khusus  pada  tahun  2001  untuk  terus  mempelbagai   dan
  meningkatkan pengetahuan dan kemahiran siswazah  tersebut.
  Di  bawah  Pakej  Strategi Baru dan Bajet  2004,  Kerajaan
  telah   menyediakan  dana  tambahan  untuk   latihan   dan
  insentif  cukai ke atas kos yang ditanggung  oleh  majikan
  untuk  mengambil  siswazah ini. Untuk  terus  meningkatkan
  peluang  pekerjaan  kepada siswazah, institusi  pendidikan
  tinggi  akan  mengiatkan  usaha  untuk  melengkapkan  soft
  skill   mereka  seperti  kebolehan  berkomunikasi,   kerja
  berpasukan dan keupayaan menyelesaikan masalah.
   
  Dihampir  semua  negara  di dunia kefasihan  dalam  Bahasa
  Inggeris  dianggap  begitu penting  sehingga  pembelajaran
  bahasa  ini  diberi keutamaan.  Jika kita  ingin  bersaing
  untuk  mendapat pekerjaan, kita juga perlu memberi tekanan
  yang  sama.   Oleh kerana itu, pelajaran Bahasa  Inggeris,
  Sains  dan  Matematik ditekankan dan diajar  dalam  bahasa
  berkenaan.     Penguasaan    bahasa-bahasa    lain    juga
  digalakkan.   Dalam  zaman  ini tiap  seorang  yang  ingin
  kejayaan perlu menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa.
   
  Latihan  di tempat kerja akan dijadikan sebahagian penting
  dalam  sistem penyampaian latihan untuk memastikan latihan
  kemahiran   lebih   berorientasikan   keperluan   pasaran.
  Pelaksanaan  pendekatan latihan berkembar yang disesuaikan
  mengikut  keperluan  tempatan, akan  memastikan  kemahiran
  dan   pengetahuan  pekerja  sentiasa  dikemas  kini  untuk
  menyamai dengan proses pengeluaran yang semakin moden  dan
  canggih  yang  digunakan  oleh firma.  Pendekatan  latihan
  ini,  yang  membabitkan latihan di institusi  latihan  dan
  tempat  kerja, akan menyumbang kepada peningkatan  peluang
  latihan untuk lepasan sekolah dan pekerja.
   
  Pendidikan  telah  dikenalpasti sebagai  industri  eksport
  dan   sumber  penting  kepada  pendapatan  tukaran  asing.
  Sehubungan  dengan ini, institusi pengajian tinggi  swasta
  harus   mewujudkan  pengkhususan  dalam  bidang  pengajian
  tertentu  dan  mengambil  peluang  daripada  usaha   untuk
  menggalakkan  Malaysia sebagai pusat  pendidikan  serantau
  yang  unggul. Kita akan memperkenalkan langkah yang sesuai
  untuk   menggalakkan  persaingan  di  kalangan   institusi
  pengajian  tinggi  supaya  mereka  boleh  muncul   sebagai
  universiti  utama  dan  terkemuka setanding  dengan  taraf
  Cambridge  di  Britain, Harvard di  Amerika  Syarikat  dan
  Waseda  di  Jepun.  Empat  pejabat penggalakan  pendidikan
  telah  dibuka  untuk  menyokong  inisiatif  sektor  swasta
  mendapat pelajar negara lain.
   
   
  Meningkatkan Kecekapan Perbelanjaan Sektor Awam
   
  Kerajaan   akan  terus  mengamalkan  dasar   fiskal   yang
  berhemat  dalam  tempoh akhir Rancangan.  Disiplin  fiskal
  akan  dipertingkatkan dengan mengamalkan kawalan kos  yang
  ketat.  Langkah  ini adalah bagi mencegah peningkatan  kos
  dan  memastikan  projek  pembangunan  benar-benar  memberi
  nilaian    wang   seperti   yang   dibelanjakan.    Tujuan
  melaksanakan  projek  pembangunan  adalah  untuk   memberi
  faedah   kepada   rakyat.    Sementara   ia   juga   dapat
  menguntungkan   kontraktor   tetapi   tidaklah    sehingga
  merugikan  rakyat  seperti yang berlaku  kepada  pembinaan
  makmal komputer.
   
  Sehubungan  itu, Kerajaan tidak akan bertolak  ansur  lagi
  dengan  kontraktor yang gagal menyiapkan  projek  mengikut
  masa    dan    dengan    mengikut   kualiti    sebagaimana
  dipersetujui.  Kerajaan  tidak  akan  teragak-agak   untuk
  menamatkan  kontrak  bagi kontraktor yang  tidak  mematuhi
  syarat,  serta  menyenarai  hitam  dan  menghalang  mereka
  daripada  menyertai  tender di masa  hadapan.  Ini  adalah
  bagi  memastikan hanya mereka yang mempunyai rekod bersih,
  boleh   dipercayai  dan  mampu  menyiapkan  projek  sahaja
  diberi  peluang  lagi untuk membuat tawaran  bagi  kontrak
  Kerajaan.
   
  Sebagai   langkah  untuk  menyekat  kenaikan  kos   projek
  pembangunan,  Kerajaan  telah  memutuskan  bahawa   projek
  tidak  lagi  akan  dilaksanakan  secara  rundingan  terus,
  kecuali  projek yang benar-benar perlu dan  dalam  keadaan
  tertentu.  Kontrak  untuk projek  pembangunan  akan  hanya
  dilaksanakan  sama ada secara tender terbuka  atau  tender
  terhad   kerana   sekarang  sudah  ada  ramai   Kontraktor
  bumiputra  yang  cekap  dan mereka perlu  bersaing  sesama
  mereka  untuk mendapat kontrak.  Bagi mengawal kos,  semua
  projek   hendaklah   dirujuk  kepada  Jawatankuasa   Kecil
  Piawaian dan Kos.
   
  Kerajaan akan hanya melaksanakan projek secara fast  track
  sekiranya  faktor  masa  adalah  amat  penting.   Bilangan
  projek  yang  akan  dilaksanakan  melalui  pendekatan  ini
  dijangka  akan  berkurangan apabila keupayaan  perancangan
  kita  diperbaiki  dan bajet dua tahun diperkenalkan.  Bagi
  projek  yang  dilaksanakan melalui pendekatan reka  bentuk
  dan   bina,   kita  akan  melantik  perunding   berasingan
  daripada pereka bentuk kontraktor yang membuat tawaran.
   
  Seperti  mana  telah  saya  nyatakan  sebelum  ini,  dalam
  tempoh  tiga  tahun  pertama Rancangan  Malaysia  Kelapan,
  Kerajaan  terpaksa  mengambil langkah kitaran  balas  atau
  counter   cyclical   untuk   membendung   kesan   daripada
  pertumbuhan  ekonomi  dunia yang perlahan  dan  kelembapan
  aktiviti  sektor  swasta.  Hasil daripada  tindakan  dasar
  fiskal yang mengembang, 99.3 peratus daripada siling  asal
  perbelanjaan   pembangunan  Rancangan   Malaysia   Kelapan
  sebanyak  RM110  bilion akan habis dibelanjakan  menjelang
  akhir  tahun  ini.  Oleh  itu,  Kerajaan  bercadang  untuk
  menambah  siling  pembangunan Rancangan  Malaysia  Kelapan
  sebanyak  RM50 bilion kepada RM160 bilion. Penambahan  ini
  bermaksud  bahawa bagi dua tahun yang akan datang,  purata
  perbelanjaan  pembangunan adalah  sebanyak  RM25.4  bilion
  setahun,  iaitu bersamaan dengan purata paras perbelanjaan
  pembangunan tahunan sebelum ekonomi mengalami kelembapan.
   
  Dalam   tempoh   kajian  semula,  defisit   fiskal   telah
  dikekalkan  pada  tahap 5.5 peratus  daripada  KDNK.  Kita
  bernasib  baik kerana keadaan kewangan negara  membolehkan
  penggunaan   pendekatan   fiskal   yang   proaktif   untuk
  mengurangkan   kesan  buruk  daripada  perkembangan   luar
  negara.  Ini adalah kerana pengurusan kewangan  kita  yang
  kukuh  dan  berhemat  di masa lalu.  Kerajaan  akan  terus
  mengekal   defisit   dan  hutang  di  paras   yang   tidak
  membebankan.  Sehubungan  itu,  defisit  fiskal   dijangka
  berkurangan  kepada 1.8 peratus daripada KDNK pada  tempoh
  akhir Rancangan.
   
  Untuk   mengoptimumkan  pertumbuhan  yang   boleh   dijana
  daripada   baki   peruntukan  Rancangan,   Kerajaan   akan
  mensyaratkan   bahawa  perlaksanaan   projek   pembangunan
  tersebut   hendaklah   menggunakan  bahan   dan   komponen
  tempatan  secara maksimum dan dengan itu akan mengurangkan
  pengaliran tukaran wang asing keluar. Projek yang  dipilih
  adalah  projek  yang  dapat memberi  faedah  maksimum  dan
  mempunyai  rantaian  yang  kuat  dengan  ekonomi  tempatan
  supaya dapat memaksimumkan kesan pengganda.
   
  Daripada  jumlah  peruntukan yang dipinda  sebanyak  RM160
  bilion,  lebih  daripada 80 peratus  adalah  untuk  sektor
  ekonomi  dan sosial. Pendidikan dan latihan akan  menerima
  peruntukan  tertinggi, sebanyak lebih daripada 25  peratus
  daripada    jumlah   perbelanjaan   pembangunan.    Sektor
  kesihatan  akan  menerima sebanyak 5.9 peratus,  perumahan
  sebanyak  3.9  peratus  dan pihak  berkuasa  tempatan  dan
  perkhidmatan  kebajikan sebanyak 5.0  peratus.  Sebahagian
  besar  daripada  peruntukan sektor  ekonomi  adalah  untuk
  pembangunan infrastruktur dan utiliti.
   
   
  Meningkatkan   Infrastruktur  Untuk   Menyokong   Aktiviti
  Ekonomi
   
  Pembangunan   infrastruktur  dan   utilliti   akan   terus
  tertumpu  kepada memperbaiki kecapaian ke  kawasan  kurang
  maju,   bidang   rekreasi   dan  yang   berpotensi   untuk
  dimajukan.  Dalam  tempoh kajian  semula,  Kerajaan  telah
  membelanjakan RM10.79 bilion untuk pembangunan  jalan  dan
  jambatan.  Ini  termasuklah Lebuhraya  Kedua  Link  Timur-
  Barat  di  antara Titi Karangan dan Kupang  dan  Lebuhraya
  Simpang  Pulai-Gua Musang-Kuala Betis di antara  Pos  Blau
  dan  Kampung  Kuala  Betis. Beberapa projek  menaik  taraf
  lebuhraya   telah   juga   disiapkan   seperti   lebuhraya
  Brinchang   Lojing,   lebuhraya   Beaufort-Sindumin    dan
  lebuhraya   Betong-Kayu  Malam.   Dengan   ini   rangkaian
  lebuhraya  telah  meningkat  sepanjang  2,140  km   kepada
  75,160 km.
   
  Dalam   tempoh   akhir  Rancangan,  dana   tambahan   akan
  diperuntukkan untuk mempercepatkan penyiapan projek  jalan
  raya  utama,  termasuklah Jalan Simpang Pulai-Gua  Musang-
  Kuala  Berang, Jalan Bentong Kuala Lipis, Lebuhraya Rentas
  Kedah   Timur,   Jalan   Kuching-Serian,   Jalan   Nangoh-
  Kanibongan,  Jalan Sepulut Kalabakan dan  Jalan  Sipitang-
  Tenom.
   
  Dalam tempoh kajian semula, sistem pengurusan trafik  yang
  cekap  telah  dilaksanakan untuk  meningkatkan  pengaliran
  lalu  lintas di pusat bandar, termasuklah Sistem  Maklumat
  Pengangkutan Bersepadu di Kuala Lumpur dan Lembah  Kelang.
  Di  samping  itu,  pelbagai langkah  telah  diambil  untuk
  meningkatkan kecekapan dan kemudahan pengangkutan awam  di
  samping  untuk  menggalakkan penggunaannya. Kerajaan  juga
  telah    menggiatkan   usaha   untuk   membentuk    sistem
  pengangkutan  bandar yang bersepadu,  cekap  dan  pelbagai
  mod.  Bilangan  penumpang yang menggunakan sistem  transit
  aliran  ringan  di  Kuala  Lumpur telah  bertambah  semasa
  tempoh  kajian  semula. Di samping itu, KL  Monorail  yang
  menyediakan   rangkaian   aliran   ringan   dalam   bandar
  sepanjang  8.6 kilometer, telah memulakan operasinya  pada
  bulan Ogos 2003.
   
  Dalam   tempoh  akhir  Rancangan,  Kerajaan  akan  memberi
  keutamaan  untuk memastikan kecapaian dan peralihan  licin
  di  antara pelbagai jenis pengangkutan awam terutamanya di
  Lembah   Kelang.  Pengangkutan  awam  pelbagai  mod   akan
  dipertingkatkan     dengan     beroperasinya      terminal
  pengangkutan bersepadu. Pembinaan terminal bersepadu  akan
  beroperasi  di  Bandar Tasik Selatan dan Gombak  iaitu  di
  kawasan  pinggir  Kuala  Lumpur. Stesen  bersepadu  Sentul
  akan  dibina  dengan  penyertaan  sektor  swasta  manakala
  Landasan  1  Monorel  Putrajaya  akan  disiapkan.   Sebuah
  Lembaga  Pengangkutan  Awam  akan  juga  ditubuhkan  untuk
  merancang,  menyelaras dan melaksana  sistem  pengangkutan
  awam  di  bandar  utama  dan juga  feri  dan  pengangkutan
  melalui sungai yang lain.
   
  Dalam   tempoh  kajian  semula,  Kerajaan  telah   memberi
  tumpuan  kepada usaha menggalakkan peningkatan  penggunaan
  pelabuhan  tempatan, terutamanya Pelabuhan Klang  dan  PTP
  (Pelabuhan    Tanjung   Pelepas)   melalui    pengembangan
  kapasiti,   menaik   taraf   dan   peningkatan   kemudahan
  pelabuhan    di   samping   memperbaiki   kecekapan    dan
  produktiviti.    Usaha   juga   telah   dijalankan    bagi
  memperbaiki  perkhidmatan  sokongan  maritim  yang   lain.
  Beberapa  projek  yang  berkaitan dengan  pelabuhan  telah
  disiapkan, seperti dermaga tambahan di PTP, basin baru  di
  Pelabuhan   Kuantan  dan  dermaga  kontena  tambahan   dan
  limbungan  di Pelabuhan Barat. Jeti LNG yang ketiga  telah
  disiapkan  di Pelabuhan Bintulu. Dasar Kabotaj telah  juga
  dikaji  semula  bertujuan  untuk  menggalakkan  penggunaan
  kapal  tempatan bagi membawa penumpang dan kargo di antara
  dua atau lebih destinasi di dalam negara.
   
  Dalam   tempoh  akhir  Rancangan,  Kerajaan  akan  melipat
  gandakan  usaha bagi menggalakkan Pelabuhan Klang  sebagai
  hub  mega  dan  distripark  di  samping  PTP  serta  Senai
  sebagai  pusat pengumpulan dan penghantaran kargo  maritim
  dan  udara.  Pada  masa  yang  sama,  Kerajaan  juga  akan
  meningkatkan  tahap  keselamatan  pelayaran  maritim   dan
  mengurangkan  pencemaran  laut  dengan  menubuhkan  Agensi
  Penguatkuasa   Maritim  Malaysia.  Sebuah  pusat   latihan
  maritim  akan juga dibina di Pulau Indah, Pelabuhan  Klang
  sebagai   pelengkap   kepada  Akademi  Maritim   Malaysia.
  Langkah    lain   yang   akan   dilaksanakan   termasuklah
  pemasangan  Sistem  Pengenalan  Automatik  bagi   memantau
  pergerakan kapal di perairan Selat Melaka.
   
  Dalam  tempoh  kajian  semula, kapasiti  lapangan  terbang
  telah  diperluaskan dengan operasi komersial dua  lapangan
  terbang  baru  di  Tawau dan Bintulu  dan  dengan  siapnya
  kerja  menaik taraf beberapa lapangan terbang  yang  sedia
  ada.  Keselamatan  penerbangan juga telah  dipertingkatkan
  melalui  pemasangan alat bantuan pandu arah. Dalam  tempoh
  akhir  Rancangan,  Kerajaan  akan  terus  memberi  tumpuan
  kepada  langkah  bagi  meningkatkan  penggunaan  kemudahan
  yang  sedia  ada, memperluaskan kapasiti di  dalam  bidang
  khusus  di  samping  meningkatkan kecekapan  perkhidmatan.
  Usaha  akan dipergiatkan bagi menjadikan Lapangan  Terbang
  Antarabangsa  KL (KLIA) sebagai hub penerbangan  serantau.
  Ini   termasuklah  usaha  menarik  lebih  banyak  syarikat
  penerbangan  antarabangsa ke KLIA di samping  menggalakkan
  syarikat  penerbangan  yang sedia ada  untuk  meningkatkan
  kekerapan  penerbangan  mereka. Di samping  itu,  lapangan
  terbang  antarabangsa di Kuching dan Kota  Kinabalu  serta
  lapangan terbang di Labuan, Alor Setar, Pulau Pangkor  dan
  Melaka  akan  juga  dinaik taraf. Sebuah lapangan  terbang
  yang  baru juga akan dibina di Pulau Tioman bagi menyokong
  pembangunannya sebagai pulau peranginan bebas cukai.
   
  Bagi   pengangkutan  rel,  langkah  telah  diambil   untuk
  memperbaiki    kualiti,   kecekapan   serta    keselamatan
  penumpang  dan  pengangkutan barangan dalam tempoh  kajian
  semula.   Ini   termasuk  landasan   berkembar   elektrik,
  memperbarui  koc dan lokomotif serta stesen. Dalam  tempoh
  akhir  Rancangan,  projek landasan  berkembar  Rawang-Ipoh
  akan  disiapkan  dan  ini  akan  dapat  mengurangkan  masa
  perjalanan tren penumpang dari Kuala Lumpur ke  Ipoh  dari
  tiga  jam  setengah  kepada dua  jam.  Pembinaan  landasan
  berkembar dari Ipoh ke Padang Besar dan Seremban ke  Johor
  Bahru   juga  dijangka  dimulakan  sebelum  akhir   tempoh
  Rancangan.   Keretapi  Tanah  Melayu  Berhad  akan   terus
  memperbaiki   perkhidmatan  pengangkutan   barangan   bagi
  membolehkannya menjadi syarikat pengangkutan pelbagai  mod
  serantau  yang utama yang dapat menghubungkan pengangkutan
  darat, laut dan udara.
   
  Bagi   tenaga  elektrik,  kapasiti  pengeluarannya   telah
  meningkat daripada 14,291 megawatt pada tahun 2000  kepada
  18,562  megawatt  pada  tahun 2003. Peringkat  Ini  adalah
  bagi  memenuhi  pertumbuhan permintaan  di  waktu  puncak.
  Liputan  bekalan elektrik luar bandar juga telah bertambah
  baik  dalam  tempoh  kajian semula, di mana  liputan  bagi
  Sabah  meningkat  daripada 67.1 peratus  pada  tahun  2000
  kepada  69.8  peratus  pada tahun 2003  dan  bagi  Sarawak
  bekalan  meningkat  daripada  66.9  peratus  kepada   77.3
  peratus  pada  tahun  2003. Bagi tempoh  akhir  Rancangan,
  sektor  kecil  tenaga  akan memberi tumpuan  kepada  usaha
  untuk  memastikan  bekalan  elektrik  yang  mencukupi  dan
  berdaya harap di samping gabungan bahan bakar yang  optima
  bagi  penjanaan  tenaga.  Kapasiti  pengeluaran  terkumpul
  dijangka meningkat kepada 20,267 megawatt menjelang  tahun
  2005.   Program  pembekalan  elektrik  luar  bandar   akan
  diteruskan  dengan pelaksanaan kira-kira 850  projek.  Ini
  akan meningkatkan liputan bekalan elektrik luar bandar  di
  Sabah  kepada  72.8  peratus dan di  Sarawak  kepada  80.8
  peratus pada tempoh akhir Rancangan.
   
  Dalam  tempoh  kajian  semula, Kerajaan  juga  akan  terus
  mengambil  langkah bagi memastikan pengurusan bekalan  air
  yang   cekap.  Beberapa  projek  pembangunan  sumber   air
  termasuk  Empangan  Sungai Selangor,  Projek  Bekalan  Air
  Teluk  Bahang/Batu Feringgi di Pulau Pinang, loji  rawatan
  air  Fasa  II  Kuala Jelai dan Fasa III  Sungai  Terip  di
  Negeri  Sembilan telah disiapkan dan membantu meningkatkan
  kapasiti   jumlah  pengeluaran  air  negara  sebanyak   12
  peratus.
   
  Bagi  memastikan  bekalan  air yang  berterusan,  Kerajaan
  akan  mengambil langkah untuk meningkatkan  kecekapan  dan
  pemuliharaan  sistem  bekalan  air  yang  sedia  ada   dan
  membangun  sumber  air  baru. Bagi  tujuan  ini,  Kerajaan
  Persekutuan  dengan  persetujuan kerajaan-kerajaan  negeri
  akan  memainkan  peranan yang lebih  aktif  dalam  program
  perancangan,  pengurusan  dan  penyelarasan   sumber   air
  negara.  Pembangunan  sumber air akan dilaksanakan  dengan
  memberi  tumpuan kepada Pengurusan Sumber  Air  Bersepadu.
  Sistem   pengurusan   maklumat   akan   dibangunkan   bagi
  menggabungkan   pangkalan  data   daripada   semua   pihak
  berkuasa   bekalan   air.   Di  samping   itu,   pembinaan
  Pemindahan  Air  Mentah Antara Negeri Pahang  ke  Selangor
  akan  dimulakan  sebelum tempoh akhir Rancangan.  Empangan
  pelbagai  guna Beris di Kedah dan Empangan Jus  di  Melaka
  akan  disiapkan pada tahun 2004 sementara Empangan  Chereh
  di Pahang akan disiapkan pada tahun 2005.
   
  Dalam  tempoh  kajian  semula,  usaha  pembangunan  sektor
  kecil    pembentungan   akan   ditumpukan   kepada   usaha
  memperbaiki  perkhidmatan melalui pembinaan  infrastruktur
  baru  di samping menaik taraf serta memulihkan sistem yang
  sedia  ada. Kerja modal dan pembaharuan telah dilaksanakan
  bagi  meningkatkan kualiti pengaliran keluar  kumbahan  ke
  permukaan  air  dan  dengan itu memperbaiki  kualiti  alam
  sekitar.    Program   pembangunan   modal   bagi    sistem
  pembentungan   akan   diteruskan   dalam   tempoh    akhir
  Rancangan.   Kerja   pembinaan   bagi   Fasa   1    Projek
  Pembentungan  Kebangsaan  akan  bermula  sementara  proses
  tender bagi Fasa 2 akan dimulakan. Projek di bawah Fasa  1
  akan  menyediakan  kapasiti rawatan pembentungan  tambahan
  sebanyak    979,000   penduduk   (population   equivalent)
  sekiranya siap pada tahun 2005. Suruhanjaya Sanitasi  akan
  juga  ditubuhkan untuk merumuskan peraturan ekonomi  serta
  peraturan  keselamatan bagi menjaga kepentingan  awam  dan
  menggalakkan   pembangunan   sistem   pembentungan   serta
  pengurusan sisa pepejal.
   
  Negara  telah  banyak mencapai kemajuan dalam  pembangunan
  infrastruktur,  di mana kini ianya hampir  setaraf  dengan
  negara  maju.  Pemasangan, operasi  serta  penyelenggaraan
  kemudahan   ini   tidak  datang  dengan   percuma.   Ianya
  mempunyai  kos.  Kos ini hendaklah dibiayai  bersama  oleh
  Kerajaan  dan swasta.  Sesungguhnya kerajaan  tidak  mampu
  membangunkan    semua   kemudahan   infrastruktur    untuk
  kesejahteraan  rakyat daripada cukai yang dipungut.   Jika
  hendak  ditunggu  sehingga kerajaan  mempunyai  dana  yang
  cukup   maka   akan   lewatlah   kemudahan-kemudahan   ini
  diadakan.   Justeru  itu,  pihak  swasta  perlu  memainkan
  peranan  dan  melabur.  Mereka tidak mungkin melabur  jika
  pulangan  yang  berpatutan tidak diperolehi  oleh  mereka.
  Pengguna   mestilah  sanggup  membayar  secara  berpatutan
  untuk  khidmat yang diberi.  Namun Kerajaan akan  membantu
  setakat  yang  kewangan Kerajaan mengizinkan.   Sebenarnya
  bayaran yang perlu dibayar oleh pengguna di Malaysia  jauh
  lebih  rendah  daripada  yang  dibayar  oleh  pengguna  di
  negara  lain.   Demi  kepentingan  semua  pihak,  pengguna
  hendaklah  terima  konsep  pengguna  membayar  atau  "user
  pays".    Amatlah  tidak  adil  jika  mereka  yang   tidak
  mengguna   dipaksa  membayar  melalui  cukai  umum   untuk
  keselesaan mereka yang mengguna.
   
   
  Membangunkan   Sumber  Pertumbuhan   Baru   Dalam   Sektor
  Pembuatan
   
  Sektor  pembuatan akan terus menghadapi cabaran persaingan
  daripada ekonomi baru muncul. Namun sektor ini akan  terus
  memainkan  peranan  penting  kepada  pertumbuhan  ekonomi.
  Pada  tahun  2003,  sektor  ini telah  menyumbangkan  30.6
  peratus  kepada  KDNK, 83.0 peratus kepada jumlah  eksport
  dan  27.8 peratus kepada jumlah pekerjaan. Kerajaan  telah
  mengambil  pelbagai langkah bagi meminimumkan kesan  buruk
  daripada   keadaan   luaran   dengan   mengadakan    pakej
  rangsangan  yang telah diperkenalkan dalam  tempoh  kajian
  semula  dan  menyediakan insentif cukai serta meningkatkan
  pembangunan   sumber  manusia.  Dana  untuk  latihan   dan
  latihan    semula   telah   diadakan   bagi    meninggikan
  produktiviti dan kecekapan tenaga kerja.
   
  Dengan  mengambil  kira  cabaran  luaran,  adalah  penting
  sektor  pembuatan  mempercepatkan proses peralihan  kepada
  industri  berteknologi tinggi dan berasaskan  pengetahuan.
  Sehubungan  ini,  Kerajaan  akan  memberi  tumpuan  kepada
  usaha  mengurangkan kearenah pentadbiran, mengkaji  semula
  proses   kerja   dan   mempermudahkan   proseidur    serta
  menyediakan  insentif  dan  infrastruktur  sokongan   demi
  mewujudkan  persekitaran  perniagaan  yang  mesra   kepada
  pelabur.
   
  Beberapa  bidang  sektor  pembuatan  telah  dikenal  pasti
  sebagai   berpotensi  untuk  dibangunkan  sebagai   sumber
  pertumbuhan baru. Industri marin menawarkan peluang  dalam
  pembinaan  dan pembaikian kapal besar, kapal,  bot,  feri,
  kapal  persiaran,  kapal  layar dan  pembangunan  industri
  sokongan  yang lain. Jentera dan peralatan serta  industri
  fabrikasi  logam juga akan terus dibangunkan. Projek  Bio-
  Valley  akan  dilaksanakan  bagi  menarik  pelaburan  yang
  berkait    dengan    aktiviti    bioteknologi.    Industri
  aeroangkasa  akan  terus  dibangunkan  dengan  pelaksanaan
  Program Satelit Negara. Industri pemprosesan makanan  pula
  akan   menumpukan  kepada  bahagian  pasaran   yang   baru
  termasuk  makanan segera, makanan berkhasiat  dan  makanan
  halal   selaras  dengan  perubahan  gaya  hidup  pengguna.
  Sektor  pembuatan  berasaskan  perkhidmatan  seperti  P&P,
  pengagihan,  pemasaran,  pembungkusan,  penjenamaan,  reka
  bentuk  dan  prototaip  adalah penting  bagi  meningkatkan
  nilai   ditambah   kepada  produk  pembuatan   akan   juga
  digalakkan.
   
  Untuk   membolehkan   keluaran  industri   termasuk   PKS,
  kerajaan  akan  menggalak dan membantu penubuhan  syarikat
  perdagangan   ala  "sogo  syosha"  Jepun  supaya   menjadi
  saluran  bagi  memasarkan produk Malaysia di luar  negara.
  Syarikat tempatan hendaklah sanggup membayar komisen  yang
  berpatutan  untuk  khidmat ini, sementara  syarikat  "sogo
  shosha"   pula  memberi  layanan  yang  sebaiknya   kepada
  pasaran dan pelanggan luar.
   
  Bagi  meningkatkan keupayaan dan kemampuan  PKS,  pelbagai
  program  akan  diteruskan supaya  pembekal  boleh  diharap
  akan  mendapat kepercayaan syarikat utama yang  beroperasi
  di  seluruh  dunia.  Sejajar dengan Rancangan  Pembangunan
  Industri  Kecil  dan Sederhana, PKS akan terus  dibekalkan
  dengan  pengetahuan  kewangan,  pengurusan  dan  kepakaran
  teknikal.   Amatlah  penting produk PKS berkualiti  tinggi
  dan  pesanan  diberi layanan yang baik  supaya  nama  baik
  mereka   dan  negara  terpelihara  dan  barangan  Malaysia
  diterima oleh pasaran dengan baik.
   
   
  Menggiatkan Semula Pertanian
   
  Sektor  pertanian  akan  dijadikan sektor  penting  kepada
  ekonomi  negara.  Dalam tempoh kajian semula,  sektor  ini
  berkembang  1.5  peratus  berikutan  peningkatan  keluaran
  kelapa   sawit   dan  komoditi  makanan.   Hasil   eksport
  pertanian  meningkat  sebanyak 26  peratus  daripada  RM23
  bilion  pada  tahun  2000 kepada RM 29 bilion  pada  tahun
  2003  disumbang  oleh kenaikan harga  komoditi  utama  dan
  makanan.  Eksport barangan makanan yang lebih baik  adalah
  kesan  daripada  peningkatan pelaburan  dalam  pengeluaran
  makanan  berskala besar dan pembaikan kualiti yang dicapai
  dalam   konteks  pendekatan  MOA  Incorporated.  Sementara
  negara  belum  lagi  dapat  beralih  kedudukannya  sebagai
  pengimport  bersih makanan, negara telah berjaya  mencapai
  tahap  sara diri atau self-sufficiency bagi bekalan  ayam,
  itik  dan telur serta hampir mencapai tahap sara diri bagi
  keluaran perikanan.
   
  Dalam  tempoh dua tahun yang akan datang, sektor pertanian
  dijangka  berkembang lebih tinggi pada kadar  2.7  peratus
  setahun.   Pertumbuhan  sektor  ini  akan  disumbang  oleh
  peningkatan    kenaikan   keluaran    tanaman    industri,
  pengeluaran   makanan  dan  sumbangan  daripada   aktiviti
  pertanian yang baru.
   
  Penternakan  ikan  atau  akuakultur  telah  dikenal  pasti
  mempunyai  potensi pertumbuhan yang besar.  Kerajaan  akan
  mempergiatkan   usaha  untuk  membangunkan   infrastruktur
  baru,  meningkatkan kemahiran dan teknologi bagi memajukan
  akuakultur  yang moden. Ini melibatkan pembiakan  pelbagai
  jenis  ikan dan krustasia yang boleh dipasarkan dalam  dan
  luar  negara. Untuk menyokong aktiviti pembelaan anak ikan
  berskala  komersial  dan aktiviti hiliran  berkait  dengan
  penternakan    ikan,    Kerajaan    akan    mempercepatkan
  pelaksanaan  Program  Benih  Negara  dan  Pelan   Tindakan
  Pembangunan  Penetasan.  Di  samping  itu,  Kerajaan  akan
  menyediakan   perkhidmatan  sokongan   bagi   menggalakkan
  pelaburan  dalam  industri  ikan  tuna  melalui  penubuhan
  empat  Pusat  Pembangunan Tuna Serantau  di  Johor,  Pulau
  Pinang,   Sabah  dan  Labuan.  Aktiviti  lain  yang   akan
  digalakkan  termasuklah penanaman  komersial  rumpai  laut
  berskala besar dan pengeluaran ikan perhiasan.
   
  Kerajaan  juga akan mempergiatkan usaha untuk membangunkan
  potensi  barangan biomassa dan bioteknologi untuk  pasaran
  dalam  negeri  dan  eksport.  Program  untuk  membangunkan
  produk  semula jadi yang khusus seperti herba, rempah  dan
  tumbuhan  ubat-ubatan secara bersepadu dan komersial  akan
  juga  dipercepatkan. Di samping itu, projek  Taman  Botani
  Negara   akan  dibangunkan  sebagai  contoh  bagi  peluang
  pelaburan  baru  dalam sektor pertanian, selain  dijadikan
  sebagai tempat rekreasi dan tarikan pelancong.
   
   
  Bagi  mempergiatkan  pembangunan dalam  sektor  pertanian,
  teknologi  sokongan yang lebih berkesan  akan  digalakkan.
  Antara  inisiatif  baru  ialah  penggunaan  secara   lebih
  meluas  ICT  dan  e-dagang.  Dalam  hubungan  ini,  projek
  pertanian  berasaskan  Teknologi  Industri-Kerajaan   bagi
  Revolusi  e-Ekonomi  atau AgriTIGer yang  bertujuan  untuk
  meningkatkan  produktiviti dan  daya  saing  dalam  sektor
  pertanian,  akan diperluaskan ke tempat lain  termasuk  di
  Sabah   dan  di  Sarawak.  Di  bawah  AgriTIGeR,  aplikasi
  pengurusan rantaian antara perniagaan yang berkos  efektif
  dan  gerbang  elektronik  yang dinamakan  Agribazaar  akan
  dimajukan   lagi.   Agribazaar  akan   berfungsi   sebagai
  `gateway'  pertukaran kepada masyarakat tani  dan  peniaga
  untuk menjalankan urusniaga secara talian.
   
  Selain  daripada  mengekalkan  daya  saing  Malaysia  bagi
  minyak  kelapa  sawit berbanding dengan minyak  dan  lemak
  lain  di  pasaran  dunia,  usaha  sedang  dilakukan  untuk
  membangunkan  negara  menjadi  pengeksport  makanan   yang
  berdaya  saing. Untuk memastikan kejayaan ini, pembangunan
  perkhidmatan   sokongan  yang  kukuh  adalah   diperlukan,
  termasuk   kemudahan  mendapat  maklumat  berkait   dengan
  perniagaan dan saluran pengagihan.
   
  Pemprosesan  keluaran pertanian tempatan  perlu  dijadikan
  industri  yang  besar.  Peningkatan  nilai  ditambah  yang
  lebih  tinggi  melalui penggunaan pengetahuan  yang  lebih
  menyeluruh dan berteknologi tinggi harus diusahakan.
   
  Penghijrahan   keluar   tenaga   buruh   daripada   sektor
  pertanian,   telah  menyebabkan  tenaga  kerja   pertanian
  hanyalah terdiri daripada mereka yang telah berusia.  Bagi
  menjadikan  sektor  pertanian  lebih  dinamik  dari   segi
  pengurusan   dan   teknologi,  golongan  profesional   dan
  usahawan   akan   dilatih  dengan  amalan  dan   kemahiran
  pertanian  moden.  Pusat  Latihan  Pertanian  Negara  akan
  dipertanggungjawabkan  untuk  merancang,  menyelaras   dan
  membekal   program  latihan  dan  kemahiran.   Pengeluaran
  tenaga  profesional  dalam bidang pertanian  seperti  ahli
  sains  tanah,  ahli  mikrobiologi, ahli  bioteknologi  dan
  pakar  pemakanan  akan ditambah. Dengan  ini,  peningkatan
  produktiviti  akan dicapai dengan penggunaan  jentera  dan
  automasi  yang  lebih  tinggi serta  penggunaan  teknologi
  penjimatan buruh.
   
   
   
   
   
  Menerokai    Pertumbuhan   Sumber   Baru   Dalam    Sektor
  Perkhidmatan
   
  Sektor  perkhidmatan terus berkembang  pada  kadar  purata
  4.7  peratus dalam tempoh kajian semula. Pertumbuhan kukuh
  ini  sebahagian  besarnya disumbangkan oleh  sektor  kecil
  pengangkutan,  penyimpanan  dan  komunikasi  serta  sektor
  kecil  kewangan,  insurans, harta tanah  dan  perkhidmatan
  perniagaan.
   
  Pendidikan,   pelancongan,  kewangan   Islam,   kesihatan,
  pengangkutan, perkhidmatan perundingan dan profesional  di
  samping  perkhidmatan  berkait dengan  ICT  dan  pembuatan
  akan  lebih  dieksploitasikan  bagi menghasilkan   potensi
  yang  sepenuhnya  agar  ianya  dapat  menjana  pertumbuhan
  ekonomi   dan   menyumbang  dengan  lebih  ketara   kepada
  pendapatan eksport. Pertumbuhan industri perkhidmatan  ini
  akan    dapat    dipercepatkan   memandangkan   kebanyakan
  kemudahan   infrastruktur  yang  berkaitan   telah   sedia
  diadakan.  Dalam  usaha  untuk  menggalakkan  perkhidmatan
  ini,  Kerajaan akan mengadakan program galakan yang  lebih
  berkesan dan tersusun.
   Pelancongan
   
  Sejak  beberapa tahun lalu, pelancongan telah meningkatkan
  sumbangannya   kepada   pendapatan   tukaran   asing   dan
  pertumbuhan  sektor  lain.   Pada  tahun  2001  dan  2002,
  ketibaan    pelancong   telah   melebihi   sasaran    yang
  ditetapkan.  Pada  tahun 2001, jumlah  ketibaan  pelancong
  adalah  seramai  12.8 juta, melebihi 6.5 peratus  daripada
  sasaran.   Pada   tahun  berikutnya,  ketibaan   pelancong
  meningkat  kepada  13.3  juta dan  melepasi  10.8  peratus
  daripada  sasaran.  Walau  bagaimanapun,  akibat  daripada
  pencerobohan  ke  atas  Iraq  dan  wabak  SARS,   ketibaan
  pelancong  telah menurun sebanyak 31 peratus bagi  separuh
  pertama  tahun ini.  Namun begitu, sukacita saya  nyatakan
  bahawa   sejak  beberapa  bulan  yang  lalu,  kita   telah
  menyaksikan  arah  aliran  yang  semakin  meningkat   bagi
  jumlah ketibaan pelancong.
   
  Untuk   mencapai   potensi   sepenuhnya   dalam   industri
  pelancongan,   Kerajaan  akan  mengambil   langkah   untuk
  mempromosi  pelancongan  tempatan dan  antarabangsa  serta
  mempertingkatkan   inisiatif   bagi   pembangunan   produk
  pelancongan.  Antaranya,  pendidikan,  kesihatan,   sukan,
  pelancongan   berasaskan  pertanian   dan   ekologi   akan
  dimajukan   lagi  untuk  memaksimumkan  potensi   industri
  pelancongan.    Keunikan  warisan  budaya  Malaysia   akan
  diberi  tumpuan  dalam  melaksanakan  langkah  ini.   Bagi
  mempromosikan  tempat kebudayaan dan warisan  asli,  usaha
  akan  diambil untuk memasukkan Taman Negara di Semenanjung
  Malaysia,  Gua  Niah  di Sarawak dan Lembangan  Maliau  di
  Sabah  di  samping Bandaraya Bersejarah Melaka  dan  Pulau
  Pinang  sebagai Tapak Warisan Dunia. Pelancongan  tempatan
  juga  akan  ditingkatkan melalui  pakej  nilai  wang  yang
  menarik,  dengan kerjasama syarikat penerbangan  tempatan.
  Pada  masa  yang sama, pekerja dalam industri  pelancongan
  akan   dilatih   dan  dilengkapi  dengan  kemahiran   yang
  diperlukan  bagi memenuhi pelbagai permintaan dan  harapan
  daripada pelancong.
   
   
  Aktiviti  pemasaran  dan  galakan akan  ditumpukan  kepada
  meluaskan  pasaran pelancongan dengan mengekalkan  pasaran
  sedia   ada  dan  membangunkan  pasaran  baru  yang  telah
  dikenalpasti.   Dalam hubungan ini, kita  akan  menghantar
  misi   penggalakan  pelancongan  kepada  pasaran   seperti
  negara  Timur Tengah dan juga ke Amerika Syarikat,  China,
  India,  dan Jepun. Tarikan jualan yang unik bagi  industri
  pelancongan  akan  terus  dipasarkan  berdasarkan   slogan
  "Malaysia  Truly Asia".  Untuk meningkatkan  lagi  tarikan
  Malaysia  sebagai destinasi membeli belah,  usahawan  akan
  digalakkan   untuk  meningkatkan  usaha  bagi  mendapatkan
  agensi   pengedaran  bagi  produk  pengguna   dan   jenama
  antarabangsa yang baru dan yang baru muncul.  Selain  itu,
  kemungkinan   untuk  mengadakan  penerbangan  antarabangsa
  secara  terus  daripada  beberapa  bandar  terpilih   akan
  diterokai untuk memudahkan kemasukan ke destinasi  membeli
  belah bebas cukai dalam negara.
   
  Sebagai   sebahagian  daripada  usaha  untuk  meningkatkan
  ketibaan  pelancong,  lebih banyak aktiviti  yang  berkait
  dengan   sesuatu   acara   akan   diadakan.   Produk   dan
  perkhidmatan    pelancongan    yang    berkualiti,    akan
  disediakan.   Selain  itu,  persijilan  `Blue  Flag'   dan
  `Green    Globe'   akan   diperkenalkan    kepada    tapak
  pelancongan.  Blue Flag akan diberikan kepada pantai  yang
  menepati  piawaian  antarabangsa, sementara  sijil  `Green
  Globe'   diberikan   kepada  tapak  eko-pelancongan   yang
  mengamalkan perlindungan dan pembaikan alam sekitar.
   
  Eko-pelancongan,  agro-pelancongan  dan  pelancongan  luar
  bandar  akan  terus  dibangunkan untuk  mengambil  peluang
  sepenuhnya daripada keindahan pemandangan, kedamaian  desa
  serta  flora dan fauna.  Kemudahan penginapan dan  tarikan
  sedia  ada  akan  ditingkatkan dan  ditambah.  Di  samping
  itu,  pelaksanaan program satu daerah satu  industri  akan
  meningkatkan   penyertaan  masyarakat   tempatan   melalui
  industri  kraftangan  yang dapat  membekal  barangan  kraf
  kepada pelancong.
   
  Bagi  mempromosi industri pelayaran persiaran,  kita  akan
  terus  membangunkan pusat pelayaran pesiaran  di  beberapa
  tempat  dalam negara. Untuk itu, beberapa pangkalan  kapal
  pesiaran  atau marina akan dibina di lokasi yang strategik
  seperti  di Pulau Pinang, Pulau Pangkor, Pelabuhan  Klang,
  Port  Dickson, Melaka dan Muar, dan terminal kapal  pesiar
  di  Melaka dan Pulau Pinang akan dinaik taraf.   Ini  akan
  membolehkan  kapal pesiaran dan bot untuk liburan  belayar
  ke   beberapa   tempat  yang  menarik  serta   membolehkan
  pelancong  terlibat  dalam pelbagai aktiviti  dan  tinggal
  dengan  lebih  lama. Di samping itu, jeti  sedia  ada  dan
  terminal  penumpang  akan  dinaik  taraf  bagi  memastikan
  keselesaan dan keselamatan penumpang khususnya di  kawasan
  di  mana  sungai merupakan jalan perhubungan utama seperti
  di Sabah dan Sarawak.
   
  Adanya  kemudahan  penjagaan kesihatan  yang  canggih  dan
  cekap,  serta  tarikan alam semulajadi,  telah  meletakkan
  Malaysia sebagai pusat pelancongan kesihatan yang  berdaya
  maju.   Dalam hal ini, pakej pelancongan yang khusus  yang
  mengandungi  komponen kesihatan akan diperkenalkan.  Untuk
  terus    menggalakkan   pelancongan    berkaitan    dengan
  pendidikan,   usaha   akan  diambil   untuk   menggalakkan
  institusi  pendidikan tinggi swasta meningkatkan kemudahan
  dan  perkhidmatan pendidikan, mengembangkan kurikulum  dan
  meningkatkan    kemampuan    tenaga    pengajar.     Usaha
  penggalakkan  akan  dipertingkatkan  bagi  menarik   lebih
  ramai  pelajar  asing  melanjutkan  pelajaran  mereka   di
  Malaysia.    Memandangkan   pelancongan   berasas    sukan
  mempunyai  potensi  yang besar untuk menarik pelancong  ke
  negara  ini, kita akan terus menganjurkan acara sukan  dan
  menggalakkan sukan baru.
   
   
  Dana untuk membayar produk pelancongan
   
  Sebagai  usaha  untuk  menggalak dan membiayai  pengusaha-
  pengusaha  pelancongan  menyediakan  pelbagai  produk  dan
  perkhidmatan   berkaitan   pelancongan,   Kerajaan   telah
  melancarkan  Tabung  Khas  Pelancongan  dan  Infrastruktur
  pada  Oktober 2002 dengan peruntukan sebanyak RM 400 juta.
  Di  samping  itu, Pakej Strategi Baru yang diumumkan  oleh
  Kerajaan  pada 21 Mei 2003 juga telah menambah  peruntukan
  dana  Tabung  Infrastruktur Pelancongan dari RM  200  juta
  kepada  RM  700  juga bagi meningkatkan lagi  keberkesanan
  program    pelancongan.    Antara   strategi   pembangunan
  pelancongan  yang  akan diberi tumpuan ialah  melaksanakan
  pembangunan   produk   dan   pemasaran;   mempertingkatkan
  pembangunan  sumber manusia dalam sektor pelancongan;  dan
  menggalak dan memudahkan pelancongan dalam negeri.
   
   
  Dagangan Runcit dan Borong
   
  Langkah   strategik  akan  diambil  untuk   mempercepatkan
  pembangunan   sektor   perdagangan  runcit   dan   borong.
  Institusi   pendidikan  tinggi  tempatan  akan  digalakkan
  untuk   menawarkan  kursus  di  bidang   perdagangan   dan
  pengedaran  manakala  Kerajaan akan  mengendalikan  kursus
  khas  mengenai  perdagangan runcit di  pusat  latihan  dan
  pembangunan  kemahiran.  Pada masa yang  sama,  pendidikan
  kepenggunaan  akan diteruskan. Tribunal Tuntutan  Pengguna
  akan   diwujudkan  di  semua  negeri  dalam  tempoh  akhir
  Rancangan.  Sebuah  agensi untuk  berurusan  dengan  orang
  awam,  penyedia  perkhidmatan  dan  peniaga  dalam  sektor
  perkhidmatan  akan  ditubuhkan di peringkat  negeri  untuk
  menyelesaikan    aduan    pengguna    terhadap    penyedia
  perkhidmatan dan peniaga.
   
  Pelaksanaan   dasar   dan  perundangan   mengenai   amalan
  perdagangan  yang  adil  akan  digubal  bagi  menggalakkan
  persaingan  yang sihat dan menghalang sikap  anti  saingan
  seperti   pakatan  sulit,  kartel,  penetapan  harga   dan
  penyalahgunaan  kuasa  pasaran.  Di  samping  meningkatkan
  produktiviti   dan   kecekapan  dasar,   ini   juga   akan
  menggalakkan  penyertaan dan kemasukan syarikat  kecil  ke
  dalam   sektor   perdagangan   pengedaran.    Dasar    dan
  perundangan yang dicadangkan ini akan dilaksanakan  secara
  berperingkat.
   
  Pasaraya  besar  atau  hypermarket akan  digalakkan  untuk
  bekerjasama  dengan  pengeluar tempatan  bagi  mendapatkan
  sumber  barangan tempatan yang berkualiti tinggi dan  pada
  harga  yang  berpatutan.   Ini  juga  akan  membuka  suatu
  peluang  kepada firma tempatan terutama IKS dan  pengeluar
  barang kraf bagi memasarkan produk mereka di dalam dan  di
  luar negara.
   
  Penyertaan    Bumiputera   dalam    sektor    perdagangan,
  pengedaran  akan  ditingkatkan dengan  mengadakan  program
  latihan    piawaian    kualiti    produk,    pembungkusan,
  penjenamaan  dan  pemasaran.  Ini adalah untuk  memastikan
  pengeluaran  produk adalah berkualiti  eksport  dan  dapat
  memenuhi  permintaan pengguna.  Usaha akan  terus  diambil
  bagi  meningkatkan  program dan aktiviti  PROSPER.   Dalam
  konteks  ini,  bengkel  rancangan  perniagaan  dan  klinik
  perundingan  perniagaan  akan  diadakan  untuk   membantu,
  membimbing  dan  memberikan arah haluan  strategik  kepada
  peserta   untuk  meningkatkan  keberkesanan  program   dan
  aktiviti  PROSPER.   Sehubungan  itu,  pembangunan   kedai
  konsep  untuk  kedai lampu, dobi, penghiasan rumah,  pasar
  mini,   kedai   sukan   dan   bengkel   automatif     akan
  dipertimbang  untuk  dilaksanakan di  masa  hadapan.  Jaya
  atau  tidaknya  semua  ini bergantung  kepada  kesanggupan
  Bumiputera untuk memasuki bidang ini.  Jika mereka  enggan
  janganlah sesiapa merungut kenapa tidak ada Bumiputera  di
  bandar-bandar di Malaysia.
   
  Sejak  pengenalan  sistem perbankan Islam  20  tahun  yang
  lalu,   kita   telah   mencapai  banyak   kemajuan   dalam
  mengembangkan    produk-produk    memperolehi     bahagian
  perbankan,  deposit  dan pembiayaan. Ini  memberi  pilihan
  bagi  sesiapa, Islam atau tidak Islam, memilih sistem yang
  sesuai  dengan selera mereka.  Pada penghujung  bulan  Jun
  2003,  aset  perbankan  Islam telah meningkat  kepada  9.4
  peratus   daripada   jumlah   keseluruhan    aset   sektor
  perbankan. keseluruhan.
   
  Kewangan  Islam,  termasuk  perbankan  dan  pasaran  modal
  Islam  akan dibangunkan sebagai sebahagian pasaran  khusus
  yang  strategik.  Kita  akan memperkenalkan  lebih  banyak
  produk  yang secocok dengan ajaran Islam dan yang inovatif
  di  samping menambahr produk asas dengan menggerakkan aset
  Islam   yang   belum  digunakan.   Inisiatif   juga   akan
  ditujukan  kepada terhadap  membangunkan pakatan strategik
  dengan  sumber-sumber  kewangan  masyarakat  Islam  global
  dengan peluang pelaburan berteraskan Syariah.
   
   
  Pembangunan Mapan
   
  Jalan  ke arah kehidupan yang mapan melibatkan tiga proses
  utama.   Pertama  ialah  meningkatkan  kecergasan  ekonomi
  negara  bagi  mengekalkan taraf hidup yang  lebih  tinggi.
  Kedua   ialah   memastikan   peningkatan   keadilan    dan
  kesepakatan sosial dan ketiga ialah proses yang  mengawasi
  dan  melindungi alam sekitar. Dengan itu, kita akan  terus
  mengurus  pembangunan alam sekitar dan sumber asli  secara
  terbuka   untuk  mengukuhkan  pertumbuhan  jangka  panjang
  negara  dan  mencapai pembangunan yang mapan.  Pembangunan
  yang  mapan  dilihat  sebagai keperluan  untuk  mewujudkan
  peluang  "win-win-win"  dan di  masa  yang  sama  mencapai
  matlamat ekonomi, sosial dan alam sekitar.
   
  Tidaklah   mudah   untuk   meningkatkan   kualiti    hidup
  masyarakat  hari ini supaya tidak mengekang peluang  untuk
  pembangunan  masa  hadapan.   Kita  bernasib  baik  kerana
  sejak  pertengahan tahun 1970 lagi, iaitu semasa  Malaysia
  membina asas ekonomi, kita telah memberi perhatian  kepada
  kemapanan pembangunan. Bukan sahaja garis panduan ke  arah
  mengekalkan   persekitaran  yang  sihat   bagi   kehidupan
  manusia,   tetapi   juga  keperluan  mengekalkan   warisan
  semulajadi   dan   kesan   pertumbuhan   penduduk    serta
  industrialisasi   telah   dikenalpasti    dengan    jelas.
  Menjelang  pertengahan 1980an, perlindungan  alam  sekitar
  telahpun  menjadi  faktor  utama yang  diambillkira  dalam
  perancangan   pembangunan  negara.  Antara   usaha   untuk
  meneruskan  pembangunan  ekonomi  dan  alam  sekitar  yang
  mapan  adalah  langkah untuk mengurangkan  kesan  aktiviti
  manusia  terhadap  persekitaran hutan, proses  perbandaran
  dan  pelancongan; menekankan pencegahan melalui penyeliaan
  berbanding    langkah    pemulihan;    serta    memasukkan
  perancangan alam sekitar dalam projek pembangunan.
   
  Dekad  yang  lalu  adalah  bercirikan  pelaksanaan  konsep
  pembangunan  yang  seimbang, iaitu di samping  pertumbuhan
  ekonomi, perlindungan kepada alam sekitar dan asas  sumber
  asli Malaysia telah diberi keutamaan.
   
  Rakyat,  sektor  swasta  dan badan  bukan  kerajaan  (NGO)
  mempunyai  peranan  yang penting dalam usaha  ini  sebagai
  rakan  dan  pembela, dan memastikan matlamat  persekitaran
  dan sumber asli kita dicapai dengan cekap.
   
   
  Mempertingkatkan Kualiti Hidup.
   
  Asas  ukuran utama untuk menilai pembangunan negara adalah
  peningkatan  kualiti  hidup  rakyat.   Kita  di   Malaysia
  mengiktiraf  bahawa  rakyat mempunyai hak  untuk  mendapat
  faedah  yang  setimpal daripada pembangunan.  Semua  dasar
  Kerajaan  telah  dan  akan ditumpukan  kepada  pembangunan
  rakyat   bertujuan  untuk  memastikan  pencapaian  kualiti
  hidup yang lebih baik untuk semua.
   
  Kita   telah   menumpukan  usaha   kita   untuk   membasmi
  kemiskinan,    meningkatkan    taraf    hidup     golongan
  berpendapatan    rendah,   menyediakan    peluang    untuk
  meningkatkan   pendapatan  yang  lebih   tinggi,   membuat
  pelaburan  dalam  pendidikan,  kesihatan,  perumahan   dan
  kemudahan  lain,  memastikan  suasana  tempat  kerja  yang
  lebih  baik  dan  melindungi  alam  sekitar.  Sesungguhnya
  tidak  harus  ada  kemiskinan di Malaysia.   Sesiapa  yang
  sanggup  merebut  kemudahan dan  peluang  yang  disediakan
  oleh  Kerajaan dan yang dikurniakan Tuhan dengan banyaknya
  kepada  kita, tetap akan menikmati kehidupan  yang  selesa
  dengan   pendapatan  yang  lebih  tinggi  daripada   paras
  kemiskinan.  Tetapi jika kita melepaskan rahmat Tuhan  dan
  segala  usaha oleh Kerajaan maka orang asinglah yang  akan
  meraih kekayaan.
   
  Indeks  Kualiti  Hidup Malaysia, satu pengukuran  komposit
  yang  berdasarkan  11 bidang meliputi 41  petunjuk,  telah
  menunjukkan aliran yang meningkat.  Ia menunjukkan  bahawa
  kualiti  hidup  rakyat  Malaysia  terus  meningkat   dalam
  hampir  kesemua bidang, berikutan daripada usaha  Kerajaan
  melaksanakan  program  bagi  meningkatkan  pendapatan  dan
  memperbaiki  penyediaan  khidmat  sosial.  Namun  Kerajaan
  akan   berusaha  terus  untuk  memastikan   semua   rakyat
  menikmati faedah daripada pembangunan negara.
   
  Program  penggalakkan  kesihatan dan  pencegahan  penyakit
  terus  diberi  keutamaan. Program ini akan mengambil  kira
  masyarakat  yang semakin mewah dan gaya hidup  yang  tidak
  aktif  daripada segi fizikal. Sebagai sebahagian  daripada
  kempen pencegahan dan galakan kesihatan, tema kempen  gaya
  hidup  menumpukan kepada amalan gaya hidup yang sihat  dan
  keselamatan  makanan. Skop dan liputan  program  imunisasi
  kanak-kanak   terus  dipertingkatkan.  Dasar   Keselamatan
  Makanan Kebangsaan dan Pelan Tindakan telah dirangka  bagi
  memastikan   kualiti   dan  keselamatan   makanan   buatan
  tempatan   dan  yang  diimport.  Program  kesihatan   alam
  sekitar  telah  juga  diperkukuhkan bagi  memastikan  alam
  sekitar yang sihat dan selamat.
   
  Usaha-usaha  ini  telah  menaikkan  jangka  hayat   lelaki
  daripada 70.3 tahun pada 2001 kepada 70.5 tahun pada  2003
  dan  bagi  perempuan daripada 75.2 tahun pada  tahun  2001
  kepada  75.4  tahun pada tahun 2003. Kadar  kematian  bayi
  berkurangan daripada 6.3 kematian setiap seribu  kelahiran
  hidup pada 2001 kepada 5.7 kematian pada tahun 2003.
   
  Dalam   tempoh   kajian  semula,  penyediaan  perkhidmatan
  bandar   dan   luar   bandar  telah   diperluaskan   untuk
  membolehkan  lebih  ramai penduduk  memperolehi  kemudahan
  bagi   aktiviti  ekonomi  dan  sosial  serta   memperbaiki
  suasana   hidup.   Kemudahan  perumahan  dan  perkhidmatan
  sosial  yang  lain  akan terus diberi perhatian.   Langkah
  telah  diambil untuk meningkatkan pencapaian  rumah  mampu
  milik,  dan berkualiti yang mencukupi bagi semua  kumpulan
  pendapatan.  Keutamaan  akan diberikan  untuk  pembangunan
  pembinaan  rumah  kos  rendah dan  kos  sederhana  rendah.
  Skim   Pinjaman  Perumahan  Kerajaan  telah  dikaji   bagi
  membolehkan  kumpulan berpendapatan rendah mampu  memiliki
  rumah  dengan  meningkatkan jumlah pinjaman.   Namun  kita
  harus  ingat  tidak mungkin semua penduduk memiliki  rumah
  sendiri.  Ramai yang akan terus menyewa kediaman.
   
  Sejumlah  615,000 unit rumah disasarkan untuk dibina  oleh
  sektor  swasta  dan awam sepanjang tempoh rancangan.  Pada
  penghujung  tempoh kajian, tiga per empat daripada  jumlah
  sasaran  telah  disiapkan.  Daripada jumlah  ini,  339,854
  unit  atau  73.6  peratus dibina oleh  sektor  swasta  dan
  bakinya  oleh sektor awam. Bagi kategori rumah kos  rendah
  dan  sederhana  rendah, sejumlah 177,253  unit  atau  48.8
  peratus daripada sasaran telah siap dibina.
   
  Isu   pengumpulan  dan  pelupusan  sisa  pepejal   menjadi
  semakin  penting  kerana bertambahnya penduduk.   Kerajaan
  baru  sahaja menyiapkan satu kajian komprehensif  ke  atas
  pendekatan   pengurusan   sisa   pepejal.   Selain    itu,
  penswastaan    skim   pengurusan   sisa   pepejal    telah
  diperluaskan  dengan  memasukkan sembilan  pihak  berkuasa
  tempatan  dalam skim pengumpulan sementara  sisa.   Stesen
  pemindahan  sisa  pepejal telah  dibina  di  Kuala  Lumpur
  untuk  meningkatkan  pelaksanaan  sistem  pengurusan  sisa
  bersepadu.  Sehubungan  dengan ini,  Kempen  Kitar  Semula
  Peringkat  Kebangsaan telah dilancarkan  pada  tahun  2001
  dan  telah  diperluaskan  di 67 pihak  berkuasa  tempatan.
  Untuk  mengelak  daripada  hidup  dalam  timbunan  sampah,
  kerjasama  daripada  semua pihak adalah  diperlukan.   Kos
  perlupusan  sampah perlu dipikul bersama oleh  rakyat  dan
  kerajaan.   Jika  kita ingin keselesaan yang  sama  dengan
  negara  maju, piawaian yang berpatutan mestilah  diterima.
  Janganlah   kita  tuntut  lebih  daripada  yang  dinikmati
  bangsa maju tetapi tidak sanggup membiayainya.
   
  Pembangunan   landskap  akan  dipergiatkan  untuk   rakyat
  menikmati kualiti hidup yang lebih tinggi. Pihak  berkuasa
  tempatan  telah membina 20 taman awam yang  baru  manakala
  179  taman  awam yang sedia ada telah dinaik taraf.  Pelan
  induk  landskap juga telah siap untuk enam pihak  berkuasa
  tempatan  iaitu  Johor Bharu, Kuantan,  Labuan,  Langkawi,
  Seremban  dan Shah Alam. Dalam tempoh kajian semula,  satu
  juta  pokok telah diagihkan ke semua negeri untuk  ditanam
  bagi menambahkan kehijauan negara.
   
  Kerajaan  dapat  menyediakan khidmat dan bantuan.   Tetapi
  akhirnya rakyat sendiri yang akan menentukan samada  semua
  yang  dibekal membawa kebaikan kepada rakyat  dan  negara.
  Justeru  itu kempen kesedaran bertajuk "Utamakan Keluarga:
  Semakin   Hari   Semakin  Sayang"  telah  dilancarkan   di
  peringkat  negeri  dan kebangsaan bagi  membantu  keluarga
  menghadapi  cabaran  dan  tuntutan  kehidupan  harian.  Di
  samping   itu   untuk   memperbaiki  kehidupan   keluarga,
  Kerajaan  telah  meluluskan  penubuhan  29  buah  Kompleks
  KASIH  Keluarga. Menyedari bahawa keluarga merupakan  unit
  asas  ke  arah  pembangunan masyarakat yang progresif  dan
  penyayang,    penekanan   akan   terus   diberikan    bagi
  memperkukuhkan unit keluarga.
   
  Peranan  wanita sudah semakin luas disebabkan  kesanggupan
  mereka  mengejar  ilmu pengetahuan  dan  bekerja.   Tetapi
  peranan  mereka  sebagai pendidik kepada  anak-anak  masih
  penting.   Di  masa-masa  yang  lampau  ini  kita  melihat
  keruntuhan   moral   di   kalangan  murid-murid   sekolah.
  Mungkin  ada sebab lain tetapi kurangnya didikan moral  di
  rumah  tentulah  menjadi  satu  daripada  sebabnya.   Oleh
  kerana  ramai  ibu  yang bekerja satu cara  perlu  dicipta
  supaya   peranan   ibu   dalam   pendidikan   anak   dapat
  diteruskan.   Bapa  juga perlu menyumbang  kepada  didikan
  anak  dengan menunjuk contoh dan teladan yang baik.   Kita
  tidak  hendak melihat keruntuhan akhlak yang  didapati  di
  negara-negara Barat berkembang di negara kira.
   
   
  Perpaduan Nasional dan Patriotisme
   
  Izinkan  saya  menyentuh isu yang  sangat  penting  kepada
  kita.  Negara  kita  merupakan negara  pelbagai  kaum  dan
  keturunan   yang   boleh  membawa  kepada  ketidakstabilan
  sosial,   politik   dan  ekonomi  yang  akan   menjejaskan
  pembangunan   negara.   Secara  kebetulan   tidak   banyak
  peluang  untuk  kaum-kaum bercampur gaul  dan  menjalinkan
  persahabatan.   Adalah  dilihat perpisahan  antara  mereka
  semakin  jauh  kerana hasutan oleh pelampau masing-masing.
  Jika   aliran   ini   tidak   ditangani,   keamanan    dan
  kesejahteraan  negara  mungkin  terjejas.    Justeru   itu
  Kerajaan   telah  memperkenalkan  sekolah   wawasan   yang
  meletak  sekolah-sekolah  Kebangsaan,  Sekolah  Cina   dan
  Sekolah  Tamil  dalam  satu  kampus  supaya  aktiviti  ko-
  kurikulum   dapat  diadakan  bersama.   Rela   dan   Rukun
  Tetangga  juga memberi peluang kepada semua kaum  bertugas
  bersama.  seterusnya menghapuskannya. Kerajaan  juga  akan
  terus    telah   mengambil   pelbagai   inisiatif    untuk
  meningkatkan   menggalakkan   integrasi   perpaduan    dan
  persefahaman antara di kalangan pelbagai komuniti,  budaya
  dan tradisi.
   
  Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah seperti  Program
  Rukun  Tetangga  untuk memupuk kehidupan  yang  berikhtiar
  dengan  pelbagai cara untuk menggalakkan kehidupa  harmoni
  dan   mewujudkan  masyarakat  penyayang.   menanam   sifat
  penyayang   dikalangan   pelbagai  masyarakat,   contohnya
  seperti  Program  Rukun  Tetangga. Konsep  Rukun  Tetangga
  telah   diubah  daripada  pengawasan  mengawasi  kejiranan
  kepada  khidmat  masyarakat.  membantu  komuniti.  Skopnya
  Rukun  Tetangga  telah dikembangkan  bagi  untuk  meliputi
  usaha  khidmat   sosial  yang menumpukan  kepada  kumpulan
  sasaran  yang lebih khusus seperti golongan kurang  upaya,
  ibu  tunggal dan memulihkan penagih dadah dengan penekanan
  kepada  pembinaan  keupayaankapasiti  dan  dan  seterusnya
  membolehkan  masyarakat  menjadi  lebih  untuk  berdikari.
  Pemberian Pemberian lebih kuasa kepada masyarakat  melalui
  komuniti menerusi penglibatan golongan profesional,  warga
  korporat, pegawai kerajaan dan pesara adalah digalakkan.
   
  Program  Perpaduan Mega telah dilancarkan  pada  Mei  2003
  bertujuan   untuk   menghimpunkan   masyarakat   sepanjang
  membawa  masyarakat  bersama sepanjang  Minggu  Perpaduan.
  Program    tambahan   akan   dilaksanakan   untuk    terus
  meningkatkan  lagi  menggalakkan  integrasi  nasional   di
  antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.
   
  Pada  tahun 2004, Khidmat Negara akan dilaksanakan  supaya
  sebilangan  dari  muda-mudi  Malaysia  akan  dihimpun  dan
  dilatih   bersama   secara   ala   tentera   dan   khidmat
  masyarakat.   Adalah dipercayai muda-mudi  daripada  semua
  kaum   akan   dapat   hidup  bersama,  berlatih   bersama,
  berkhidmat  bersama  dan  bermain  bersama.   Dengan   ini
  mereka akan terdedah kepada budaya masing-masing dan  akan
  lebih   memahami  kesamaan  dan  kelainan  antara  mereka.
  Dengan  kefahaman ini maka akan berkuranglah  salah  faham
  dan   ketegangan   antara  kaum   yang   boleh   mengancam
  kestabilan dan kemajuan negara.
   
   
   
   
  PENUTUP
   
  Maju  mundurnya sesebuah negara bergantung  kepada  rakyat
  negara    itu.    Jika   rakyatnya   rajin,   berdisiplin,
  membendung  nafsu  dan  bersedia  menghadapi  cabaran  dan
  rintangan maka akan berjaya dan majulah negara itu.   Soal
  warna  kulit  atau  keturunan atau  sumber  alam  bukanlah
  perkara  utama,  dan sudah tentu bukan  penentu  kejayaan.
  Yang  menentukan kejayaan ialah budaya ataupun nilai hidup
  yang  diterima  dan  diamal.   Sebab  itu  kaum-kaum  yang
  berlainan   yang  tinggal  di  negara  yang   sama   tidak
  memperlihatkan kemajuan atau kegagalan yang sama.  Kadang-
  kadang   terdapat  pencapaian  yang  amat  berbeza  antara
  mereka.
   
  Dalam  dunia  yang semakin saling bergantung  antara  satu
  sama  lain,  kita  tidak  mampu untuk  bersendirian.  Kita
  harus sedar bahawa persaingan yang semakin meningkat  akan
  terus  kekal  terutamanya persaingan daripada negara  yang
  mempunyai  kos  rendah yang akan menghakis  kekuatan  kita
  dalam  bidang tradisional. Dalam persekitaran antarabangsa
  yang  sentiasa berubah, kita tidak mempunyai pilihan  lain
  melainkan    untuk   terus   meningkatkan   daya    saing,
  mengukuhkan  daya  tahan  serta meningkatkan  produktiviti
  dan kreativiti kita.
   
  Sektor  swasta perlu meneroka pasaran baru. Ini memerlukan
  perubahan    minda   daripada   selesa   dengan    pasaran
  tradisional  kepada  bersedia  menjadikan  dunia   sebagai
  pasaran.  Kita  mesti  menjadikan Malaysia  sebagai  pintu
  masuk  keluaran  dan  perkhidmatan  dari  tempat  lain  di
  seluruh  dunia kepada negara di rantau ini. Bagi  bersaing
  di  pasaran  dunia,  kita perlu memastikan  bahawa  amalan
  pengurusan  adalah  di tahap piawaian yang  tertinggi  dan
  kita  mesti  dengan tegas menanda aras  diri  kita  dengan
  amalan  terbaik dunia. Kita perlu memastikan keluaran  dan
  perkhidmatan  kita  berkualiti  tinggi  dan  diiktiraf  di
  seluruh  dunia.  Bagi tujuan ini, barangan  keluaran  kita
  perlu  mempunyai jenama yang terkenal. Kita ingin  melihat
  lebih   banyak  keluaran  berjenama  Malaysia  dijual   di
  pasaran  seberang  laut. Kita mahu firma Malaysia  memberi
  keutamaan  kepada aspek pemasaran supaya kita  memperolehi
  faedah  dengan  menjadi peserta yang aktif  dalam  pasaran
  dunia.
   
  Kita   jangan  sesekali  lupa  bahawa  perpaduan  nasional
  adalah  aset  terpenting. Bahkan ia merupakan satu-satunya
  aset  yang  membolehkan  kita  menikmati  aset  lain  yang
  dikurniakan  oleh  Allah s.w.t. kepada bumi  bertuah  ini.
  Perpaduan  nasional  dalam negara yang mempunyai  penduduk
  berbilang  etnik  dan  berbilang agama  hanya  akan  dapat
  dikekalkan   dan  diperkukuhkan  sekiranya   wujud   sifat
  persefahaman  yang  tinggi,  sanggup  bertolak  ansur  dan
  saling  hormat  menghormati di  kalangan  rakyat  pelbagai
  bangsa  dan  agama. Kita telah menyaksikan  berapa  banyak
  masyarakat  berbilang etnik lain yang mengalami  kegagalan
  kerana  masing-masing kaum mengutamakan  kepentingan  diri
  daripada  kepentingan negara.  Jika  kita  tidak  berhati-
  hati dan berjaga kita juga akan gagal dan hancur.
   
  Kita  telah  berusaha secara berterusan dengan  dan  tidak
  mengenal  penat lelah untuk mengukuhkan perpaduan nasional
  dan    mengambil    langkah   tegas    untuk    menbendung
  kecenderungan  yang  akan menghalang  kepentingan  negara.
  Janganlah   sesiapa   berpandangan  sempit   dan   menuduh
  Kerajaan  cuba  menghapuskan budaya dan  bahasa  mana-mana
  kaum.   Sesungguhnya di Malaysia sahaja  yang  kepentingan
  semua kaum dipelihara dan dibiayai oleh Kerajaan.
   
  Kita  perlu  bersedia  untuk menghadapi  sebarang  cabaran
  yang    mendatang.   Pihak   Kerajaan   akan   menyediakan
  kepimpinan   dan   sumber   yang   diperlukan.   Ia   akan
  mengendalikan  perundingan yang  intensif  dalam  merangka
  strategi  untuk menghadapi cabaran baru yang muncul  atau,
  sebelum  ia  timbul.  Rakyat  pula  mestilah  bersatu  dan
  menyokong sepenuhnya semua langkah yang dilaksanakan  oleh
  Kerajaan.   Bagi  saya,  sepanjang  tempoh  saya   menjadi
  Perdana  Menteri adalah satu pengalaman yang menyenangkan,
  melihat  rakyat  Malaysia bersatu  hati  dalam  menghadapi
  krisis.   Ciri  rakyat  Malaysia  yang  unik   ini   mesti
  dipertahankan dalam apa jua keadaan sekali pun  dan  tidak
  boleh  dikorbankan  untuk golongan berkepentingan  sendiri
  dan  berkepentingan politik. Sempena pengunduran saya dari
  jawatan  tertinggi  Kerajaan, saya  menyeru  semua  rakyat
  Malaysia  agar  bangkit untuk menghadapi sebarang  cabaran
  yang  mendatang  dan memikul tanggungjawab sebagai  rakyat
  Malaysia. Jika kita melaksanakannya, maka tidak ada  sebab
  mengapa  kita  tidak  dapat terus mengecapi  kejayaan  dan
  menjadi  negara yang ingin dicontohi oleh dunia.  Malaysia
  Boleh.
   
  Tuan Yang DiPertua, saya mohon mencadangkan.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             


 
Google